Tak serik-serik pengacara yang seorang ni. Bulan Ramadan pun buat perangai juga. Mulut ‘tak ada insurans’ dia memang sudah tak boleh dikawal lagi dah.
Terbaru pengacara yang boleh dikategorikan dalam golongan ‘senja’ ini buat perangai buruk, fitnah teman baik sendiri.
Yang jadi mangsa teman baik dia juga, yang banyak menabur jasa kepada dirinya dan rancangan yang dikendalikannya. Selidik punya selidik, rupa-rupanya dia yang bagi maklumat kepada media, suruh kutuk teman baik dia tu.
Bukan kepada seorang wartawan, tetapi dengan semua wartawan dia bercerita buruk tentang kawan baik dia tu. Kalau betul tak apa juga, tetapi banyak yang hanya direka-reka untuk menyedapkan ceritanya. Biar nampak dia baik, orang lain jahat.
Sebenarnya Joyah tahu perangai pengacara ini sudah lama. Dia memang suka jaja cerita orang, burukkan orang lain dengan sesuka hati, sesedap rasa.
Patutlah sebelum ini dia sudah ada masalah dengan beberapa rakan artis lain. Jadi musuh dengan tiba-tiba walaupun dulu baik. Rupa-rupanya dia memang suka ‘pekena’ kawan baik sendiri. Tak mengenang budi langsung si mamat ni.
Kata kawan Joyah, pengacara tu buat semua tu dengan bersebab. Untuk popularkan dirinya sendiri.
Kononnya hanya dengan cara itu saja, dia boleh mendekatkan diri dengan media, selain promosi diri sendiri. Dia akan dengan sukarela jadi tukang sebar gosip pasal artis dan teman-teman dia sendiri kepada pihak media.
Tak kiralah betul ke tidak, janji dia bagi informasi dekat wartawan maka dia akan puas hati. Lepas buat cerita, dia akan telefon wartawan, hantar mesej ajak pergi ke sidang akhbar program dia sebagai balasan. Minta keluar cerita dia, macam-macam lagilah. Ada juga rupanya manusia macam ini ya.
Jadi mana-mana artis, berhati-hatilah. Kalau setakat berkawan saja boleh, tetapi hendak rapat sangat fikirlah beratus kali.
Sebenarnya kawan-kawan Joyah dah tak kuasa nak layan dia. Banyak yang bagi tahu Joyah, masing-masing menolak tugasan kalau membabitkan si pengacara ni. Tapi kalau sudah disuruh oleh majikan, pergilah juga. Sebab kami ni masih ada hati perut lagi, buat-buat juga cerita dia.
Dapat penuhkan majalah, surat khabar jadilah. Tak tahulah perangai dia bila hendak berubah. Harap-harap macam yang didoakan oleh banyak kawan-kawan Joyah, biarlah si pengacara ini mendapat hidayah pada bulan mulia ini. Berilah dia cahaya keinsafan pada hari baik bulan baik ini.
Sudah-sudahlah buat perangai buruk, awak tu sudah tua. Buatkan kerja berfaedah dan membina nama baik sendiri. Masa belum terlambat untuk anda insafkan diri.
Sumber : Utusan