RAMADAN mendekati penghujungnya, terasa pantas masa berlalu dan hampir sebulan umat Islam mengerjakan ibadah berpuasa. Menjelang fajar Syawal, tiba masanya meraikan Aidilfitri hari kemenangan selepas sebulan menahan lapar dan dahaga. Komitmen TV3 sebagai pengisian pada bulan mulia ini diteruskan dengan himpunan pelbagai program menarik. Membawakan tema Raikan Bersama TV3, sajian program menarik menanti penonton dimulai pada malam menjelang Syawal. Drama penuh tragis, Takdir Sedang Berbisik lakonan Rosyam Nor, Umie Aida dan Fauziah Nawi menyelak tirai Syawal berkisarkan Husin yang ditimpa kemalangan sekali gus mengubah kehidupannya bersama Maimon.
Husin lumpuh dan kehilangan pekerjaan. Maimon cuba menggugurkan kandungannya namun gagal. Maimon yang tidak pernah hidup susah terpaksa membantu Mak Piah menoreh getah. Himpunan filem blockbuster bermula dengan filem komedi, Nana Tanjung pada raya pertama, disusuli filem penuh aksi Remp-It (raya kedua), Pontianak Harum Sundal Malam 2 (raya ketiga), Cinta Fotokopi (raya keempat), Mukhsin (raya kelima) dan Pemburu Emas Yamashita (raya keenam). Senarai itu berterusan sehingga 19 Oktober ini. Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Farid Ridzuan berkata, sebagai stesen nombor satu TV3 tidak hanya menyajikan filem terbaik.
Sebaliknya sajian program menariknya dilengkapi dengan pelbagai elemen yang memenuhi cita rasa penonton termasuk muzikal, sitkom, variasi, dokumentari juga program kanak-kanak. "Krew TV3 menjelajah ke seluruh pelusuk dunia bagi memastikan program yang disajikan menarik dan memberi manfaat kepada penonton seperti Ketupat Rendang Kanggaru, Aidilfitri Batu 60, Elham & Isra, Iktibar Tragedi 2, Nostalgia Personaliti dan Bersamamu Khas Raya," katanya pada majlis pelancaran program raya TV3 di KL Sentral, baru-baru ini. Selain filem dan dokumentari, TV3 turut menceriakan sambutan Syawal dengan program hiburan dan muzikal bersama barisan artis terkenal seperti Ole-Ole Raya dan Joget Lambak Bersama Fara pada raya pertama, disusuli Romansa Raya, Setahun Sekali dan Gangstarz Raya Special pada raya kedua.
Saksikan juga sitkom yang mencuit hati, Empat Diva Sekampung lakonan Ziana Zain, Ezlynn, Mas Idayu dan Hetty Sarlene pada raya ketiga, manakala Bawang Kecil Bawang Besar dengan gelagat lucu Amy Mastura dan Syanie menemui penonton pada raya keempat. "Apa yang dapat saya simpulkan segala-galanya ada di TV3. Kami sentiasa menitikberatkan pemilihan program terutama menjelang musim perayaan. Buktinya tahun lalu TV3 mendominasi kadar penonton mencecah 50 peratus pada minggu raya," katanya. Majlis pelancaran itu turut diserikan barisan personaliti TV3 serta artis seperti Mas Idayu, Ziana Zain, Ezlynn, Hetty Sarlene, Faizal Hussein, Maya Karin dan Kanchana Dewi. Selain tayangan program terbaik sepanjang Syawal, TV3 turut menyiarkan iklan raya bersama aksi lucu, Adibah Noor dan Hong Yuhang.
Sambutan Aidilfitri turut diserikan dengan klip video lagu raya, Raikan Bersama dan Suara Lebaran bersama barisan personaliti TV3 seperti Zakiah Anas, Azizah Ariffin, Fara Fauzana, Aidid Marcello, Ally Iskandar dan Aidiel Abdul Ghafar serta Faizal Tahir, The Lima dan Mendua. "Hasil jualan klip video ini akan didermakan kepada Tabung Bersamamu TV3," katanya. Majlis pelancaran penuh meriah itu diakhiri dengan pemberian sampul wang hari raya dan cenderahati kepada pengunjung KL Sentral.
Sumber : Berita Harian