MENINGGALKAN 'jauh' kontroversi lalu, pasangan Joe dan Aida Radzwil kini benar-benar bahagia. Tidak lekang memberi senyuman, merpati dua sejoli itu bergaya sedondon.
Kesempatan bertemu ketika majlis pelancaran drama Pasrah baru-baru ini, secara tidak langsung dapat berkongsi persiapan raya mereka. Pasangan pelakon ini mengakui mereka meraikan Aidilfitri sederhana saja. Malah, mereka memilih warna hijau dan coklat sebagai tema busana hari raya. Selain itu, Joe dan Aida turut memasak menu istimewa.Aida berkata tahun ini dia dan suami akan memasak kira-kira 7 kilogram rendang daging untuk keluarga.
Katanya, mereka tidak balik beraya di kampung dan meraikannya di ibu kota."Aidilfitri ini biarlah giliran adik-beradik pula berkunjung di rumah saya. Kalau balik kampung pun, sudah tiada sesiapa di sana. Terpaksalah saya jadi ayah dan ibu."Keadaannya sama saja. Jadi, tahun ini saya mahu berkumpul dengan adik-beradik di rumah sendiri. Malah, cadangan sudah dibuat apabila masing-masing akan memasak juadah hari raya."Saya akan pastikan rendang ayam, ketupat, kuah kacang dan biskut buatan kami sedia dihidang di pagi raya. Tidak ketinggalan, saya turut memasak makanan barat seperti spageti," katanya.
Aida atau nama sebenarnya Khalidah Adibah Ahmad berkata biarpun tidak balik ke kampung, hubungannya dengan adik-beradik rapat. Kata anak jati Negeri Sembilan ini, dia cuma empat beradik."Memandangkan masing-masing sudah berkeluarga, apa yang dilakukan ini ibarat sambutan khas seisi keluarga. Aidilfitri, masa paling sesuai kami semua berkumpul bersama."Sebab itu, rendang daging masakan saya mesti ada. Tiap-tiap tahun, saya wajib memasaknya atas permintaan ramai. Bukan hendak bangga diri tapi adik-beradik akuinya sedap," katanya.
Menyentuh soal persiapan raya, dramatis terkenal itu berkata semuanya hampir siap. Walaupun sibuk dengan penggambaran, Aida mengakui mencari masa menyiapkan keperluan keluarga.
Sama ada Aida dan Joe, masing-masing sibuk dengan penggambaran drama. Apakah mereka ada masa bersama, Joe berkata tiada sebarang masalah kerana kami tahu jadual kerja satu sama lain."Sesibuk mana pun, kami akan bertemu walaupun sekadar menghadiri majlis berbuka," katanya. Berbicara soal memasak rendang, Joe atau Ismail @ Mohd Radzwill Ahmad berkata mereka biasa memasak bersama. Setakat tujuh kilo itu, kami masih larat dan mampu memasak lagi."Saya dan Aida suka memasak. Apatah lagi, sempena sambutan hari raya dan meraikan adik-beradik dan keluarga," katanya.
Sumber : Metro