LINANGAN air mata di pipi dicampur nada suara yang sebak sudah cukup membuktikan betapa tertekannya penyanyi Siti Sarah atas apa yang berlaku pada dirinya sejak kebelakangan ini. Bukan niat untuk meraih simpati tetapi di saat diri terumbang ambing tanpa diurus sesiapa, tiada pula syarikat rakaman yang boleh ditumpang mengadu nasib, tiba-tiba musibah melanda.
Sewaktu penyanyi yang cukup popular dengan lagu Kesetiaan ini meluahkan gelodak jiwa yang dialaminya kini, tiba-tiba manik-manik jernih berguguran dari mata bundarnya. Suasana menjadi bungkam seketika. Masing-masing mendiamkan diri, membiarkan Sarah meredakan kesedihan yang sedang bertakung di dada.
“Maaf, Sarah memang sedih dan tertekan sangat dengan apa yang berlaku. Sarah tidak menyangka perkara ini akan berpanjangan seperti ini. Ketika mula-mula Sarah mengeluarkan kenyataan di media sebelum Ramadan berakhir yang lalu, Sarah hanya mahu membersihkan nama Sarah itu saja dan Sarah tidak sedikitpun bermaksud untuk memburukkan reputasi Ezlynn Entertainment atau nak jatuhkan sesiapa,” ujar Sarah membuka bicara petang yang cukup dingin itu.
Sesekali Sarah mengesat air matanya dengan tisu yang disediakan pembantunya, Wan yang setia menemaninya di saat penyanyi itu sedang dilanda duka. Selepas selesai melayani emosi diri, Sarah kembali bersuara. “Selama ini Sarah diamkan saja sebab tidak mahu perkara ini berpanjangan namun apabila Ezlynn buat pertama kalinya mengeluarkan kenyataan di sebuah akhbar sisipan yang Sarah sifatkan sebagai cuba menabur pasir dalam periuk nasi Sarah, salahkah Sarah bersuara?
“Pada Sarah, apa yang dinyatakan Ezlynn itu tidak akan membantu karier Sarah ke depan. Kenyataan itu akan buat nama Sarah bertambah buruk. Jadi Sarah rasa Sarah perlu membela diri,” ujar anak kepada penyanyi Raisuddin Hamzah ini. Tambahnya, jikalau boleh inilah kali terakhir untuk dia memperkatakan perkara ini kerana dia sendiri tahu perkara ini tidak akan ada berkesudahan sekiranya masing-masing saling berbalas kenyataan. “Sarah harap pihak sebelah sana (Ezlynn Entertainment) kena faham.
Sarah bersuara sekadar ingin membersihkan nama Sarah. Sarah ada maruah dan harga diri. Sarah juga ada hak untuk mempertahankan diri Sarah. Dan ingin Sarah tegaskan di sini sekali lagi Sarah tidak ada niat untuk memburukkan atau menjatuhkan mana-mana pihak,” katanya berulang kali. Mengenai hubungannya dengan Ezlynn, Sarah menaruh harapan perkara itu tidak mengeruhkan hubungan mereka berdua.
“Bagi Sarah, Sarah dan Ezlynn tak ada apa-apa. Perkara ini tidak ada kena mengena dengannya. Ia hanya membabitkan saya dan Adam (Pengarah Ezlynn Entertainment merangkap Pengurus Ezlynn) kerana dia yang berurusan dengan saya,” kata Sarah lagi. Ditanya apakah dia bersedia untuk berdepan dengan tindakan undang-undang daripada pihak Ezlynn Entertainment, Sarah enggan mengulas lanjut perkara itu. “Setiap manusia di muka bumi ini bebas untuk berbuat apa saja. Sarah tak nak ulas. Hanya tunggu dan lihat,” ujar penyanyi genit ini pasrah.
Lebih suka menyelesaikan masalah ini tanpa membabitkan ahli keluarga lain, Sarah mengakui apa yang berlaku turut memberi tempias kepada karier seninya. “Memang menjadi cara Sarah untuk tidak membabitkan keluarga sekiranya ditimpa masalah. Sarah sudah 23 tahun, jadi biarlah Sarah selesaikannya sendiri. Dan Sarah juga akui, perkara ini sangat-sangat mengganggu perjalanan karier Sarah.
“Sarah rasa sedih sebab ia berlaku ketika Sarah hendak masuk pertandingan One In A Million (OIAM) dan ia membuatkan Sarah lagi tertekan. Terus terang, Sarah sudah tidak tahan lagi dengan apa yang berlaku. Sarah benar-benar tertekan,” luah penyanyi bersuara gemersik ini. Pinta Sarah, dia tidak mahu perkara ini terus berpanjangan kerana dia perlukan ketenangan sewaktu menyertai pertandingan OIAM nanti.
“Sarah berjaya mencapai tahan Top 40. Sarah akui memang persaingan sengit kerana kebanyakan yang tersenarai benar-benar berbakat dan boleh menyanyi dengan baik. Jadi Sarah harap perkara ini akan segera berakhir kerana Sarah tidak mahu ia mengganggu konsentrasi Sarah dalam peringkat saringan ini. “Bagi Sarah, ini bukan satu promosi yang bagus untuk kedua-dua belah pihak. Ia sangat negatif. Silap-silap dua-dua boleh jatuh apabila perkara ini berpanjangan,” ujarnya mengharapkan pengertian.
Terdahulu, Sarah meraikan 60 anak yatim dari Rumah Keluarga Kami dan Yayasan Anak-Anak Yatim Pinggir Taman Tun Dr Ismail dalam satu jamuan hari raya anjuran bersama Hotel Coronade Kuala Lumpur dan syarikat pengurusan artis, Uniayu Creative Sdn Bhd. Turut serta dalam majlis itu, Boy dari kumpulan ESDCO.
Sumber : Berita Harian