Wednesday, October 31, 2007
Saya reda!
“Tiada istilah serik dalam kamus hidup saya. Namun, biarlah saya serahkan masa depan saya kepada Allah SWT. Kalau ada jodoh, kahwin. Kalau ditakdirkan saya terus bersendirian, saya juga reda. “Apa pun, saya gembira dengan apa yang ada sekarang. Kehidupan saya cukup stabil dengan kehadiran dua anak. Dengan adanya mereka dan sibuk bekerja, saya tidak kesunyian,” katanya.
Dalam meniti kehidupan sebagai ibu tunggal, Nanu lebih selesa ditemani dua cahaya matanya, Mohd Ikhwan Saffiq, 21, dan Nur Iman, 7. Mereka adalah penawar yang memberi kekuatan kepada Nanu.“Saya bersyukur kerana Ikhwan berjaya dalam pelajaran di mana dia akan berangkat ke Australia pada awal 2008 untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Seni Kulinari.
Ikhwan memang rajin menolong saya di dapur dan dari situlah minatnya dalam bidang masakan terus bercambah. “Jika sudah minat saya beri galakan sepenuhnya kerana industri pemakanan kini berkembang pesat. Ikhwan pandai masakan Melayu dan ketika di sana nanti dia bakal mendalami masakan Barat pula. “Saya mahu dia menuntut segala ilmu memasak termasuklah pengurusan perniagaan berkaitan industri makanan.
Dia akan berada di sana lebih kurang tiga tahun dan selepas dia menamatkan pengajian nanti, saya mahu dia bekerja di sana dulu untuk mencari pengalaman. “Ikhwan minat menceburi perniagaan makanan seperti membuka restoran dan untuk berjaya dia perlu ada ilmu mengenai bidang itu. Kita tidak boleh bergantung kepada orang lain,” katanya. Dalam nada ceria, jelas Nanu, selepas ini jika dia tidak sibuk di lokasi, Australia pasti menjadi destinasi percutiannya sambil melawat Ikhwan.
“Sebab itulah saya katakan saya tidak pernah sunyi kerana masa sentiasa terisi dengan menguruskan anak-anak. Kalau tidak berlakon, saya lebih suka duduk di rumah dan memasak untuk mereka.
“Sudah 15 tahun saya menjadi ibu tunggal. Terlintas juga di hati untuk berkahwin lagi. Tetapi membina rumah tangga bukan perkara mudah. Sekiranya saya berkahwin lagi biarlah jodoh itu berkekalan,” katanya.
Jikalau artis lain sibuk mencari peluang berniaga, tetapi Nanu belum terfikir berbuat demikian. Bahkan, katanya, dia sendiri tidak tahu hendak berniaga apa, sementelah lagi minatnya dalam dunia lakonan masih menebal di hati. “Saya masih seronok berlakon. Saya juga tidak memilih watak kerana setiap peranan yang diberikan, saya menyukainya. Selepas bermulanya tayangan filem 1957 Hati Malaya pada 25 Oktober lalu, sekali lagi debaran melanda menanti tayangan filem Congkak terbitan Metrowealth Movies Production.
“Jika dalam filem sejarah 1957 Hati Malaya saya pegang peranan sebagai Sharifah Rodziah, isteri kepada Tunku Abdul Rahman Putra, dalam Congkak saya berpasangan dengan Riezman Khuzaimi pula. “Berlakon dalam kedua-dua filem itu satu pengalaman yang menyeronokkan. Kesan berlakon dalam 1957 Hati Malaya menerbitkan suatu rasa yang sukar diluahkan dengan kata-kata betapa besarnya pengorbanan orang dulu untuk membebaskan rakyat dan negara ini daripada cengkaman penjajahan.
“Menyanyikan lagu Negaraku dalam filem itu menambahkan semangat dan kecintaan saya terhadap negara. Memang bertuah menjadi anak watan negara ini. Sejak berlakon dalam filem itu saya lebih menghayati lagu Negaraku setiap kali mendengar dan menyanyikannya,” katanya.Nanu bersedia bekerja dengan mana-mana pengarah dan produser, namun mengakui kebanyakan tawaran berlakon datang daripada Shumi yang juga Penerbit Persona Pictures Sdn Bhd. Antara filem lakonannya bersama Shumi ialah Waris Jari Hantu, Pontianak Harum Sundal Malam 1 dan 2 serta terbaru drama Anak Pontianak.
“Saya tidak kisah bekerja dengan siapa pun, tetapi buat masa ini saya banyak bekerja dengan Shumi. Hanya baru-baru ini saya berpeluang bekerja dengan Ahmad Idham yang mengarahkan filem Congkak. “Lakonan adalah sumber pendapatan saya dan belum terfikir untuk beralih ke bidang lain. Selepas muncul dalam iklan Kayla Beverly Hills empat tahun lalu, ada juga syarikat pengeluar produk kecantikan lain ingin menghulurkan kerjasama tetapi tiada satu pun yang mencapai kata putus. “Pada saya, itu semua rezeki. Kalau ada saya terima,” katanya yang akan menyambut hari jadinya ke-38 tahun pada 19 November ini.
Sumber : Metro