Thursday, October 4, 2007

Empat filem Melayu meriahkan raya di RTM2

SAMBUTAN 1 Syawal dimeriahkan lagi dengan himpunan filem menarik menerusi RTM2 sepanjang Aidilfitri ini. Bersama tagline, Mesra Aidilfitri, empat filem Melayu menarik menanti penonton sepanjang empat hari pertama sambutan hari raya bermula 13 Oktober ini. Empat filem yang akan menemani penonton bermula jam 11 malam itu adalah Bintang Hati, Main-Main Cinta, KL Menjerit 1 dan Diva Popular. Bintang Hati yang bersiaran pada 13 Oktober (Sabtu) mengisahkan dua penyanyi, Syakila dan Jelly yang bersaing untuk menjadi lebih popular. Sikap ego Syakila sering mendatangkan masalah kepada pengurusnya, Tasya.

Tasya terpaksa menutup kelemahan Syakila untuk tidak menjejaskan kedudukannya sebagai penyanyi kesayangan ramai. Sikap Syakila yang tidak berdisiplin menyebabkan dia enggan bekerjasama merakamkan sebuah lagu yang diciptakan khas untuknya. Tasya terpaksa meminjamkan suaranya untuk lagu itu. Lagu Sesedang nyanyian Tasha berjaya memasuki carta lagu akhirnya mengatasi lagu nyanyian Jelly. Anehnya Syakila sendiri percaya lagu Sesedang adalah hasil rakaman suaranya. Seorang wartawan, Izad menemuramah Syakila untuk album terbarunya itu kerana pihak media curiga dengan kelainan suara Syakila dalam album berkenaan. Saksikan pelbagai kejadian menarik dan lucu berlaku sepanjang promosi jelajah album Syakila.

Antara pelakon yang membintangi filem ini ialah Amy Mastura, Anuar Zain, Fasha Sanda, Jaafar Onn, Saiful Apek dan Kumpulan Spider. Menyusul pada 14 Oktober, penonton disajikan dengan filem Main-Main Cinta lakonan penyanyi popular Misha Omar. Turut membintangi filem itu ialah Adam (AF2), Dynaz, Mohd Pierre Andre, Irma Hasmie, Farid Kamil dan Saiful Apek. Main-Main Cinta memaparkan pasangan ideal Kolej Metrowealth, Farah dan Adam yang menjadi idola pelajar. Maya iri hati dengan populariti Farah dan cuba memikat Adam. Maya memerangkap Adam dengan menyebarkan gambar mereka bersama di internet.

Farah berasakan Adam berlaku curang kepadanya dan beralih kepada pelajar baru, Farid yang tampan dan berjaya menggugat populariti Adam. Adam yang kecewa dengan tindakan Farah, mendekatkan diri dengan Maya. Slot filem Melayu di RTM2 diteruskan dengan KL Menjerit 1. Filem yang membariskan pelakon hebat tanah air ini mengisahkan Ku Idhzam yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja di sebuah kilang percetakan. Dia terbabit dengan kegiatan lumba haram. Ku mengajak sepupunya di kampung, Shahrul untuk turut sama berpindah ke kuala Lumpur . Pada mulanya Shahrul enggan kerana tidak yakin memandangkan dia tiada pengalaman dan hanya memiliki pendidikan yang tidak seberapa.

Namun, Shahrul tewas dengan pujukan dan janji Ku yang berjanji akan mendapatkan pekerjaan untuknya. Ku berkenalan dengan Khatijah, seorang siswa perubatan yang mengalami tekanan perasaan kerana sejarah silam yang tidak dapat dilupakan. Dalam pada itu, Nina, seorang pegawai penyiasat cuba membantu Khatijah dengan misinya untuk menyelesaikan kes membabitkan mat motor. Nina menyamar untuk mendapatkan maklumat dan semakin rapat dengan Shahrul. Filem ini dibintangi Rosyam Nor, Que Haidar, Erra Fazira dan Tengku Syahira. Filem Diva Popular pula menyusul pada 16 Oktober dengan paparan kehidupan dunia hiburan tanah air yang melucukan.

Erna Teteye, seorang pelakon yang sudah lama terkenal dan popular serta pernah menggondol beberapa anugerah berasa tercabar apabila tidak dipilih berlakon dalam sebuah filem terbitan Puan Julie. Filem yang bakal diarahkan oleh kekasihnya, Faizal menampilkan Tasha, seorang artis baru yang juga juara program realiti TV, Malaysia Fantasia. Ketidakpuasan hari Erna kerana tidak dipilih berlakon mengeruhkan hubungannya dengan Faizal. Malah, Erna dan Tasha mula berdendam dan memasangkan niat untuk menjatuhkan antara satu sama lain. Pelbagai kejadian berlaku sehingga mereka berdua tercalon pada Anugerah Bintang Popular.

Mereka sanggup bergolok bergadai untuk kelihatan seperti diva ke malam anugerah. Malangnya nama mereka tidak diumumkan sebagai pemenang dan ini memberi pengajaran kepada mereka mengenai kehidupan dunia seni yang penuh dengan warna dan ranjau. Diva Popolar dilakonkan oleh Umi Aida, Ezlynn, Azean Irdawaty, Khatijah Tan, Afdlin Shauki, Sheila Rusli, Azwan Ali dan Anita Sarawak.

Sumber : Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR