Sunday, October 7, 2007

Jamal Abdillah ke Nottingham

SEPANJANG hampir 30 tahun dia menghambakan diri dalam dunia seni, terlalu banyak onak dan duri yang ditempuhinya. Katalah apa sahaja tentang dirinya.
Itu bukan kudis untuk Jamal meneruskan kehidupan kerana baginya, semangat dan dorongan peminat banyak memberikan nafas kepadanya untuk terus ke hadapan.
“Saya tahu sepanjang menjadi artis, saya telah melakukan banyak kesilapan dan selama itu jugalah, saya berusaha sedaya upaya memperbaiki diri saya untuk menjadi insan yang berguna kepada masyarakat, negara dan bangsa.
“Namun, satu yang pasti, peminat sayalah yang membuatkan saya terus bernafas dan menghiburkan mereka. Memikirkan sokongan dan semangat yang diberikan mereka membuatkan saya terharu dan mahu terus menyanyi sehingga ke akhir hayat,” luah penyanyi bersuara emas, Jamal Ubaidillah Ali atau Jamal Abdillah.
Dia ditemui selepas persembahan
Majlis Berbuka Puasa Eksklusif Jamal Abdillah di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, malam Jumaat lalu. Ia merupakan anjuran Suria Crestway Sdn. Bhd. (SCSB) dengan kerjasama Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH).
Menurut anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini lagi, apabila dia beraksi di atas pentas, dia tidak mampu untuk bertentang mata dengan para peminatnya kerana mengenangkan pengorbanan mereka yang menyokongnya sejak dia menjadi artis.
“Disebabkan itu, apabila di atas pentas, saya tidak mampu untuk memandang ke arah mereka. Saya berasa malu dan sedih walaupun itulah kriteria yang diperlukan oleh seorang penyanyi ketika menghiburkan peminat mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Jamal turut meluahkan rasa gembiranya apabila dia bakal mengadakan persembahan di Nottingham, United Kingdom pada Disember ini.
Apatah lagi, ini merupakan persembahannya yang pertama di luar negara sepanjang dia menjadi anak seni.
“Saya ke sana untuk membuat persembahan bersama rakyat dan pelajar Malaysia di sana. Alhamdulillah, semua ini adalah rezeki dan saya sendiri tidak sabar untuk ke sana. Malah, ada beberapa menteri juga akan turut hadir,” kata pemenang Vokal Lelaki Terbaik AIM 1994 ini.
Kekuatan
Walaupun mengakui dirinya melakukan banyak kesilapan, namun satu perkara yang harus diakui tentang penyanyi berusia 48 tahun ini adalah kekuatan dan kemantapan vokalnya yang bisa meremang bulu roma!
Ditanya apakah rahsianya, dia hanya menjelaskan pantang larang yang diamalkannya sejak dulu lagi tidak harus dilanggar.
“Saya tidak minum minuman yang berais serta jauhkan makanan yang berminyak,” katanya ringkas.
Dia yang kini dalam proses rakaman album terbarunya turut memberitahu, dia mempunyai impian yang masih lagi belum terlaksana dalam kariernya sebagai penghibur.
“Dari dulu lagi saya impikan dan mahu sangat berduet dengan dua penyanyi wanita yang amat saya kagumi kredibiliti mereka iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan Misha Omar yang saya lihat mampu untuk menyanyi bersama saya. Vokal mereka amat mengagumkan saya
dan berharap impian saya ini akan terlaksana,” kata juara Bintang RTM 1979 ini penuh harapan.
Bercerita tentang pengalaman kali pertamanya membuat persembahan eksklusif bersama-sama anak yatim tahun ini, Jamal memberitahu, apa yang dihajatinya sekian lama, akhirnya menjadi kenyataan.
“Ini kali pertama saya membuat persembahan sebegini dan jika dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki, saya akan melakukan persembahan ini setiap tahun,” katanya.
Pada persembahan selama satu jam itu, Jamal Abdillah telah menghiburkan para tetamu dan peminatnya dengan rangkaian lagu-lagu popularnya.
Memulakan persembahan dengan lagu Malam Minggu Yang Mesra, Jamal berjaya menghidupkan suasana dengan vokal jantannya walaupun tidak sihat. Komunikasinya dengan penonton juga berjaya dan dia juga sempat bergurau dengan mereka.
Seterusnya, lagu-lagu seperti Gadis Melayu, Aku Penghiburmu, Mustika Hati, Penghujung Rindu, Kekasih Awal dan Akhir menjadi halwa telinga penonton yang turut sama-sama menyanyi bersamanya.
Ketika dia menyampaikan lagu Jeritan Batinku dan Kasihnya Ibu, dewan menjadi senyap sunyi dek terpukau dengan penghayatannya. Sehingga Jamal sendiri sebak sebaik selesai menyampaikan lagu Kasihnya Ibu.
“Lagu ini sering membuatkan saya teringat kepada arwah ibu saya,” katanya.
Menjelang Aidilfitri, Jamal turut menghadiahkan peminatnya dengan lagu raya klasiknya iaitu Salam Aidilfitri dan Maafkan Segala Ketelanjuranku.
Menariknya, demi memenuhi permintaan peminatnya, anak didik Datuk Dr. Ahmad Nawab ini turut menyanyikan lagu Seniman Menangis dengan diiringi petikan piano yang dimainkannya sendiri.
Mengakhiri persembahan dengan lagu Seroja apa yang boleh dikatakan vokal Jamal Abdillah tiada tolok tandingannya.
Ketika ditanya kepadanya adakah dia layak sudah digelar Biduan Negara, Jamal hanya memberitahu, “Ia merupakan satu penghormatan buat saya.”

Sumber : Utusan
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR