Sunday, October 7, 2007

Jehan & Jue menggapai impian


TIADA yang lebih membahagiakan bagi sepasang kekasih andai jalinan hubungan diikat dengan suatu yang dinamakan perkahwinan. Apalagi kemudiannya perkahwinan itu diserikan pula dengan zuriat yang membuatkan rumah tangga ceria dengan keletah dan kerenah anak-anak.
Sementelah Syawal yang bakal menjelma, keceriaan suara ria anak-anak menyambut lebaran pastinya mengundang bahagia berganda. Seperti pasangan lain yang sedang melayari alam percintaan, pasangan Jue Aziz dan Jehan Miskin turut merasai keinginan untuk berumah tangga dan menimang cahaya mata sendiri.
Melihat keterujaan anak-anak menyambut lebaran, keseronokan menggayakan pakaian baru di pagi Syawal dan kemudian galak bermain bersama sanak saudara yang lain sememangnya menjadi satu impian bagi pasangan yang sedang hangat bercinta itu.
“Sudah tentu saya mengimpikan keghairahan menyambut Syawal bersama suami dan anak-anak,” ungkap Jue.
Apalagi Jue dan Jehan sendiri memang begitu menyenangi kanak-kanak dan suka melayan kerenah mereka. Menurut Jue, dia seronok melihat keletah abang dan kakaknya melayan kerenah anak-anak mereka di pagi lebaran.
“Selalunya pagi raya akan riuh-rendah dengan suara mak bapa masing-masing melayan anak yang teruja nak menyambut raya. Biasalah, budak-budak kan selalu mudah teruja.
“Terbayang saya bagaimana agaknya kalau saya mempunyai anak sendiri. Kadang-kadang saya dan Jehan selalu berangan, agaknya kalau kami menimang cahaya mata, bagaimana rupa paras anak kami itu nanti. Ikut wajah saya ke ikut wajah dia,” kata Jue sambil ketawa.
Mempunyai keluarga yang besar dengan 14 orang anak buah, Jue mengakui dia dan buah hatinya itu seronok melayan kerenah mereka yang bukan sahaja comel tetapi nakal dan selalu mencuit hati.
“Kami berdua memang sukakan budak-budak dan selalunya memang kami suka sangat melayan anak-anak buah Jue.
“Mereka panggil Jue, Mak Chu dan Jehan pula Pak Chu. Jehan selalunya berlebih-lebih melayan anak-anak buah Jue ni. Nak-nak dah dekat raya begini, dia yang galak bermain mercun dan bunga api bersama-sama abang Jue dan anak-anak buah,” cerita Jue lagi.
Sementara bagi Jehan, mempunyai anak memang dapat membahagiakan rumah tangga. Jehan turut menumpang kebahagiaan dan kegembiraan saat melihat keluarga orang lain bermain dengan anak masing-masing. Namun begitu perasaan itu dapat diubati kerana kekasihnya mempunyai bilangan anak saudara yang ramai.
“Saya rapat dengan anak-anak buah Jue dan sering bermesra dengan mereka. Tetapi saya percaya suatu hari nanti saya akan dapat menikmati sendiri kemesraan seumpama itu dengan anak-anak saya,” kata Jehan.
* Bercinta dan berumah tangga
Sememangnya kata Jue, bukan tidak terlintas di fikiran untuk meraikan sambutan Aidilfitri dengan suami dan zuriat sendiri namun perjalanan ke alam perkahwinan masih jauh. Alam percintaan juga baru setahun lebih mereka harungi dan Syawal ini merupakan Syawal kedua yang mereka sambut bersama.
“Kami ada berbincang mengenai perkahwinan tetapi belum sebegitu serius. Kalau boleh, kami pun tak berapa gemar sangat menguar-uarkan kisah kahwin.
“Tapi kalau sudah bersedia, kami tidak akan berahsia dan pasti sekali mengumumkannya kepada semua,” ujar Jue.
Berbeza usia empat tahun – Jue, 24, dan Jehan, 28, – bagi mereka masih banyak ruang dan masa untuk mengeratkan lagi hubungan cinta mereka sebelum memikirkan secara serius soal komitmen.
“Kami tidak mahu merancang. Kami lebih senang ia tiba pada waktu sepatutnya ia menjelma,” kata Jue lagi. Sukar menggambarkan isi hati terhadap Jehan namun kata Jue, dia amat menyenangi lelaki itu kerana keserasian antara mereka.
Jue mengakui jejaka kacak itu menjadi idaman hatinya kerana dia juga seorang lelaki yang penyayang, bertanggungjawab dan tegas terutama perkara yang berkaitan bab kerja dan kerjaya.
“Dia juga manja dan mungkin itu membuatkan kami serasi sebab Jue pun anak manja. Iyalah , dua-dua pun anak bongsulah katakan.”
Jue tidak menafikan melihat Jehan sebagai pilihan bergelar suami dan bapa kepada anak-anaknya andai takdir menjodohkan mereka berdua.
“Jehan bukan sekadar kekasih, tetapi juga seorang teman, bapa dan abang. Dia memahami saya. Malah memang kriteria sebagai bapa wujud dalam dirinya. Jue selalu tersenyum sendiri kalau melihat dia melayan anak-anak buah Jue,” kata Jue lagi.
Bagi Jehan pula sebagai seorang yang bercinta tentu saja memikirkan perkara yang baik-baik. Siapa yang tidak mahu berumah tangga dan siapa yang tidak impikan untuk mempunyai anak-anak sendiri. Akui Jehan, dia dan Jue mengharapkan hubungan itu akan meniti jambatan yang baik iaitu sehingga ke jenjang pelamin.
Tetapi pada masa ini terlalu awal untuk membicarakannya kerana masa hadapan itu masih terlalu jauh. Cuma pada ketika ini kata Jehan, hubungannya dengan Jue selain sebagai pasangan kekasih mereka adalah sahabat yang menekankan konsep ikhlas dalam hubungan.
“Dalam setiap apa yang kita lakukan hendaklah ikhlas dan begitulah juga hubungan kami. Saya percaya keikhlasan akan membawa kepada kebahagiaan dalam setiap apa yang kita lakukan.
“Tetapi dalam masa yang sama kita perlu percaya terhadap ketentuan iaitu jodoh itu urusan Tuhan,” ujarnya. Namun melayari bahtera kebahagiaan itu akui Jehan, mereka tidak terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai gosip.
Tetapi Jehan menganggap perkara itu dapat mematangkannya dan sedikit pun tidak menjejaskan kerjaya lakonan dan hubungan cintanya dengan Jue.
“Sepanjang kami berkawan, macam-macam orang perkatakan tentang kami malah pelbagai cerita tidak benar dilemparkan. Tetapi itu semua adalah ujian hidup sebagai seorang artis. Untuk terjun ke dalam dunia hiburan, kita kena kuat menempuh ujian itu dan syukurlah, kami kuat menanganinya,” tambah Jehan yang seterusnya menafikan hubungan mereka dilanda badai.
* Bersederhana
Bercerita tentang sambutan Syawal bersama, kata Jue, mereka menyambut lebaran dengan penuh kesederhanaan. Apa yang penting bagi keduanya ialah mengunjungi keluarga kedua-dua belah pihak – Jue di Ampang dan Jehan pula di Damansara.
Namun kata Jue, pakaian pilihan mereka pastinya sedondon walaupun pada pagi raya, kedua-duanya meraikan dahulu bersama-sama keluarga masing-masing sebelum pada sebelah tengah hari atau petang, Jue dan Jehan saling bertandang di kediaman keluarga mereka.
“Tahun ini saya tak sempat menempah baju. Jadi beli yang siap sahaja. Dah beli dua pasang dengan warna dasar hitam dan biru laut,” kata Jue.
Sepanjang sebulan berpuasa juga, kata pelakon yang meningkat namanya menerusi drama Dua Hati dan Manjalara itu, dia bercuti daripada sebarang penggambaran.
Selain mengambil peluang untuk berehat, menghadiri majlis berbuka puasa dan berkumpul menghabiskan masa bersama keluarga, Jue juga memberitahu beberapa kali meluangkan masa berbuka puasa bersama keluarga Jehan.
“Jehan juga berbuka bersama keluarga Jue selain turut menziarah kaum keluarga yang lain,” katanya.
Sumber : Utusan
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR