Penyanyi dangdut popular Mas Idayu cukup berahsia tentang perkahwinannya. Biar acap kali diajukan soalan peribadi, dengan nada selamba dia akan cuba menangkisnya.
Atau dia sering kali memberikan jawapan klise iaitu tidak akan bercerita hal peribadi kepada orang lain. Memang itu pendekatan yang diamalkannya sejak dulu.
Namun baru-baru ini ibu kepada Nur Dayani, 9 ini lebih bersikap terbuka. Tidak lagi seperti dahulu yang seakan-akan berat membuka mulut, bercerita tentang dirinya.
Dalam nada tenang dia mengakui telah setahun menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal.
“Sama saja hidup saya sama ada ketika bergelar isteri mahu pun setelah bergelar ibu tunggal sejak setahun lalu. Saya masih mampu menguruskan anak saya sendiri. Sebelum ini pun memang saya sendiri yang menguruskan dia. Jadi saya tak nampak di mana masalahnya bila saya sudah menjadi ibu tunggal,” katanya ketika ditemui pada majlis Raikan Syawal Bersama TV3 di KL Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya perkara yang sudah berlalu biarlah menjadi lipatan sejarahnya. Malah dia sendiri sudah tidak mahu mengenangkannya.
Pun begitu, Mas Idayu masih belum membuka pintu hatinya untuk mencari pengganti.
“Saya selesa hidup begini dan sekarang hidup saya kini hanyalah untuk membesarkan anak saya. Lain-lain agenda belum lagi difikirkan,” katanya yang menyediakan lapan pasang baju untuk sambutan raya kali ini.
Menurut Mas Idayu sambutan Ramadan kali ini amat bermakna kerana anaknya sudah mampu menjalani ibadah puasa dengan baik.
“Ini tahun pertama dia berpuasa sehingga hari ini masih belum ponteng. Biarpun dia tak bersahur tapi dia tetap mahu berpuasa dan alhamdulillah dia boleh bertahan. Tapi saya bukan jenis mak yang manjakan anak dengan memberi ganjaran sekiranya dia dapat berpuasa penuh. Jika dia dapat habiskan puasa, saya sebagai mak hanya mampu berbangga dengannya,” katanya.
Album baru tahun depan
Biarpun tanpa album namun rezeki Mas Idayu tetap mencurah-curah. Undangan nyanyiannya telah pun penuh sehingga akhir tahun ini.
Bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan, kata Mas Idayu jika tiada aral, besar kemungkinan album terbarunya akan muncul tahun depan.
“Sehingga ke hari ini saya sudah ada tiga lagu dalam tangan saya yang masih belum berjudul. Insya-Allah saya akan terbitkan sendiri album tersebut di bawah syarikat saya sendiri iaitu Suara Production Sdn. Bhd.
Konsepnya masih seperti dahulu iaitu dangdut tetapi mungkin saya mahu berduet satu lagu dengan seorang penyanyi rock, tapi biarlah dirahsiakan dahulu. Sebab semuanya masih dalam perancangan. Lagu duet tersebut bukanlah dangdut tapi lagu rock,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia