WALAUPUN hak penjagaan dua anaknya Puteri Aleeya Antasha, 7, dan Puteri Aleeya Antasha,, 4, berada di bawahnya, pelakon dan penyanyi Awie sedar dua puterinya itu pasti ingin berada di samping ibu mereka lebaran nanti. Dia tidak melarang jauh sekali untuk menghalang bekas isterinya Arni Nazira berjumpa dengan anak mereka. Awie tahu Arni juga mempunyai hak ke atas anak mereka, justeru, dia akan berlaku adil.
"Ia bergantung kepada berapa hari anak bercuti sekolah. Sekiranya lapan hari, maka empat hari mereka akan beraya bersama saya dan empat hari lagi bersama ibu mereka. "Saya tidak akan menghalang Arni untuk mengambil anak. Malah, saya langsung tidak pernah menghalang dia mengambil anak kami sebelum ini. Dia yang akan datang sendiri mengambil anak kami," kata Awie mengenai pembahagian waktu raya anak-anaknya. Biarpun sudah memiliki anak baru hasil perkongsian hidup dengan Rozana Misbun, 28, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 39, tidak mengabaikan dua puterinya itu. Persiapan raya dilakukan secara adil dan saksama tanpa membezakan mereka.
Malah, persiapan lebih tertumpu kepada anak-anak, berbanding dirinya sendiri. Syawal ini sedikit bermakna kerana dapat diraikan dengan satu-satunya anak lelakinya yang diberi nama Putera Ahmad Merah yang baru saja berusia enam bulan. "Kalau selama ini saya menempah baju kurung, tahun ini saya kena menempah baju Melayu pula," kata Awie yang seronok dengan kehadiran puteranya itu yang dipanggil Merah. "Bagi saya antara anak lelaki dan perempuan tidak ada bezanya, cuma bezanya hanya pada susuk tubuh badan saja. Cuma sekarang apabila balik kerja, biarpun lewat Merah seperti menantikan kepulangan saya.
Walaupun jam sudah 3 hingga 4 pagi dia akan terjaga dan sempat bergurau dengan saya," kata Awie yang ditemui pada majlis pelantikannya dan Merah sebagai duta untuk syarikat CellSafe International Group (CSI). Awie juga berkata, tumpuan kepada dua puterinya itu tidak pernah diabaikan sebaliknya dia memberikan layanan yang sama rata. Malah isterinya, Rozana juga cukup akrab dengan anak-anaknya biarpun dia hanya ibu tiri. "Perhatian dan tumpuan sama rata. Lagipun, ibu tiri mereka menjaga mereka seperti anak sendiri, cuma bezanya emak betul dengan emak tiri itu saja," tambah Awie.
Kehadiran Merah bukan hanya menceriakan kehidupan mereka suami isteri, tetapi kata Rozana, dua kakak Merah begitu menyayangi adik mereka. "Kakak Merah cukup sayang kepada adik mereka. Balik saja dari sekolah mereka mesti mencium Merah terlebih dulu," katanya. Ditanya perasaannya pertama kali berhari raya dengan anaknya bersama Rozana yang juga adik kepada pelakon Haliza Misbun, Awie berkata, perasaannya seperti biasa cuma bab persiapan raya dia lebih menumpukan kepada anak-anak. Mereka akan meraikan hari raya pertama di rumah keluarga mentua di Cheras sebelum pulang ke rumah nenek Rozana di Kuala Lipis.
'Kera di hutan disusukan...'
KATA Awie, perumpamaan itu cukup kena untuk menggambarkan mengenai kepincangan industri muzik Malaysia yang terlalu mengagungkan artis seberang. "Kalau kita terus memberi muka kepada artis Indonesia, sampai bila pun artis kita tidak akan merasa hasilnya. Kita terlalu memberi kelonggaran kepada mereka, diberi layanan permaidani merah sehingga artis sendiri dipinggirkan menjadi artis kelas dua. "Sepatutnya kita perlu menetapkan terma dan syarat apabila artis luar hendak masuk ke negara kita. Persatuan kita yang sepatutnya tetapkan, seperti mana yang kita hadapi kalau cuba masuk ke negara mereka. "Apabila ada terma dan syarat baru ada keberkesanan.
Contohnya, jika mereka mahu bawa masuk lagi di sini, kita sepatutnya tetapkan syarat yang mereka kena gunakan komposer kita," katanya. Kata Awie lagi, negara kita juga mempunyai ramai ahli muzik yang bagus seperti kumpulan Exists, Man Kidal, Black, Kid, Nan Botak dan ramai lagi tetapi kita terus mengagungkan artis dari seberang dengan alasan masyarakat Indonesia ramai di sini. "Syarikat yang besar juga hanya mahu menaja artis luar. Itulah kepedihan yang ditanggung anak Melayu yang main muzik padahal kita ada kumpulan yang bagus seperti Sofaz.
"Saya sudah meluahkan mengenai perkara ini bertahun lalu, tetapi keluhan saya tidak diambil peduli. Kita sepatutnya kena ada peruntukan daripada kerajaan seperti industri perfileman, tetapi kenapa untuk industri muzik tidak ada? "Kita perlu ada sentimen. Apabila orang luar mahu masuk ke negara kita, kita tidak sepatutnya beri peluang barulah terjamin periuk nasi kita. Orang kita juga harus agungkan industri kita Insya-Allah barulah industri akan selamat," katanya.
Sumber :Berita Harian