Wednesday, October 3, 2007

RTM1 papar filem boxoffice sempena hari raya

HIMPUNAN filem terbaik yang mencatat kutipan boxoffice bakal memeriahkan kaca televisyen anda sepanjang sambutan Aidilfitri nanti. Menampilkan tagline, Meriah Aidilfitri, RTM1 membawakan lima filem hebat untuk tontonan sekeluarga bermula 14 Oktober depan. Menyajikan empat filem terbaik produksi tempatan iaitu Cicak-Man, Tentang Bulan, Baik Punya Cilok dan Tipah Tertipu, siri yang menghiasi slot Wayang Perdana ini turut menyiarkan sebuah filem Indonesia, Heart.

Filem Box Office Cicak-Man arahan Yusry KRU menemui penonton pada 14 Oktober, jam 9.00 malam. Cicak-Man mengisahkan Hairi (Saiful Apek) dan Danny (Yusry) yang bekerja di syarikat milik Profesor Klon (Aznil Nawawi) di bandar Metrofulus. Suatu hari, Hairi melepaskan seekor cicak yang menjalani ujian vaksin terbaru di makmal dan termasuk ke dalam minumannya. Akibat kejadian itu, Hairi mengalami perubahan dan bersikap seperti reptilia kecil itu yang berupaya memanjat dinding, mengalami luka yang cepat sembuh dan cekap menggunakan lidahnya. Pada masa sama, kota Metrofulus dilanda satu virus dan setiap kali wabak itu menimpa, Profesor Klon datang bersama penawarnya. Hairi dan Yusry mengesyaki ada dalang di sebalik krisis itu.

Menyusul pada 15 Oktober, filem berkisarkan kehidupan kanak-kanak Tentang Bulan yang menghiasi kaca televisyen anda jam 2 petang petang. Filem yang menggunakan teknik imbas kembali ini memaparkan kisah seorang gadis yang dalam perjalanan menghadiri majlis perkahwinan terkenangkan kembali zaman kanak-kanaknya bersama lima sahabatnya iaitu Mawi, Gemuk, Ketot, Budi dan Ila. Kehadiran Ina menyebabkan Ila cemburu dan dipinggirkan kawan-kawannya yang `jatuh hati' dengan keayuan Ina sedangkan Ila bersifat `tomboy'. Ila cuba berubah tetapi ditertawakan kawannya menyebabkan dia menyisihkan diri sehinggalah dia berpindah mengikut keluarganya ke tempat lain. Siapakah gadis itu dan perkahwinan siapakah yang akan dihadirinya? Filem terbitan 2006 ini dibintangi pelakon kanak-kanak seperti M Addy Ashraf, Nik Adruce, M Nasiruddin, Nor Zam Zam Zakaria dan Fatin Nur Afifah.

Slot Wayang Perdana diteruskan dengan filem Baik Punya Cilok yang bersiaran pada 16 Oktober, jam 8.45 malam. Baik Punya Cilok memaparkan kisah lucu lima sahabat Aben (Afdlin Shauki), Bob (Awie), Jerry (Hans Issac), Wak (AC Mizal) dan Leman (Harum Salim Bachik) yang berpakat untuk merompak Tauke Wong (Patrick Teoh), tauke pajak gadai bagi mendapatkan kembali kerongsang nenek Wak yang dipajakkan ketika mahu mengahwini Nazatul (Nadia Mustafar). Menyedari nilainya begitu tinggi, Tauke Wong tidak mahu menjual kembali kerongsang itu, lalu menggandakan harga bunganya sehingga Wak tidak mampu membayarnya.

Dalam keadaan terdesak mereka merancang merompak Tauke Wong. Saksikanlah gelagat lucu mereka ketika membuat perancangan untuk mendapatkan kerongsang itu semula. Menyusul pada 17 Oktober jam 2 petang, filem komedi muzikal, Tipah Tertipu. Filem arahan Ahmad Idham ini berkisarkan lima sahabat Azan, Cat, Amer, Zain dan Hussein (Ruffedge) yang berkawan sejak kecil. Mereka jatuh hati kepada gadis yang sama yang juga sahabat baik mereka, Tipah. Enam tahun berlalu, Tipah akhirnya bersedia untuk mengumumkan jejaka pilihan hatinya dan ingin bertemu dengan mereka semua di kampung halamannya di Perlis. Perjalanan lima sahabat itu ke Perlis mengundang sesuatu yang di luar dugaan.

Siapakah di antara mereka berlima menjadi pilihan Tipah? Adakah keputusan yang dibuat Tipah berbaloi dengan segala kesusahan dan kepertian yang mereka lalui hanya untuk pulang ke Perlis? Semuanya akan terjawab dalam Tipah Tertipu.’ Filem itu turut dibintangi oleh Adlin Aman Ramlie dan Intan Ladyana. Sementara itu, filem Indonesia yang menyayat hati Heart akan ditayangkan pada 19 Oktober, jam 9.15 malam. Ia mengangkat kebesaran dan kemurnian cinta sehingga seseorang itu sanggup mengabaikan dirinya demi kebahagiaan orang lain. Itulah dilema yang dialami Rachel (Nirina Zubir) yang berkawan rapat dengan Farel (Irwansyah) sejak kecil. Dia dalam diam mencintai Farel tetapi tidak mampu melafazkannya. Farel pula langsung tidak menyedari perasaan cinta Rachel terhadapnya.

Sebagai kawan baik, ketika Farel memberitahu Rachel bahawa dia jatuh cinta kepada Luna (Acha Septriasa), Rachel memberi sokongan. Namun, jauh di sudut hatinya timbul perasaan cemburu yang tidak pernah dirasakannya selama ini. Sanggupkah Rachel menjadi seperti lilin membakar diri untuk menerangi orang lain? Pastikan janji anda dengan Heart untuk mengetahui kesudahan perjalanan cerita yang digarap kemas bersama lagu latar sentuhan komposer terkenal, Melly Goeslaw.

Sumber :Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR