SULIT untuk dia mempercayai apa yang berlaku terhadapnya. Apatah lagi, selepas dia memberikan sepenuh kudrat dan jiwa untuk pembikinan album keduanya itu. Namun, sejak dipasarkan akhir April lalu, langsung tiada promosi yang dibuat. Hanya sesekali single pertamanya, Na Na Na Kataku diputarkan dan selepas itu, kata Dia Fadila, tiada perancangan lain dibuat untuk memperkenalkan album itu.
Bingung dengan apa yang berlaku, gadis berusia 23 tahun itu berusaha melakukan sendiri promosi kerana Dia percaya produk keduanya bersama Warner Music itu mempunyai kekuatan tersendiri. “Syarikat rakaman seperti tidak mempunyai keyakinan terhadap produk itu. Mungkin kerana ia produk yang diilhamkan daripada pengurusan lalu menyebabkan mereka kurang yakin untuk mempromosikan album itu. “Mungkin mereka lupa Dia sudah meletakkan sepenuh tenaga dan hati ketika pembikinan album itu dulu. Sayang jika terbiar begitu saja. Jadi, apabila ada kesempatan, Dia usahakan lakukan promosi sendiri,” katanya.
Jauh di sudut hati, gadis yang pernah melonjak dengan lagu Andai dan Tangisan Marhaenis, duet bersama Hattan itu melihat dirinya seperti mangsa keadaan. Peristiwa yang sama pernah menimpanya ketika album sulung hendak dipasarkan. Tanpa dia menduga, kejadian itu berulang semula saat Na Na Na Kataku disiapkan.
“Dia rasa seperti patah sayap apabila keadaan ini berlaku. Mahu atau tidak Dia harus memikirkan inisiatif sendiri untuk memperkenalkan album itu. Mereka sudah menjalankan tanggungjawab dengan menerbitkan album ini. “Dia pun tidak tahu siapa yang harus disalahkan. Banyak sebenarnya yang memerlukan penjelasan cuma Dia keliru apa yang patut dibuat. Namun, Dia sangat berharap perkara ini akan diatasi apabila album ketiga lahir nanti,” katanya.
Penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini percaya, rezekinya dalam bidang nyanyian masih ada. Justeru, kata Dia, dia tidak bimbang jika perjalanan awal karier seninya dilihat kurang menyerlah. Baginya, biarlah mendaki ke puncak secara perlahan-lahan daripada naik mendadak tetapi akhirnya hilang begitu saja.
“Mungkin graf perjalanan karier Dia tidak sentiasa di atas namun Dia tidak pernah merasakan kedudukan Dia goyah. Alhamdulillah, walaupun jarang muncul di media, peminat tidak pernah melupakan Dia. “Mereka tetap ingat, begitu juga dengan tawaran mengadakan persembahan masih ada. Sokongan mereka memberi semangat untuk Dia meneruskan karier meskipun perjalanannya tidak semudah dulu,” katanya.
JAUH di lubuk hatinya, Dia mengakui sesekali dia terusik dengan dugaan yang datang namun apa daya kerana tidak mampu untuk menghalangnya. Bagaimanapun, Dia tidak mahu mengalah kepada keadaan. Jika dia masih menyimpan perasaan negatif, Dia yakin langkahnya tidak akan ke mana. Justeru, dia membuang semua tanggapan buruk dan memandang ke depan kerana Dia percaya ada cahaya menanti di penghujung perjalanannya.
“Dia tidak mahu terlalu memikirkan soal kedudukan atau populariti kerana ia hanya mengganggu tumpuan Dia terhadap perkara lain. Cuma Dia tetap menyediakan perancangan sendiri jika apa yang dirancang tidak membuahkan hasil yang diinginkan,” katanya ketika ditemui pada sesi rakaman Melodi Raya 2007, baru-baru ini. Perancangan Warner Music, Mac depan Dia akan melahirkan album ketiga.
Namun, kata Dia, dia tidak mahu terlalu mengharap kerana apa saja kemungkinan bisa terjadi. Dia menyerahkan semuanya kepada takdir dan jika rezeki menyebelahinya, album itu bakal menjadi hadiah berharga ketika dia mengharapkan sinar baru dalam kariernya. Ditanya mengenai Ramadan, Dia berkata, bulan suci ini dia diburu kesibukan dengan menghadiri kuliah di samping menjayakan undangan majlis berbuka puasa serta rakaman program televisyen.
Sumber : Berita Harian