Segala persiapan sudah dibuat awal terutama untuk buah hati tersayang, Mohd Adam Emir, setahun dua bulan.Umum mengetahui penyanyi yang kembali melonjak namanya menerusi lagu Sembunyi itu sudah bergelar ibu selepas mengambil seorang anak angkat lelaki setahun lalu.
Kegembiraan jelas terpancar pada wajah Misha apabila bercerita mengenai Adam dan sesekali dia berkongsi tawa apabila menceritakan keletah putera kesayangannya itu. “Pada saya, apabila bergelar ibu persiapan untuk diri sendiri biasanya dibuat ala kadar. Ada sehelai dua baju kurung pun sudah mencukupi. “Apa yang penting persiapan untuk Adam harus dilengkapkan terlebih dulu dan sebagai ibu saya pantang tengok baju budak-budak yang cantik pasti mahu membelinya,” katanya sewaktu ditemui di sesi fotografi khas bersama Rap.
Bercerita lanjut mengenai perkembangan anaknya, kata Misha, Adam sudah pandai berlakon dan pura-pura merajuk.“Dia semakin bijak sekarang dan sudah pandai merajuk. Kadang-kadang dia pandai mainkan orang. “Bila saya tiada dia tahu nak bermanja dengan orang luar tetapi apabila nampak saja kelibat saya cepat-cepat dia menangis, kononnya tidak berapa berkenan,” ujarnya sambil tersenyum mengingati keletah anaknya.
Kegembiraan Misha berganda apabila tahun ini kakak juga memerangkap pengurusnya, Mimi turut mengambil anak angkat perempuan, Kyra Arissa, 10 bulan.
“Melihat hari yang saya lalui dengan penuh keseronokan mendorong Mimi mengambil anak angkat. Sekarang di rumah suasana kehidupan kami lebih meriah kerana Adam sudah ada sepupu,” katanya.Bercerita lebih serius mengenai keputusannya untuk bergelar 'ibu tunggal' dalam usia muda, kata Misha, segalanya sudah tertulis dan dia secara peribadi menganggap kehadiran Adam dalam hidupnya sebagai rezeki yang tidak ternilai diberikan Allah. “Jika dulu saya hanya mengutamakan diri sendiri, tetapi sekarang tidak lagi.
Sebaliknya, apa juga berlaku anak harus diutamakan.“Pengalaman menjadi ibu muda membesarkan anak seorang diri memang tidak mudah. Malah, apabila niat hati saya mahu mengambil Adam diluahkan kepada ibu, dia seperti tidak yakin. “Rakan di luar juga ada yang berkata 'mengapa tiada beban batu mahu digalas'. Saya masih muda, hidup baru hendak bermula mengapa tidak dinikmati saja hidup ini dengan sepuas mungkin. Kemudian barulah fikir soal kahwin, ada anak dan sebagainya.“Memang benar kata mereka, tetapi dari sudut lain mereka tidak dapat berkongsi rasa bertuah saya apabila disayangi orang lain yang mana rasa sayangnya cukup ikhlas, tulus, murni dan suci. Hubungan dua hati ini tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata.“Sebagai ibu saya sudah rasa semuanya. Berjaga malam sampai ke pagi.
Tidak lena tidur.
Menguruskan berak kencing anak. Dulu kalau saya jaga anak saudara, bila mereka berak saja saya sudah bising mencari ibunya. Jangan harap saya hendak sentuh najis mereka tetapi sekarang bila dah ada anak sendiri lain pula ceritanya.“Rasa cemas, bimbang, risau dan menangis seharian kerana mengenangkan anak juga sudah saya rasa. Mengambil contoh baru-baru ini, Adam demam panas. Saya tinggalkan semua kerja, berlari pulang dan menghantarnya ke hospital pakar. Seminggu dia di hospital dan sepanjang minggu itu juga saya di sisinya.“Adam banyak mengajar saya mengenai erti hidup dan menghargai orang lain.
Saya lebih mengenal ibu dan sangat menghormati pengorbanannya dalam melahirkan dan membesarkan saya,” katanya. Syawal tahun ini Misha dan keluarganya tidak pulang ke Kota Bharu, Kelantan untuk beraya sebaliknya mereka akan bertandang ke rumah saudara di Port Dickson, Negeri Sembilan.“Setiap tahun begitulah kami. Sejak ketiadaan datuk dan nenek keluarga di sebelah ibu dan ayah mengamalkan sistem giliran. Jika tidak salah keluarga kami sudah menjadi tuan rumah dua tahun lalu. ”Sistem giliran ini harus dipatuhi dan kalau gilirannya di utara tanah air semua keluarga dan saudara mara akan ke sana berkumpul. “Pada saya, secara peribadi suka begini kerana ia lebih seronok apatah lagi ada antara sepupu yang saya bertemu setahun sekali dan peluang itu tidak akan saya lepaskan,” katanya.
Nama: Samihah @ Aisah Bte Omar
Nama Artis: Misha Omar
Umur: 25 tahun
Tarikh Lahir: 6 Januari 1982
Tempat Lahir: Kota Bharu, Kelantan
Makanan kegemaran: Ayam Goreng KFC.
Minuman kegemaran: Air suam.
Kenangan manis: Apabila lagu Bunga-Bunga Cinta pertama kali ke udara di radio.
Kenangan pahit: Apabila dikaitkan dengan gosip liar dan tak berasas.
Pelakon kegemaran: Rosyam Nor
Penyanyi kegemaran: Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Dayang Nurfaizah, Celine Dion, Mariah Carey, Toni Braxton, Whitney Houston.
Album: Misha dan Aksara
Filem: Gerak Khas The Movie 2 dan Main-Main Cinta.
Pencapaian: Penyanyi Baru Terbaik Anugerah Era 2003, Anugerah Gold Awards Shanghai (2003), Penyanyi Baru Terbaik Anugerah Media Hiburan (2003), Artis Baru Wanita Terbaik Anugerah Bintang Popular Berita Harian (2003), Vokal Wanita Terbaik Anugerah Era 2004, Juara Hitz 1 (Pulangkan), Juara Lagu 2003 Kategori Lagu Balada dan Vokal Terbaik (Bunga Bunga Cinta), Juara Lagu 2005 Kategori Lagu Balada dan Vokal Terbaik (Pulangkan), Tempat Kedua Lagu Terbaik pertandingan Hits 1 (Ku Seru), Anugerah Emas dan Platinum album Misha & Aksara.
Sumber : Metro