Wednesday, October 31, 2007

Usah aniaya Hati Malaya


ORANG ramai, terutama pengkritik filem tempatan yang selama ini menuduh penerbit asyik mengutamakan pembikinan filem komersial dicabar supaya menonton filem 1957: Hati Malaya yang menggarap suka dan duka Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Abdul Rahman menghadapi pelbagai muslihat British sebelum berjaya memerdekakan negara ini.

Kalau selama ini, banyak filem dibuat untuk remaja, filem 1957: Hati Malaya sesuai untuk dihayati oleh semua generasi. Tetapi paling utama golongan dewasa sepatutnya mengajak atau menyuruh orang muda menonton filem itu.

"Saya boleh katakan orang muda tidak minat menonton filem ini kerana golongan dewasa sendiri pun tidak minat. Selama ini pembikin filem dituduh pentingkan komersial dan keuntungan saja dan tidak mengambil berat filem bertemakan membina minda atau bercorak kemerdekaan seperti 1957: Hati Malaya. "Nah! Sekarang saya membuat filem seperti yang mereka mahu. Jadi saya harap mereka tonton," kata penerbit dan pengarahnya, Shuhaimi Baba.

Pada masa sama, beliau mempelawa penaja korporat membeli dewan (hall) tayangan untuk penuntut atau pelajar sekolah, selain kakitangan mereka sendiri. Setakat ini, pihaknya sudah menerima tempahan hampir 60 dewan yang setiap satunya boleh memuatkan 250 hingga 300 penonton.

"Kami berharap pihak pawagam juga turut memainkan peranan dengan memberi keadilan kepada filem ini dan menyediakan tempahan dewan selepas 8 Oktober tanpa masalah. "Kami berharap ramai lagi penaja korporat akan tampil kerana kami mahu penuntut di seluruh negara dan bukan saja di Kuala Lumpur untuk menerima penajaan ini. Kita gunakan pendekatan ini kerana ramai penonton muda tidak mengetahui cerita kemerdekaan negara sendiri sehingga ada berkata, "Tak best tengok filem lelaki Melayu pakai songkok, rimas dan boring."

"Saya berharap penonton ini memberi peluang pada diri sendiri untuk menonton filem ini terlebih dulu," tegasnya. Filem 1957: Hati Malaya mendapat sokongan padu kerabat diraja ketika membuat Tayangan Gala Diraja di pawagam Tanjung Golden Village (TGV) di Suria KLCC, Isnin lalu.

Ini terbukti dengan kehadiran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Muda Perak, Raja Nazri Shah bersama Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim Davidson serta Pemangku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Ja'afar. Ketika bersalaman dengan Shuhaimi selepas menonton filem itu, kedengaran tetamu diraja mengucapkan syabas kepada beliau kerana menghasilkan filem 1957: Hati Malaya sambil menyifatkan ia sebuah filem yang bagus dan sepatutnya ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia.

Turut hadir pada tayangan gala ini ialah Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Tan Sri Jins Shamsudin dan Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim, barisan pelakon filem 1957: Hati Malaya, selebriti dan socialite negara, krew dan kakitangan Pesona Pictures yang terbabit dalam pembikinan filem ini. Antara pelakon yang hadir ialah Maya Karin, Rusdi Ramli, Sharifah Amani, Kamarulzaman Taib, Zaefrul Nordin, Nanu Baharuddin, Kavita Sidhu, Nasrizal Ngasri, Kee Thuan Chye dan Chew Kin Wah.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, seperti yang dijangkakan sambutan orang ramai terhadap tayangan filem 1957: Hati Malaya memang bergerak dengan perlahan kerana tarikh 25 Oktober yang diberikan oleh Wajib Tayang bukanlah permulaan hari yang dimintanya. "Kami menolak jadual tayangan pada 25 Oktober kerana tidak sesuai disebabkan semua ruang promosi iklan memberi keutamaan kepada produk Hari Raya. Kami telah memohon (tayangan) pada 1 November, tetapi akur dengan keputusan 25 Oktober.

"Apa pun, saya tetap berterima kasih kepada rakan dalam Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) dan Jawatankuasa Wajib Tayang yang memberi sokongan dan kerjasama mencari laluan sesuai untuk filem ini. "Mereka mengadakan persefahaman bersama gabungan pemamer supaya filem kemerdekaan ini patut diberikan sokongan sewajarnya" katanya. Shuhaimi berkata, pihaknya menyasarkan tarikh 1 November sebagai tayangan umum dan menggunakan pendekatan dan strategi pemasaran berlainan kerana semua pihak sudah sedia maklum filem bertema kemerdekaan seperti 1957: Hati Malaya sukar menarik perhatian penonton.

Kesal kerugian pada nilai kreatif tidak diganti "MEMANG kami agak sedih dan kecewa kerana tidak dapat menayangkan filem ini pada bulan merdeka atas sebab kecuaian badan kerajaan ketika penggambaran babak penting. Ia sebenarnya menyebabkan kami kerugian besar kerana banyak kerja menyudahkan filem ini terjejas. "Lebih mengejutkan lagi apabila mereka mengambil sikap berdiam diri. Disebabkan KeKKWA terbabit dalam ini, maka kami jadi serba salah apabila badan kerajaan di bawah kementerian lain menjadikan penggambaran babak merdeka menjadi huru-hara.

"Dan entah kenapa, badan itu seperti tidak mahu bertanggungjawab dengan terus mendiamkan diri. Hanya sekali kami dipanggil selepas empat bulan kami cuba hubungi mereka. Tempoh itu menyebabkan kami terpaksa melambatkan tarikh tayangan pada 5 September lalu dan kami menyedari pada tarikh itu sudah masuk bulan puasa pula," katanya.

Shuhaimi, beliau sangat kecewa kerana agensi di bawah kementerian terbabit memandang remeh kerugian yang ditanggung oleh Pesona Pictures sedangkan ia sebenarnya memberi kesan besar kepada keseluruhan pembikinan filem 1957: Hati Malaya. "Mungkin bagi mereka jumlah kerugian itu kecil, tetapi bagi kami ia memberi kesan sangat besar kepada bahagian produksi. Kami berasa kecewa kerana begitu sukar sekali kami mengumpul dana sehingga terpaksa mengeluarkan dana sendiri. Sememangnya pada awal lagi seboleh-bolehnya, kami tidak mahu menggunakan dana sendiri memandangkan filem ini adalah filem kemerdekaan," jelasnya lagi .

Filem 1957: Hati Malaya dibuat dengan semangat setia kawan karyawan dan pelakon dari pelbagai bangsa. Selain itu, Pesona turut mendapat bantuan dan sokongan juruteknik penerbitan dalam dan luar negara serta pelakon tambahan hampir 500 orang yang semuanya bersetuju menerima bayaran terhad kerana menjiwai filem ini. "Saya harap pemimpin negara dan pemimpin politik boleh meluangkan sedikit masa untuk turut menonton Hati Malaya kerana filem ini juga untuk mereka dan bukan saja untuk golongan muda tetapi pemimpin sekarang.

Sumber : Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR