SELEPAS keluar Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Natasha Nordin (Tasha), hanya sempat berlakon drama Astana Idaman dengan memegang peranan sebagai Nita.Setakat itu sajalah penampilannya kerana selepas itu dia disunting komposer Ajai menjadi artis syarikatnya, Wake The Baby.
Untuk mengasah bakat nyanyian Tasha, Ajai mengurung Tasha dari sebarang aktiviti seni kerana duda muda itu mahu Tasha memberi tumpuan kepada nyanyian.“Sementara menunggu album sulung siap, Ajai menghantar saya belajar vokal kerana dia mahu saya benar-benar bersedia apabila album berada di pasaran nanti.“Sehingga kini lapan lagu siap dirakam cuma perlu menambah satu atau dua lagu lagi. Selagi album itu belum siap, saya menetap bersama keluarga di Ampangan, Seremban.
Kalau ada kerja, barulah saya turun ke Kuala Lumpur.“Tawaran menyanyi kurang, jadi rugi jika saya menyewa rumah di Kuala Lumpur. Tunggulah apabila album menjengah pasaran, barangkali situasi diri saya akan berubah. Ada juga tawaran berlakon tetapi Ajai lebih suka saya fokus pada satu bidang dulu.“Kebetulan bapa saya, Nordin Hassan, menyanyi dengan kumpulan muzik Diraja Negeri Sembilan.
Jadi, saya turut belajar vokal dengannya,” katanya .Sebagai orang baru dalam arena seni, jelas Tasha, dia bersedia menerima pandangan dan nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman.“Tiada guna saya melanggar perintah, ilmu pun belum penuh di dada. Saya tahu Ajai mesti mahu melakukan yang terbaik buat saya. Kejayaan saya bererti kejayaan dia dan syarikatnya juga.
“Selain usaha kita sendiri, kerja keras orang lain turut menyumbang kepada kejayaan kita,” katanya .
Tasha yang turut menjadi tumpuan kerana gosip cintanya dengan pelakon dan penyanyi Aqasha. Tanpa berselindung, gadis ramah itu mengakui mereka sememangnya dilamun cinta.Katanya, sudah tiga tahun mereka menyulam kasih tetapi belum merancang ke arah ikatan yang lebih serius kerana masing-masing sedang memantapkan kerjaya.“Melihatkan keakraban saya dengan Ajai, tanpa usul periksa ada yang menuduh saya punca keruntuhan rumah tangga komposer dan penyanyi itu.“Sebenarnya saya mula keluar dengan Aqasha sebelum saya menyertai AF tetapi ketika itu saya tidak mahu membuat sebarang pengakuan. Biarlah saya mendaki puncak seni kerana usaha sendiri, bukan menumpang nama sesiapa.
“Walaupun saya dan Aqasha serius bercinta, kami masih memerlukan tempoh dua atau tiga tahun lagi untuk mematangkan diri. “Perkenalan kami bermula apabila abang saudara saya, Hazil yang juga suami Nadia Mustapha, kenalkan Aqasha pada saya. Itulah permulaan hubungan kami,” katanya.Tasha mengakui mereka kini jarang berjumpa kerana Aqasha menimba ilmu di International College Of Music (Icom) dalam jurusan Kejuruteraan Bunyi.“Aqasha memang meminati bidang muzik dan pernah menghasilkan album sebelum bergelar pelakon. Disebabkan kesibukannya ke kuliah, Aqasha juga jarang berlakon.“Saya juga tidak mahu mengganggu pelajarannya kerana apa yang dilakukannya untuk masa depannya juga. Jadi, eloklah kami mengejar cita-cita sebelum memikirkan soal jodoh. Insya Allah kalau ada jodoh, pasti kami akan bersatu juga,” katanya .
Sumber : Metro