ANTARA ramai-ramai bekas pelajar Akademi Fantasia, Hazwan Haziq Rosebi dan Nur Farhan Azizan boleh dianggap bertuah kerana mereka terkeluar daripada jalur muzik pop biasa, seperti yang diperjuangkan kebanyakan rakan lain. Irama tradisional dan pop Melayu klasik yang digemari Haziq, manakala muzik blues yang lebih disukai Farhan membuatkan mereka agak berbeza daripada bekas pelajar lain. Hakikat itu juga memberikan kelebihan untuk mereka apabila persaingan yang harus ditempuh tidak sehebat penggiat genre muzik pop. Lalu, apabila saja penganjur atau stesen televisyen memerlukan artis dalam kategori ini, Haziq dan Farhan pasti meniti di bibir produser.
Dua bakat baru yang kian menjadi sebutan ini juga pada dasarnya amat rapat. Kedua-dua keluarga sudah saling mengenali. Semuanya gara-gara konsert prelude AF4 yang menyaksikan keluarga dua artis ini duduk bersebelahan. Bukan bermakna mereka akan menjadi besan, tetapi ikatan silaturahim kedua-dua keluarga memang jelas kelihatan. Fotografi ini sendiri berjalan lancar, dek hakikat dua artis ini sudah saling mengenali hati budi. Sesuai dengan mood raya, petang itu Haziq dan Farhan tampil bergaya dengan baju tradisional.
Kata Haziq, adalah satu kewajipan untuknya menyediakan paling tidak, dua helai baju Melayu Teluk Belanga setiap kali Syawal menjelma. Bukan saja selesa, malah sebagai anak jati Johor, jiwa Haziq cukup tebal dengan kecintaan kepada budaya bangsa. "Jika tidak ada baju Melayu, songkok tinggi dan samping labuh, rasanya tidak sah hari raya saya. Tahun ini pula, saya menyediakannya awal-awal lagi. Cukuplah dua helai cuma. Baju itupun saya beli di Wisma Yakin, Jalan Masjid India saja," katanya.
Pada 1 Syawal, Haziq dan keluarga akan beraya Bukit Piatu, Melaka, di rumah ibu saudaranya. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah bapa saudara di Negeri Sembilan, sebelum turun ke Johor, tempat bermastautin mereka sekeluarga. Apabila kesemuanya sudah dikunjungi, barulah mereka pulang semula ke ibu kota untuk meraikan hari lebaran bersama sanak saudara di Cheras, Serdang dan Ampang pula. "Beraya di Melaka memang menyeronokkan.
Bukan saja meriah dengan makanan seperti lodeh, ketupat, rendang, sambal tumis dan serunding, malah kami juga akan bertakbir dari rumah ke rumah, sehinggalah jam 1 atau 2 pagi. Di sana, masyarakat sekampung mula beraya sejak selepas subuh lagi. Maknanya, sebelum sembahyang raya pun, suasananya sudah cukup meriah," cerita anak muda berusia 19 tahun ini. Pada musim perayaan ini juga, Haziq akan tampil dalam sebuah rancangan khas, Akustika Ahmad Jais. Rakamannya sudah diadakan pada 28 September lalu dan secara sendirian, dia menyanyikan kira-kira tujuh lagu klasik dan asli dendangan asal penyanyi legenda berkenaan. "Sebahagian daripada lagu yang diberikan kepada saya memang tidak pernah didengar atau jarang saya melagukan. Namun, nasib baiklah saya masih boleh mengikut lenggok iramanya," kata remaja ini yang didedahkan dengan muzik tradisional sejak zaman kanak-kanaknya.
Bercerita mengenai albumnya pula, Haziq memberitahu, setakat ini, sebanyak enam lagu sudah pun dirakam. Dia juga sedang menunggu masa sesuai untuk merakamkan dua lagi lagu, manakala dua lagu selebihnya masih dalam proses pencarian. Bagi projek sulungnya itu, dia memberikan kepercayaan kepada komposer seperti S Atan, Pak Ngah, Arab dan Sham Kamikaze sebagai penyumbang karya. Dengan konsep pop Melayu, album itu akan memuatkan lima lagu berentak tradisional dan lima lagu berirama pop. Sementara itu, Farhan berkata, dia sekeluarga menyambut hari penuh bermakna itu di ibu kota. Apatah lagi dia akan terbabit dengan latihan sebuah program secara langsung pada hari raya ketiga.
Rancangan terbitan RTM itu akan ke udara pada raya kelima. "Seperti biasa, saya akan beraya bersama keluarga, pak cik dan mak cik saya di sini. Kami tidak balik ke Johor (kampung ibu) tahun ini. Ada juga sebahagian daripada anggota keluarga yang terpaksa bekerja pada Haru Raya. Jadi lebih elok beraya saja di sini. Jika kami pulang ke Johor pun, mungkin sehari saja," katanya. Ketibaan Syawal pastinya menjanjikan seribu kemeriahan buat gadis berusia 23 tahun ini. Lebih-lebih lagi, semua adik-beradiknya adalah perempuan, kecuali adik bongsu yang baru berusia dua bulan. "Jadi, pada malam raya, kami akan mengemas rumah, memasang langsir serta masuk ke dapur menyediakan juadah untuk keesokan hari. Jika sudah berada di dapur, menu yang harus disediakan pula tentunya kuih tat serta karipap kecil berisi serunding yang dipanggil epok-epok," katanya.
Bercerita mengenai baju rayanya pula, finalis Artis Baru Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album Anugerah Industri Muzik 2007 ini berkata, dia hanya menyediakan dua helai baju kurung untuk menyambut lebaran. Jelasnya, baju yang disediakan pada tahun lalu masih lagi dalam keadaan baik, justeru amat membazir jika dia tidak memakainya semula. Berkenaan kariernya dalam seni, Farhan berkata, setakat ini dia sudah merakamkan lima lagu. Single pertamanya, Kelmarin, sudah mula dimainkan di beberapa stesen radio. Ketika ini, dia sedang menyiapkan sebuah lagu berentak perlahan berjudul Moga. Kebanyakan susunan muzik untuk album studio pertamanya itu pula dilakukan komposer muda, Sham Kamikaze.
INFO: Farhan
Makanan Kegemaran : Asam pedas
Minuman Kegemaran : Teh O ais limau
Filem Kegemaran : Pendekar Bujang Lapok
Lagu Kegemaran : New York, New York
Hobi : Menyanyi dan bersukan
Zodiak : Leo
Tinggi : 163 sentimeter
Berat : 55 kilogram
Umur : 23 tahun
INFO: Haziq
Makanan Kegemaran : Mi goreng mamak
Minuman Kegemaran : Milo
Filem Kegemaran : Baik Punya Cilok
Lagu Kegemaran : Bunga Tanjung
Hobi : Bersukan, menyanyi, dan bermain PS2
Zodiak : Capricorn
Tinggi : 179 sentimeter
Berat : 60 kilogram
Umur : 18 tahun
Sumber : Berita Harian