KENYATAAN penyanyi Amy Serach mengenai sikap radio swasta yang dikatakan keterlaluan memutarkan lagu penyanyi Indonesia turut mendapat maklum balas Hot FM.Kalau sebelum ini Hot FM mengambil sikap berdiam diri di saat pelbagai pihak memberi kenyataan dengan mendakwa radio swasta tidak membantu industri muzik tempatan dan tidak patriotik, akhirnya orang kuat Hot FM tampil membela diri.Pengurus Besar Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Seelan Paul berkata, apa yang berlaku bukanlah sesuatu yang asing tetapi berdasarkan perkembangan muzik semasa.
“Kalau kita lihat secara umum, karya Indonesia semakin mendominasi pasaran muzik di Malaysia. Jika diimbas kembali tatkala negara hangat dengan pengaruh Hindustan, hampir semua stesen radio tempatan memainkan lagu Bollywood.“Bagi saya fenomena ini bermusim. Sebagai stesen radio baru yang pantas berkembang, Hot FM mencuba sedaya upaya menyiarkan segala yang terbaik untuk pendengar.“Pihak kami turut melaburkan ratusan ribu ringgit setiap tahun bagi membolehkan penyelidikan membabitkan permintaan jalur muzik manakah yang dimahukan pendengar sasaran.“Setiap tahun juga membuktikan terdapat sambutan yang tinggi daripada pendengar tempatan terhadap muzik dari Indonesia,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa Hot FM dan Fly FM.
Katanya, tidak wujud soal diskriminasi dalam organisasinya membabitkan karya tempatan atau seberang kerana apa yang diputarkan di stesen itu setiap hari memenuhi kriteria ditetapkan.“Memandangkan Hot FM mensasarkan pendengar berumur 15 hingga 30 tahun, lagu yang dimainkan perlu sesuai dengan cita rasa golongan ini.
“Kami tidak pernah mengabaikan penyanyi dan karya tempatan kerana menyiarkan lagu artis tempatan sama ada lama dan baru, popular atau tidak.
“Contohnya kami memberi laluan kepada artis yang menghasilkan muzik bagus tetapi bergerak sendiri seperti Meet Uncle Hussin dan Estranged. Malah lagu terbaru Ramlah Ram turut disiarkan dan mendapat tempat di hati pendengar,” katanya.Seelan turut menggesa penggiat industri muzik agar lebih peka terhadap gaya muzik terkini untuk memikat selera pendengar memandangkan mereka inilah konsumer muzik yang membeli album dan muzik menerusi digital.“Pendengar lebih bijak memilih dan tidak mudah ‘disogok'. Dalam hal ini, terpulang kepada kreativiti penggiat seni tempatan untuk memenangi hati dan halwa telinga pendengar.
“Apa yang kita lakukan sekarang ialah menghadkan lagu Inggeris dan meletakkan lagu Indonesia sebagai lagu serumpun tetapi hanya kurang 25 peratus daripada keseluruhan lagu Melayu yang diputarkan.“Kalau menyentuh pengaliran wang keluar, saya tidak nafikan ia berlaku tetapi ia senario yang biasa bagi mana-mana stesen radio.“Hot FM juga cuba mengambil beberapa inisiatif menghidupkan kembali industri muzik pada 2008. Namun begitu, ia mungkin satu perubahan kecil kerana selebihnya terletak di tangan penggiat seni itu sendiri,” katanya.Antara penyampai Hot FM yang hadir di majlis berbuka puasa itu ialah Putri Andreanna Syiqim Mohd Razalli atau Anne, Sharifah Aleya, Ikhwan dan Azura. Anne bertugas pada pagi raya untuk menemani pendengar dengan celotehnya.
Sumber : Metro