SELAMA ini, para peminat sudah biasa menonton lakonan pelakon dan penyanyi pujaan mereka di kaca televisyen (TV) ataupun persembahan nyanyian mereka di atas pentas.
Bagaimanapun, menerusi sebuah program TV realiti Sehati Berdansa pula, para peminat akan berpeluang menyaksikan ramai penyanyi dan pelakon menunjukkan bakat menari.
Malah, melalui program TV realiti terbaru terbitan Astro Ria itu, selebriti seperti bekas pemain bola sepak, hoki dan pembaca berita juga akan mempamerkan kebolehan mereka menari bersama pasangan masing-masing.
Menurut Ketua Program Melayu Astro TV, Mohd. Haris Ismail, Sehati Berdansa diterbitkan bagi menunjukkan bakat terpendam yang ada di kalangan selebriti daripada pelbagai bidang.
“Selain itu, tujuan kita mengadakan program ini supaya setiap pasangan terutamanya suami isteri dapat berseronok dengan menjadikan tarian sebagai tali penghubung ikatan perhubungan mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Sehati Berdansa di Hotel Hilton, Kuala Lumpur petang kelmarin.
Lapan pasangan selebriti yang menyertai program TV realiti itu ialah pelakon Ngasriah Ngasri bersama pasangannya Abdul Wafi Hassan, Atilia (penyanyi)- Johan Abdul Jalil, Azman Adnan (bekas pemain bola sepak)- Asfarina Muhamad, Haiza (penyanyi)- Norhanafpe Omar, Radhi OAG (penyanyi)- Shazlin Sharif, Raianna A. Rahman (pembaca berita TV)- Zain Shah, Kartina Ayoob (pelakon)- Rizman Khuzaimi, Vanidah Imran (pelakon) dan Rashidi Ishak.
Setiap peserta akan dilatih oleh seorang koreografi bagi membimbing mereka menarikan pelbagai tarian termasuklah joget, latin, zapin dan samba.
Sementara itu, Pengurus Program Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata, Sehati Berdansa yang ditentukan 50 peratus pemarkahannya melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan selebihnya pula melalui penilaian juri profesional merupakan sebuah program TV realiti berunsurkan kebajikan.
Dua juri profesional yang akan mengadili setiap gaya persembahan tarian para peserta pertandingan itu ialah Linda Jasmine dan Fathee Abdullah (EE).
Jelas Khairul Mizan, ini kerana setiap pasangan peserta akan meraih sebanyak mungkin markah di mana pihak Astro akan memberikan sejumlah wang tunai untuk disumbangkan kepada badan-badan kebajikan yang mereka wakili atas kemenangan mereka pada setiap episod.
“Setiap peserta akan mewakili sebuah badan atau persatuan kebajikan. Radhi OAG dan isterinya, Shazlin misalnya, akan mewakili Persatuan Disleksia Wilayah Persekutuan.
“Setakat ini, Astro menyediakan wang tunai berjumlah hampir RM40,000 bagi tujuan tersebut,” ujarnya.
Tambah Khairul Mizan, pemilihan peserta dilakukan selepas diadakan sesi uji bakat di mana mereka berjanji untuk memberi komitmen sepanjang 10 episod program itu diadakan.
“Syarat utama pertandingan ini ialah setiap peserta mestilah pasangan suami isteri.
“Mereka akan menjalani rakaman di balik tabir, berlatih menari dan sebagainya. Para penonton juga akan menyaksikan bagaimana setiap pasangan membahagi-bahagikan masa mereka bersama keluarga masing-masing,” katanya.
Detik Sehati Berdansa akan mula disiarkan menerusi Astro Ria pada 5 November ini pukul 9 malam, manakala siaran langsung pertandingan itu akan disiarkan mulai 11 November ini pukul 9 malam.
Malam kemuncak Sehati Berdansa pula akan diadakan pada 29 Disember ini pukul 9 malam.
Sumber : Utusan