BERULANG luahan rasa kecewa terbit dari bibirnya. Serentak berkali juga perasaan kecewa itu cuba ditanam jauh terdasar di sudut hatinya, seakan mahu segera diusir agar tidak berterusan dicengkam lara. Hiba hatinya apabila syarikat rakamannya menutup operasi tanpa kata pamitan. Kesannya dia terbiar tanpa sebarang penjelasan, hanya perkhabaran duka yang terpapar di dada akhbar mengiringi langkah barunya yang masih belum pasti.
“Saya kecewa dengan apa yang berlaku. Sebelum syarikat rakaman berhenti beroperasi, saya ada menghubungi mereka untuk meminta penjelasan. “Namun, tiada sebarang kata putus diberikan. Rupanya lain yang terjadi dan peristiwa itu cukup mengecewakan. Kecewa kerana kesungguhan saya merakamkan album kedua akhirnya terkubur saja. “Album yang masih mempunyai ruang untuk bernafas terbiar begitu saja. Hakikatnya saya dapat merasakan ia masih mampu menarik pendengar jika dipromosikan dengan sebaiknya. Tetapi semua itu hanya dalam angan saya.
“Dulu melihat nasib orang lain saya bersimpati, tetapi apabila terkena batang hidung sendiri saya jadi kecewa sangat,” kata Fara, belum mampu untuk mengikis luka peristiwa yang masih mengalir darahnya. Memuncak nama dengan ciptaan Tam Spider, Bertakhta Di Hati, Fara sempat merakamkan dua album bersama syarikat rakaman tempatan itu berkata, dia belum ingin meletakkan noktah kepada perjuangannya itu.
Biar seribu halangan yang menanti di depan mata, penyanyi kacukan Melayu-Inggeris ini masih tegar melangkah dan dia yakin, apabila tiba masa namanya akan kembali digilap. Cuma ketika ini, kata Fara, 23, dia masih menimbang beberapa tawaran baru yang diterima dan kata putus hanya akan diberikan selepas dia benar-benar yakin dengan perancangan yang disusun.
Sebagai permulaan, usai sambutan Aidilfitri, gadis kelahiran Sarzana, Itali ini akan terbang ke Indonesia untuk bertemu beberapa pihak di sana dan berbincang mengenai urusan penerbitan album terbarunya. “Saya perlu mencari arah baru, namun nyanyian masih menjadi minat utama,” katanya yang ketika ditemui sedang menyempurnakan sebuah penggambaran drama bersiri yang bakal mengisi slot Akasia di TV3.
Kebetulan tawaran berlakon datang, Fara tidak menolak dan hingga ini, sudah beberapa skrip dilunaskannya, antaranya Mencari Arah Qiblat, Bulan Bertemu Bintang dan terbaru, Spa-Q. Enggan mengehadkan aktiviti seninya kepada bidang tertentu saja, Fara juga mengalirkan bakatnya dalam dunia pengacaraan menerusi program Jaguh Futsal. “Selepas dua tahun dalam bidang seni, saya terfikir mengapa tidak mempelbagaikan cabang kerana kebetulan saya memang suka mencuba. Lagipun tawaran nyanyian hanya datang pada hujung minggu, daripada masa terbuang ada baiknya saya ke lokasi lain untuk berlakon.
“Jujurnya pertama kali di lokasi saya kepenatan. Disebabkan minat, semua perasaan itu bagaikan dibawa pergi dan hari ini, saya makin cinta dengan lakonan. Ia memberikan pengalaman baru buat saya,” katanya. Akur segala kesenangan tidak datang dengan mudah, Fara berharap pemergiannya ke Indonesia akan merubah hidupnya. Doanya, tiada lagi halangan yang akan merintangi perjalanan seninya.
“Mereka ialah antara pihak yang berusaha untuk memasarkan bakat saya di Indonesia dan Singapura. Pastinya saya juga akan bertemu dengan beberapa komposer di sana dan kerana itu, saya berdoa semoga perjalanan kali ini dipermudahkan Tuhan,” katanya. Kembali berbicara mengenai album keduanya, Yang Ku Puja yang baginya akan diterima umum jika dipromosikan dengan baik, Fara menyifatkan apa yang berlaku sebagai suratan dalam kehidupannya.
Kecewa namun tidak mungkin dia akan berputus asa hanya kerana dugaan itu. Baginya, warna kehidupan tidak akan menarik jika hanya ditemani dengan cerita kemanisan semata-mata. “Mungkin ini dugaan untuk saya, namun lihat walau apa pun yang terjadi saya masih mampu berdiri. Alhamdulillah,” katanya bersyukur kerana masih diberi kekuatan untuk terus mencurahkan keringat sebagai anak seni. Pada masa yang sama turut merencana pembikinan album terbarunya, Fara berharap keberaniannya untuk memulakan sesuatu yang baru akan membuahkan hasil lumayan. “Sementara saya masih muda, saya akan terus berusaha. Mengapa perlu saya pantas mengalah sedangkan saya tahu di luar sana, ruang untuk mencuba masih terbuka. “Tiada kejayaan yang datang dengan mudah dan buat masa ini saya tidak berani banyak bercakap. Biar semuanya menjadi kenyataan dulu dan saat itu, saya orang paling bahagia dalam hidup ini,” katanya.
Info: Farahdhiya Mohd Amin
Tarikh Lahir: 28 April 1984
Tempat Lahir: Sarzana, Itali
Umur: 23 tahun
Status: Bujang
Adik beradik: Bongsu daripada empat beradik (termasuk dua adik beradik tiri)
Album: Bertakhta Di Hati (2005) dan Yang Ku Puja Drama/Sitkom: Spanar Jaya, Senario Raya, Mencari Arah Kiblat
Program TV: Jaguh Futsal
Sumber : Berita Harian