MESKIPUN Erra Fazira sudah menamatkan zaman jandanya dengan Engku Emran Engku Zainal pada 25 Oktober lalu, bekas suaminya, Yusry Abd. Halim masih memilih untuk menyendiri.
Yusry yang turut mendapat undangan tetapi tidak dapat hadir pada hari bersejarah Erra dan Emran kerana berada di Pulau Pinang untuk penggambaran filem Cicak-Man 2, berharap pasangan itu akan berbahagia hingga ke anak cucu.
“Saya tidak rasa apa. Biarlah dia kahwin kerana jodohnya sudah sampai. Saya memang ada niat untuk berkahwin tapi bukan dalam waktu terdekat.
“Lagipun saya belum temui teman istimewa. Sekarang ini saya tidak ada masa untuk memikirkan hal lain kerana sibuk dengan kerja,” kata Yusry yang lebih dikenali Yusry KRU ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya baru-baru ini.
Jika Yusry sudah temui calon wanita idaman pasti dia akan membawa bakal isteri menetap bersamanya di banglo mewah tujuh bilik yang tersergam indah di Jalan Semarak itu.
Yusry yang berada di Pulau Pinang bersama 50 krew untuk penggambaran Cicak-Man 2 sejak 26 Oktober lalu berkata, rumah tersebut dibeli hasil daripada wang pendapatan yang dikumpul sejak awal pembabitan dalam bidang seni.
Yusry yang enggan memberitahu kos pengubahsuaian rumah tersebut hanya memberitahu bahawa itu semua adalah duit titik peluhnya selama ini.
“Rumah ini ada tujuh bilik di mana saya jadikan bilik bacaan, bilik TV, bilik tetamu dan di bahagian atas adalah bilik tidur utama. Dalam bilik tidur utama itulah saya tempatkan ruang untuk saya bekerja,” katanya.
Oleh kerana hidup seorang diri, apabila terasa lapar, Yusry akan singgah rumah ibu bapanya di Keramat dan kembali ke ‘istananya’ untuk bekerja atau tidur.
Cicak-Man 2 lebih menarik
Kejayaan Cicak-Man yang merupakan filem pertama arahannya secara tidak langsung menjadi pendorong kepada Yusry untuk membuat sekuel.
Katanya, untuk filem Cicak-Man 2, dia lebih yakin dan mengaku tidak berkira tentang bajet untuk filem tersebut.
“Untuk filem pertama, saya terikat dengan bajet. Tapi untuk Cicak-Man 2, kami akan guna kos yang lebih dan setakat ini saya tidak tahu berapa yang akan dibelanjakan kerana semuanya bergantung kepada keadaan.
“Lagipun filem ini perlu dibuat lebih baik daripada yang pertama. Malah untuk filem ini pun lebih banyak kesan imej janaan komputer (CGI) yang digunakan. Setiap adegan yang bakal dirakam bergantung kepada storyboard yang saya hasilkan,” katanya tentang perjalanan filem Cicak-Man 2.
Filem Cicak-Man 2 yang turut menampilkan pelakon Tamara Bleszynski dari Indonesia sebagai Rrama, kemungkinan menemui penonton pada hujung 2008.
“Selain daripada menampilkan beberapa wajah baru, kami juga membuat perubahan pada pakaian Cicak-Man,” katanya.
Sumber : Utusan