RAMAI yang berkata, seorang artis wanita sudah mula berubah perangainya sejak dia bertemu kekasih hati. Bukan saja hubungannya dengan keluarga semakin jauh, malah sikapnya juga dikatakan mula tidak menentu.
Tetapi, baru-baru ini seorang rakan bercerita, si artis ini tiba-tiba naik hantu pada teman lelakinya di depan ramai lagi artis lain. Kejadian itu berlaku ketika artis ini sedang menunggu giliran untuk menyanyi pada satu majlis. Kononnya, si artis ini marah-marah pada kekasihnya kerana dia hendak meluahkan rasa tidak puas hati.
Sebelum itu, artis ini dikatakan 'berselisih faham' dengan seorang lagi artis. Jadi, kerana tidak dapat melepaskan geramnya pada sesiapa, maka maki hamun dan carut marut semuanya keluar daripada mulut artis ini ketika dia menghubungi kekasihnya di telefon.
Artis lain yang ada di situ, turut tergamam melihat kelakuan artis muda ini. Mereka langsung tidak berani hendak berkata apa-apa, mungkin kerana bimbang tempias amarah artis ini terkena pada mereka pula. CK pun kecut perut mendengar cerita ini.
Tidak sangka pula si artis yang comel ini mampu 'melaser' sampai begitu sekali di telefon. Lain kali, kenalah hati-hati kalau berjumpa dengan artis terbabit. Siapa tahu, mungkin selepas ini api pun boleh keluar dari mulutnya nanti.
Sumber : Berita Harian