BIAR sudah beberapa bulan berlalu, memori ketika di lokasi penggambaran filem Duyung, produksi kedua KRU Films yang bekerjasama dengan Grand Brilliance Sdn Bhd dan LineClear Motion Pictures masih subur di ingatan pelakon utamanya, Maya Karin. Lebih dua minggu berkampung di Pulau Sipadan, Semporna, Sabah, akui Maya, Duyung memberikan cabaran yang cukup besar kepadanya sebagai pelakon.
Menjalani penggambaran yang sebahagian besar menuntutnya beraksi di dasar laut hampir meragut nyawa pelakon kelahiran Bayreuth, Jerman itu. Cerita Maya, jika tidak kerana kepekaan gandingannya dalam Duyung, Saiful Apek yang memantau pergerakannya sewaktu beraksi di dasar laut, dia mungkin lemas apabila rambutnya tersangkut ketika sedang menghayati babak akhir sehari sebelum dia pulang ke Kuala Lumpur.
"Saya beraksi sendirian tanpa jurukamera menyedari saya sedang bergelut untuk menyelamatkan diri kerana dia begitu asyik menjaga syot kamera. Disebabkan terlalu menghayati lakonan, saya tidak perasan diri sudah terbawa ke bawah 'pulau'.
"Mujur Apek nampak saya yang sedang bergelut untuk menyelamatkan diri dan tanpa disangka, apa yang tertulis di dalam skrip betul-betul terjadi di depan mata. "Detik itu sangat mencabar, malah apabila dinaikkan ke daratan, dada saya masih berdegup kencang mengenangkan apa yang saya lalui itu. "Esoknya, saya terus terbang ke Kuala Lumpur dan saya akui Duyung memberikan pengalaman yang cukup mencabar meskipun Pontianak Harum Sundal Malam mengambil masa yang cukup panjang untuk dihayati," kata Maya.
Selain berdepan dengan cuaca terik di pulau itu hingga menyebabkan kulitnya terbakar dan mengambil masa tiga bulan untuk pulih semula, Maya juga terpaksa menahan sabar setiap kali hendak memulakan penggambaran.
Kostum khas Duyung yang ditempah khas dari Thailand mengambil masa empat jam untuk dipadankan di tubuhnya. Turut merimaskan pelakon berusia 28 tahun itu apabila besi berat di bahagian bawah rekaan itu untuk memudahkan dia tenggelam ke dasar laut. "Begitu juga ketika hendak menanggalkan kostum itu, ia memakan masa sehingga 45 minit. Ia perlu dilakukan dengan teliti dan perlahan-lahan kerana jika tersilap langkah akan mencederakan kulit saya.
"Pernah kerana tergesa-gesa mahu menanggalkan kostum itu, kulit saya berdarah. Ia cukup menguji namun apabila melihat hasil filem ini, terasa segala pengorbanan saya berbayar," kata Maya mengakui teruja jika dipanggil peminat sebagai Duyung apabila filem itu ditayangkan kelak, awal tahun depan. Merentasi pengalaman serta detik menyukarkan itu, kata Maya, membuatkannya ingin berterima kasih kepada ibunya, Che Zan Hassan yang menghantarnya mengikuti kelas renang ketika menetap di Jakarta, Indonesia tidak lama dulu.
Katanya, pengalaman mengikuti latihan renang selama tiga jam tiga minggu sekali ketika berusia 7 hingga 10 tahun untuk pertandingan di Jakarta, dipraktikkan sepenuhnya sewaktu membintangi filem itu. "Sebelum ke lokasi saya sempat mengikuti latihan renang di Shah Alam kerana saya perlu membiasakan diri apabila diminta berenang dengan kaki diikat. Semua itu penting kerana saya perlu selesa apabila di lokasi.
"Mujur saya gemarkan air, jadi saya tidak mengalami masalah besar ketika diminta beraksi di dasar laut. Cuma saya tidak dapat mengelak daripada pedih mata, tetapi pengalaman itu cukup menarik," katanya, mengakui tidak mudah untuk berenang dan pada masa sama menghayati lakonan seperti yang dimahukan pengarah Duyung, Profesor Razak Mohaideen.
Akur segala risiko besar bakal merentangi sepanjang penggambaran filem itu, Maya berkeras untuk tidak menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri kerana yakin mampu melakukannya sendiri. Baginya, lakonan membabitkan maruah dan kerana itu, biar sesukar mana pun adegan itu, Maya tetap mahu mencuba kerana ingin mencari kepuasan dalam hasil kerjanya. "Saya akui agak 'kiasu' apabila membabitkan lakonan tetapi apabila melihat dalam visual, pelakon lagak ngeri sendiri agak kekok untuk melakonkan sesetengah babak membuatkan saya membuat keputusan melakonkannya sendiri," katanya.
Jujur kata Maya, biarpun pernah meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa, dia tetap diburu debaran apabila digandingkan dengan pelakon komedi terkenal itu. Baginya, bakat Apek sebagai pelakon komedi cukup besar dan diakui umum, membuatkan dirinya sedikit gusar jika tidak mampu mencipta keserasian dengan aktor tersohor itu. "Tetapi Apek seorang yang tenang. Dia membuatkan saya cepat selesa dengannya.
Daripada hari pertama penggambaran di Gua Tempurung, Ipoh lagi saya dapat merasakan antara kami berdua ada keserasian yang kuat," katanya. Besar harapan Maya, Duyung akan memberi impak sekali gus mempengaruhi peminat kecil akan mesej yang cuba disampaikan menerusi filem itu.
INFO: Filem Duyung
Maya Karin Roelcke, 28, dilahirkan pada 29 Oktober 1979 di Bayreuth, Jerman. Berdarah campuran Jerman-Melayu. Ayahnya, Gottfried Roelcke berasal dari Jerman, manakala ibunya, Che Zan, dari Pulau Pinang.
Anak sulung daripada tiga beradik ini mengikuti pendidikan terakhirnya di Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing dalam bidang media dan pemasaran.
Filem lakonan Maya ialah Seri Dewi Malam, No Problem, Mr Cinderella 2, Tujuh Perhentian, Pontianak Harum Sundal Malam 1 dan 2, Waris Jari Hantu, 1957 - Hati Malaya dan Anak Halal.
Pernah merakamkan dua album solo, Maya Karin dan Bukan Qalamaya. Lagu popularnya Erti Cinta.
Siri TV yang mengangkat nama Maya sebagai pengacara ialah Wavelength (TV3), Ratu Sehari (Astro Ria), Channel [V] dan Beauty Secret From The East (TV3). Maya turut menjadi model Pantene, Wella, Halle, Yishion dan L'Oreal dan duta Celcom.
Anugerah pertama yang pernah diraih Maya ialah Artis Baru Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001 (ABPBH'01), Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH'05, Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun, Pelakon Terbaik di Festival Filem Seram & Fantasi Estepona 2005 di Sepanyol dan Aktres Filem Pilihan Anugerah Oskar Malaysia Ke-5.
Sumber : Berita Harian