Tuesday, October 16, 2007
Rozita dapat lampu hijau
DUA beradik yang juga pelakon popular, Rozita Che Wan, 34, dan Ayu Raudhah Che Wan, 23, sanggup bersengkang mata pada malam raya untuk menjahit manik dan labuci pada baju raya masing-masing. Bukan mereka saja boleh menjahit, adik beradik perempuan yang lain juga pandai menjahit baju.Walaupun sekarang Rozita dan Raudhah sibuk berlakon, hobi menjahit labuci dan manik masih diteruskan. Untuk sesi fotografi raya yang diadakan baru-baru ini mereka meluangkan masa menyerikan lagi baju untuk digayakan dengan jahitan labuci dan manik.
“Kalau pasal menjahit labuci dan manik, kami sanggup berjaga sehingga ke pagi. Sambil menjahit kami bersembang, hilang rasa mengantuk,” kata Rozita. Rozita juga tinggal berjiran dengan Raudhah. Raya ini paling meriah buat Rozita kerana baru saja mendapat hak penjagaan sah terhadap dua anaknya, Ammar Effendy, 11, dan Aniq Ezzra, 9. Itulah berita paling ditunggunya selepas empat tahun bercerai dengan bekas suami, Azuar Effendy Zulkafly.
Selama ini anak-anak memang tinggal bersamanya tetapi tiada surat hitam putih daripada mahkamah membuatkan hatinya selalu resah apabila memikirkan perkara itu.“Kini selepas mahkamah memberikan hak penjagaan kepada saya, lega rasanya. Dengan keputusan mahkamah itu, bukan bermakna saya ingin memutuskan talian kasih antara bapa dan anak. Jika bekas suami ada kelapangan, dia boleh mengambil anak tinggal bersamanya sehari dua.“Cuma saya gembira kerana mereka di bawah jagaan saya sepenuhnya. Bapa mereka pun sudah berkahwin lain, jadi eloklah Ammar dan Aniq tinggal bersama saya.
Walaupun mereka belum begitu dewasa untuk memahami masalah orang tua, Ammar dan Aniq memahami situasi saya sebagai ibu tunggal.“Sepanjang Ramadan ini kesibukan saya berterusan. Pertengahan puasa lalu saya baru saja selesai penggambaran drama Diari Ramadan Raffique yang disiarkan di TV3 sepanjang Ramadan.“Anak-anak mula pandai merungut mengenai kesibukan saya itu. Mereka pernah minta saya bertukar kerjaya dengan bekerja di pejabat kerana pergi pagi balik petang. Tidak seperti sekarang, pergi pagi baliknya belum tentu jam berapa.“Tetapi jiwa saya tidak sesuai dengan kerja ada ‘punchcard’. Insya-Allah, saya yakin anak-anak akan faham rutin kerja ibu mereka. Saya bercadang selepas raya ini hendak bercuti dengan anak-anak kerana sejak Januari sehinggalah pertengahan Ramadan, tiada masa berehat,” katanya.
Rezeki ibu tunggal itu kian melimpah kerana bukan saja sibuk di lokasi drama tetapi juga menjadi pilihan pengeluar produk menjadi duta dan model mereka. Terbaru, Rozita menjayakan komersial 999, Petronas, Telekom, Rorine dan Mornfl ake.
Dengan tawaran berlakon yang datang silih berganti, Rozita sudah muncul dalam 19 drama. Antara yang paling melonjakkan namanya adalah Sesuci Cinta Sofeya dan Diari Ramadan Raffique.Dramanya yang sedang ditayangkan ketika ini, Bisikan Hati di TV1, Isnin hingga Jumaat, Tetamu Rindu (TV1, Sabtu dan Ahad), Jelatang (TV3, Selasa) dan Susuk 2 (TV3, Khamis).Untuk raya pula, Rozita muncul dalam drama Berakhir Satu Penentuan, Pulanglah Di Aidilfi tri dan Wasiat Fitrah.“Kesan berlakon drama Susuk 2, jumpa peminat di pusat belah KLCC mereka panggil saya Kak Maya,” katanya.
Persiapan lebaran ini, Rozitamenyediakan tujuh pasang baju untuk dirinya manakala sembilan pasang seorang untuk dua anaknya.“Lantaran kesibukan yang tidak berkesudahan, dua minggu sebelum Ramadan saya sudah siap membuat persediaan. Saya tidak suka membeli-belah pada saat akhir kerana bimbang ada yang tidak cukup,” katanya.Mengenai kehidupan solonya dan gosipnya akrab dengan aktor kacak, Zizan Nin, Rozita berkata, walaupun anaknya sudah memberikan lampu hijau kepadanya mencari pengganti bapa mereka, dia lebih suka menyerahkannya kepada jodoh.“Lelaki pilihan saya tiada kriteria tertentu.
Asalkan sedap mata memandang, sayangkan saya dan anak-anak. Tetapi buat masa ini, biarlah saya bersendirian dulu mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak,” katanya.Raudhah yang asyik mendengar kakaknya bercerita mula membuka bicara betapa dia sibuk berlakon drama bersiri Hidayah 2. Ia bakal ditayangkan di RTM pada Januari depan.Gadis manis itu mula mencipta nama menerusi drama bersiri Manjalara, terkenal dengan watak gadis bertudung. Jika dalam Manjalara dia pegang watak gadis bertudung bernama Farah, Hidayah 2 juga dengan imej bertudung.
“Saya tidak kisah dengan watak gadis bertudung kerana ketika bersekolah dulu pun saya bertudung. Kehidupan seharian saya biasa saja kerana saya bukanlah gadis sosial, cuma dalam keadaan realiti saya tidak bertudung.“Ternyata Manjalara memberi kesan cukup memberangsangkan kepada kerjaya saya. Penonton kenal saya menerusi drama itu.
Pergi ke mana-mana asal jumpa peminat kecil mereka panggil saya Kak Farah dan mencium tangan saya. Mereka suka watak saya sebagai Farah yang berjiwa lembut dan sayangkan kanak-kanak.“Sebenarnya sewaktu Hidayah 1 dulu peranan Hidayah dipegang Abby Nazri yang juga adik pengarah dan pelakon Ahmad Idham, tetapi kali ini pengarahnya, Harith Kadir pilih saya menggantikan Abby,” katanya.Dek kerana sering diberikan watak baik-baik, terlintas di hati Raudhah untuk membawakan watak gadis lasak seperti Lara Croft lakonan Angelina Jolie.
Bagaimanapun, Raudhah terima apa saja watak yang diberikan kepada nya buat masa ini.Raudhah juga berlakon bersama kakaknya dalam drama Berakhir Satu Penentuan. Mereka balik beraya di Taman PKNK, Alor Star, Kedah tiga hari sebelum raya dan pulang ke ibu kota pada raya kelima.
Sumber : Metro