Seorang pelakon filem dan drama popular, Ellie Suriati Omar, 36, bukan saja kehilangan komputer riba dipercayai dilarikan bekas pekerja sambilannya sendiri, malah namanya diburuk-burukkan. Bekas pekerja sambilan terbabit yang berusia 20-an dikatakan menjual komputer riba mengandungi pelbagai dokumen penting itu menggunakan nama dan gambar artis berkenaan di laman web tertentu.Lelaki itu menyiarkan nombor telefonnya sendiri, manakala harga jualan komputer riba yang dicuri itu hanya RM1,000 berbanding harga asal lebih RM2,000.Tindakan itu menyebabkan orang ramai yang melayari laman web terbabit menyangka Ellie yang mahu menjual komputer riba itu.
Berikutan bimbang namanya dijaja dan reputasi sebagai pelakon dicemar bekas pekerja terbabit, Ellie membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, baru-baru ini.
Dalam laporannya, Ellie yang popular melalui pelbagai drama dan filem terbarunya, Syaitan mendakwa mengambil lelaki itu sebagai pekerja sambilan bagi membantu syarikatnya yang baru beroperasi di Jalan Ampang.
Dia mendakwa menggaji pekerja terbabit RM800 sebulan sejak beberapa bulan lalu sebelum memberhentikannya berpunca daripada masalah disiplin.Ellie juga mendakwa mahu menjelaskan gaji bekas pekerjanya itu secepat mungkin pada 25 September lalu, bagaimanapun sehari sebelum tarikh terbabit, lelaki itu lesap bersama komputer riba miliknya. Pelakon itu cuba menghubungi telefon bimbit lelaki terbabit tetapi gagal.Sementara itu, Ellie yang dihubungi wartawan Harian Metro semalam, mendakwa tertekan dengan perbuatan bekas pekerjanya yang tidak hanya melarikan komputer ribanya, malah turut memburukkan namanya melalui ruangan gosip hiburan sebuah akhbar kelmarin (bukan kumpulan NSTP).
Menurutnya, lelaki terbabit mereka cerita palsu kononnya dia tidak pernah membayar gaji dan mendakwanya sebagai penipu.“Malah, saya difitnah kononnya melemparkan kata-kata kesat apabila diminta membayar gaji terbabit oleh bekas pekerja terbabit,” katanya.Ellie berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana dia berniat membayar gaji bekas pekerjanya itu pada 25 September lalu.“Saya pernah menghubunginya untuk berbincang, namun dia menghilangkan diri dengan membawa lari komputer riba saya.“Ketika diminta memberi penjelasan berhubung tindakannya itu, dia memaki hamun saya dengan pelbagai kata-kata kesat sambil mengugut untuk memburuk-burukkan nama saya,” katanya yang menganggap sikap bekas pekerja terbabit tidak profesional
.Menurutnya, sebagai majikan, dia tidak pernah mengabaikan kebajikan pekerja dengan memberikan kemudahan seperti kenderaan sewa khas dan duit makan.“Saya tidak mahu menimbulkan pelbagai perkara lain yang kurang manis untuk didedahkan. Saya pernah menghubunginya supaya tidak membuat sesuatu terhadap komputer riba terbabit tetapi dibalas dengan kata-kata kesat,” katanya.Tambah mengejutkan, komputer riba itu cuba dijual dengan harga murah melalui internet menggunakan identitinya.“Fikiran saya buntu, apa yang saya risau segala dokumen sulit, terutama berkaitan syarikat akan terlepas kepada golongan tidak bertanggungjawab.“Walaupun puluhan kali saya cuba menghubunginya, dia enggan menjawab,” kata Ellie.
Sumber : Metro