CK tahu, bapa Allahyarham Nurin Jazlin iaitu Jazimin Abdul Jalil bukanlah seorang selebriti. Tetapi, dek keprihatinan masyarakat terhadap peristiwa malang yang menimpa kanak-kanak itu baru-baru ini, sedikit sebanyak masyarakat mula mengenali bapa kepada empat anak itu. Wajahnya sering terpampang di media. Anak-anaknya juga turut mendapat perhatian ramai kerana wajah mereka yang comel.
Sejak akhir-akhir ini, CK perhatikan, beberapa pihak dalam industri hiburan mula bertumpu kepada Jazimin ketika menganjurkan majlis buka puasa atau acara amal. Dia dan dua anak perempuannya yang berusia sembilan dan enam tahun itu sering kelihatan di beberapa majlis yang tidak kurang meriah dengan kehadiran artis popular. Bukan mempertikaikan niat ikhlas penganjur, tetapi CK dan beberapa teman kadang-kadang termenung seketika. Apa tidaknya, CK rasa, bukan bantuan harta benda yang amat diperlukan oleh keluarga Jazimin ketika ini, sebaliknya sokongan moral.
Sebaliknya apa yang terjadi, banyak acara yang CK turut hadiri, menyaksikan si bapa dan anak-anak dari Wangsa Maju ini mula menerima derma dan sebagainya.
Sedangkan CK rasa, lebih banyak lagi orang miskin yang lain, yang berada di ceruk desa, yang memerlukan bantuan berupa wang ringgit. Mereka yang langsung tidak berdaya hendak bekerja, mereka yang daif ditinggalkan anak-anak, mereka yang tak ada duit sesen pun untuk rawat penyakit kronik, mereka yang tinggal dalam bangsal buruk, itulah golongan fakir yang harus dibantu.
Kerana itu CK rasa, sebahagian penganjur acara amal itu lebih mahukan publisiti, bukannya pahala balasan Tuhan. Apabila gambar masuk surat khabar atau majalah, ketika beramah mesra dengan Jazimin, maka puas hatilah. Kononnya dialah insan paling prihatin ketika ini, tanpa disedari, dia sudah pun memesongkan niat asal membantu keluarga itu. Lebih teruk, CK terdengar cerita, kononnya ada pihak yang hendak memujuk Jazimin menjadi penyanyi pula. Walaupun pemuda itu mengaku tidak berbakat, si hamba Allah ini berkata, perkara itu tidak menjadi masalah. Astaghfirullah! Belum apa-apa lagi, orang yang menawarkannya peluang itu sudah memasang niat hendak menipu.
Jenis mereka yang suka mengambil kesempatan seperti inilah harus dihindari sejak awal. Bukan setakat bermuka-muka hanya kerana hendakkan glamor, malah mereka jugalah yang bakal merosakkan industri sebenarnya. Jika benar hendak membantu keluarga Jazimin, apa kata hulurkan saja secara senyap-senyap. Nabi pun menggalakkan umatnya bersedekah tanpa menghebahkannya kepada orang ramai. Pahala hanya boleh diberikan oleh Tuhan, bukannya orang ramai yang membaca cerita kononnya dia sudah menderma. Dalam bab ini, CK memuji sesetengah artis yang lebih suka menghampiri Jazimin secara senyap-senyap, sambil menghulurkan simpati, atau bantuan kewangan sekalipun. Bukannya apabila ada lensa kamera di depan mereka, barulah datang berduyun.
Sumber : Berita Harian