BUKAN main ceria lagi mendengar suara Ina Naim di hujung talian ketika dia menghubungi rakan SS semalam. Tujuan dia menelefon untuk mengajak rakan SS dan rakan wartawan lain ke majlis kenduri kahwinnya pada 18 November ini yang akan diadakan di rumah keluarganya di Sungai Kayu Ara, Kota Tinggi, Johor dan juga di rumah keluarga suaminya, Suhaimi, di Pahang.
Patutlah Ina gembira sekali kerana dia kini sah hamil anak sulung. Usia kandungannya dah nak masuk dua minggu. Oh! nampaknya mereka bukan bersanding berdua tetapi bertiga. Sebelum ini ada juga khabar angin mengatakan Ina mengandung kerana ketika dia menjayakan beberapa acara hiburan dan penggambaran untuk akhbar serta majalah dia kelihatan lesu tambahan pula ketika itu bulan puasa.
Bagaimanapun waktu itu Ina beritahu dia kepenatan kerana selain baru hendak menyesuaikan diri sebagai seorang isteri dia juga sibuk dengan show dan kebetulan pula bulan puasa. Jadi tentulah dia tidak mendapat rehat yang cukup. Pada masa sama dia juga tidak berani nak mengesahkan sama ada dia hamil ataupun tidak. Sekarang selepas doktor mengesahkan dia bakal menjadi ibu barulah Ina berani beritahu yang dia hamil. Apapun SS ucapkan tahniah kepada Ina.
Kalau dah tahu diri itu hamil, banyakkan berehat tambahan pada awal kehamilan ini. Nampaknya Ina sudah menemui kebahagiaan yang dicari. Semoga rumah tangga yang baru dibina berkekalan sehingga ke akhir hayat. Nak tahu jantina anak dalam perut pun, masih baru lagi. Dan SS yakin Ina dan suaminya pasti tidak kisah sama ada Allah kurniakan mereka anak lelaki ataupun perempuan asalkan ibu dan anak sihat. Tentu pasangan muda itu tidak sabar lagi untuk bergelar ayah dan ibu.
Sumber : Metro