PENGHUJUNG Ramadan lalu, ramai juga teman CK yang hadir pada majlis amal anjuran Umie Aida dan rakan-rakan. Pada majlis berbuka puasa itu, Umie sempat mengadakan pungutan derma membantu membina semula Pusat Pengajian Islam Pondok Bandar Hilir, Teloi Tua, Sik, Kedah yang kerugian besar setelah dijilat api, 22 September lalu.
Pada majlis kecil-kecilan itu saja, Umie dan rakan berjaya memungut lebih RM21,000 untuk disumbangkan kepada pusat pengajian pondok itu. Beberapa hari lalu, Umie memberitahu seorang rakan, kutipan derma membina semula sekolah pondok itu sudah pun mencecah RM100,000. Dia nyata bersyukur kerana atas bantuan rakan media yang menghebahkan usaha murni berkenaan, lebih banyak pihak tampil menghulurkan sumbangan.
Sekolah pondok itu dikatakan memerlukan kira-kira RM200,000 untuk membina semula kemudahan tempat pengajian dan membeli peralatan pembelajaran setelah kira-kira 40 pondok hangus dalam kejadian itu.
Sumber : Berita Harian