TIGA tahun melayari bahtera kehidupan sebagai selebriti pujaan ramai, penyanyi kecil molek, Farah Diana Anuar, 22, tidak terlepas dicengkam bayangan peminat misteri. Peliknya, kebanyakan yang memburunya adalah peminat wanita - bukan lelaki seperti kebiasaan artis popular lain.Tidak ketinggalan, dirinya turut dihambat SMS (sistem pesanan ringkas) berunsur lucah dan ada kalanya berbaur cinta daripada peminat fanatiknya.
Namun, semuanya dilayan dengan baik, tidak sesekali penyanyi yang popular dengan lagu Tangisan Dalam Kerinduan itu mengasari peminat yang banyak berjasa pada dirinya.Sambil tersenyum, Farah akui: “Saya tak mahu menghampakan harapan peminat, apalah sangat sekiranya saya membalas SMS mereka yang bertanya khabar. Lebih daripada itu, ada juga yang menghantar ungkapan cinta, ajak dating dan ingin melamar tapi saya ambil pendekatan positif.“Saya tak marah dan tidak sesekali mengeluarkan perkataan kesat kepada mereka. Kalau tak suka, saya tak akan membalasnya, bukan sebab saya sombong atau sudah lupa diri.
Rasanya lebih baik saya tidak memberikan apa-apa maklum balas, saya percaya mereka faham akan maksud saya.“Bagaimanapun, saya bersyukur hingga kini tidak pernah lagi saya menerima SMS lucah atau yang terlampau.” Duta produk Power Root itu bagaimanapun dia tidak akan melayan SMS peminat lelaki sekiranya mengetahui lelaki itu berstatus suami orang kerana tidak mahu mengundang fitnah dan salah sangka.
“Saya bimbang menjadi peruntuh rumah tangga orang lain, jadi untuk tidak mendatang syak wasangka, saya akan cuba lari dari jejaka berstatus suami orang. “Sebenarnya sebagai artis, saya perlu profesional melayan semua peminat dengan baik tidak kiralah bujang atau yang sudah berkeluarga, tetapi kadang kala saya lihat orang yang berumahtangga lain macam sedikit pendekatannya. Saya jadi takut apabila didekati golongan ini,” kata penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu.
Mengenai Ramadan, Farah berkata sepanjang bulan puasa ini, dia hanya berehat di rumah selain memenuhi undangan berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan orang kurang upaya. “Saya mahu meluangkan masa yang lebih untuk keluarga selain mahu memberi tumpuan pada ibadat. Jika tiada undangan berbuka puasa, saya mahu mengerjakan solat Tarawih bersama keluarga di masjid,” katanya sambil mengakui menyediakan dua pasang baju kurung baru sempena hari lebaran kali ini.
> Album baru lepas raya
DUA tahun menunggu, akhirnya album kedua Farah bakal menjengah di pasaran tidak lama lagi. Album pertama, Antara Dua membuktikan Farah mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan penyanyi lain apabila beliau dinobatkan gelaran Artis Harapan Terbaik Anugerah Industri Muzik Ke-12 dan Artis Baru Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2005.
Lagu Tak Tahu Antara Dua duet dengan Adam serta Tangisan Dalam Kerinduan sering mengungguli carta radio tempatan dan menjadi siulan ramai. Namun persoalannya mampukah Farah mengekalkan popularitinya memandangkan kemunculan artis program realiti seperti cendawan tumbuh selepas hujan?“Saya percaya pada rezeki, kalau ada rezeki tak mana. Dulu, mungkin kurang persaingan tetapi kini industri muzik sudah dilambakkan dengan kebanjiran program realiti yang tidak putus-putus, jadi semakin ramailah artis baru muncul.
Apapun, saya tidak menganggap boleh menjejaskan populariti sebaliknya saya percaya jika bagus dan mampu membuat sesuatu yang baik, pastinya saya tidak tersingkir dalam persada seni suara,” katanya.Menceritakan album keduanya, Farah berkata, album itu hampir 95 peratus siap, hanya menunggu rakaman satu lagu terakhir. Antara komposer terbabit ialah Ajai, Aidit Alfian, Razman dan Tam Spider.“Sepatutnya album ini sudah disiapkan tahun lalu, tapi kesibukan dan masalah kesihatan membuatkan saya terpaksa menunda rakaman. Apabila rakaman sudah dijalankan, saya terpaksa menukar beberapa lagu yang tidak sesuai dengan vokal dan feel saya, jadi terpaksa tunggu lagi.“Kini saya hanya menunggu rakaman sebuah lagu saja lagi, sepatutnya album ini menjengah pasaran Ogos lalu tetapi nampaknya mungkin selepas Aidilfitri atau awal tahun depan berada di pasaran.
Saya mahukan sesuatu yang lebih segar baik dari segi muzik dan seni kata lagu.“Saya akui agak teliti dalam membuat pemilihan lagu untuk album kali ini. Saya juga mahukan kelainan dan mencuba konsep yang baru. Saya turut menyelitkan sebuah lagu yang menampilkan muzik orkestra berentak slow rock sebagai eksperimen,” katanya.
INFO: Farah
Nama: Farah Diana Anuar
Usia: 22 Tahun
Tarikh Lahir: 25 Januari 1985
Tempat Lahir: Kuala Lumpur
Kejayaan: Artis Harapan Terbaik Anugerah Industri Muzik Ke-12 & Artis Baru Popular; Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2005
Duta: Power Root, Mamee & Syahira
Adik Beradik: Anak ketiga daripada enam beradik
Drama: Akademi
Filem: Man Laksa
Album: Antara Dua & Evo
Lagu Popular: Tak Tahu Antara Dua & Tangisan Dalam Kerinduan
Sumber : Berita Harian