Apakah mereka kembali bersatu sebagai suami isteri? Lebih menguatkan bukti apabila kedua-duanya tidak menolak bergambar bersama bahkan di mana ada Aziz d isitu ada Vee.
Ketika berbual dengan wartawan, kemesraan dan kasih sayang antara mereka kelihatan masih menebal malah beberapa kali terdengar Aziz memanggil Vee dengan panggilan 'ibu'. Seakan dapat menduga tanda tanya yang bermain di fikiran wartawan, Aziz berkata, mereka bukan datang berdua-duaan sebaliknya berasingan."Kami datang dengan kenderaan masing-masing. Malah langsung tidak merancang mengenakan pakaian sedondon dan ia hanya kebetulan. "Tidak apa yang perlu dirahsiakan kepada umum mengenai hubungan saya dengan Vee ketika ini kerana tiada petanda untuk kami kembali bersatu sebagai suami-isteri. Tapi kami kini bersahabat baik. Selama 15 tahun bersama walaupun sekarang tiada sebarang ikatan, kami masih berkongsi anak-anak.
"Saya akui sehingga saat ini makan pakai saya masih dipantau Vee. Saya potong rambut seperti ini pun kena tegur dengan dia. Mungkin sebab sudah terbiasa kerana sejak dulu lagi dialah yang menentukan baju apa yang sesuai dan patut saya pakai memandangkan saya ini jenis manusia yang tidak kisahkan penampilan."Pakaian kami malam ini misalnya. Sebagai kawan baik, tidak salahkan jika kami memilih baju sedondon. Mungkin ia janggal di mata umum namun tidak pada kami kerana sehingga kini kehidupan kami tidak banyak bezanya melainkan tidak lagi sebumbung, sekatil dan sebilik."Lagipun kami mengambil keputusan untuk berpisah bukan sebab saya sudah menyampah tengok muka dia atau dia juga benci tengok muka saya, sebaliknya kami bercerai atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dijelaskan selain percaya ini sudah suratan Tuhan," katanya. Sementara itu Vee berkata, dia dan Aziz masih menjalankan perniagaan bersama serta bekerja dalam satu pejabat yang sama. Malah mempunyai perancangan untuk menubuhkan anak syarikat Ace Motion Pictures, Padi Pictures dan Ace Media Post pada masa terdekat ini.
Katanya, Padi Pictures sebuah produksi yang membabitkan penerbitan filem dan antara yang sedang diusahakan adalah filem Azura manakala Ace Media Post pula syarikat rakaman suara.
"Sebab itulah hubungan kami tetap baik sampai sekarang hingga saya sendiri masih mengambil berat penampilan Aziz."Kita ini orang berniaga, kenalah jaga imej. Sebab itulah walaupun sudah bercerai saya masih mengambil berat soal penampilan Aziz kerana dia bukan saja membawa syarikat dia tetapi secara tidak langsung nama saya."Apa yang membuatkan kami terus berkawan baik sehingga hari ini kerana sebelum mengambil keputusan bercerai, kami pernah berjanji untuk menjadi ibu bapa yang baik. Kami tidak mahu merosakkan masa depan anak disebabkan orang tua bermusuhan," katanya.
Mengenai penampilan kini yang tidak lagi bertudung berbanding ketika masih menjadi isteri, Vee enggan memberikan sebab sebenar dia berbuat begitu. "Saya terpaksa merahsiakan perubahan ini atas sebab-sebab tertentu yang tidak boleh dikongsi bersama. Berkenaan tohmahan masyarakat sekeliling rasanya sekarang ini pun sudah ada orang yang bercakap tapi apa yang mampu saya lakukan melainkan hanya berdiam diri," katanya.
Sumber : Metro