Monday, October 8, 2007
Raya paling seronok
DI kala umat Islam sibuk membuat persiapan hari raya, Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 32 dan tunang tersayang juga pelakon dan penyanyi popular, Fazira Wan Chek, 33 atau Erra sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan.
Kedua-duanya yang mengikat pertunangan pada 7 September lalu merancang bernikah dalam tahun ini.Bagaimanapun bila tarikh majlis berlangsung masih dirahsiakan dan jelas Erra mahupun Engku Emran kad undangan bakal diedar selepas Aidilfitri nanti.Ketika ditemui di majlis kutipan derma Pusat Pengajian Islam Pondok Bandar Hilir Sik, Kedah anjuran pelakon, Umie Aida, Engku Emran memberitahu wakil media majlis mereka bakal berlangsung dua minggu selepas Syawal (iaitu 22 atau 23 November)."Sekarang ini persiapan untuk perkara asas seperti hantaran.
Baju yang akan dipakai untuk majlis akad nikah dan sebagainya sudah pun disiapkan lebih awal."Selain itu kami juga sedang menyiapkan senarai tetamu yang mahu dijemput untuk majlis persandingan nanti."Majlis pernikahan dan persandingan ini kami rancang untuk diadakan secara sederhana. Sama seperti majlis yang dibuat pasangan lain. Apa yang lebih penting bagi saya adalah perkara yang wajib dan afdal," katanya.Walaupun majlis dirancang hampir tiba tetapi bagi Engku Emran mahupun Erra mereka tidak berasa gusar kerana banyak pihak turut membantu."Saya sendiri bertuah kerana ahli keluarga lain turut menolong menyediakan segala persiapan diperlukan. Majlis persandingan kami akan diadakan dalam dewan dan bukan di rumah," katanya. Mengenai tempoh pertunangan dilalui, Engku Emran menjelaskan setakat ini dia mahupun Erra tidak menghadapi dugaan besar.
"Kalau setakat merajuk-merajuk itu adalah. Biasanya Erra yang kuat merajuk dan saya pula kenalah pandai-pandai memujuk. Kalau hendak bercakap dengan Erra kena elok-elok sebab dia sensitif.
"Saya memang tegas tetapi pada tempat yang perlu. Selalunya apabila Erra merajuk saya biasanya beri dia ruang untuk bersendiri dan kemudian baru saya pujuk," katanya.Mengenai sambutan raya tahun ini, jelas Engku Emran, dia tidak nafikan berasa seronok kerana dapat menyambut Aidilfitri bersama tunang tersayang.
"Tahun ini saya akan beraya di kampung sebelah ibu di Masjid Negeri, Pulau Pinang. Begitupun Erra tidak ikut sama kerana sudah tentu dia mahu menyambut hari raya bersama keluarganya."Begitupun saya akan tetap beraya bersama Erra sebaik saja saya pulang dari sana. Dan tidak dinafikan kami cuba menggunakan peluang menyambut hari raya ini untuk mengunjungi sanak saudara di samping melayangkan kad undangan perkahwinan," katanya.
Sumber : Metro