Tuesday, October 30, 2007

2 beradik satu haluan

Itulah 'tuah' menyebelahi dua beradik, Asiahtunakmar dan Sofiah Abdullah. Pilihan mereka nyata tepat apabila kerjaya mereka mendapat perhatian peminat masing-masing.Bukan itu saja, mereka juga berjaya mengubah nasib keluarga. Kalau dulu menetap di kawasan flet, tetapi Aidilfitri tahun ini mereka meraikannya di kediaman baru di Jalan Klang Lama.

Kata Asiatunakmar atau mesra dengan sapaan Akma, hanya itu dapat dilakukan untuk membalas jasa ibu bapa dan keluarga. Katanya, ini juga masa sesuai berikutan dikurniakan rezeki lebih.Bekas bintang Akademi Fantasia 3 (AF3) dan pertandingan Gadis Metro 2004 anjuran akhbar Harian Metro itu mengakui rezekinya murah dalam nyanyian. Sekalipun masih tiada album, dia tetap menjayakan persembahan pentas.

“Setakat ini saya bersyukur dengan rezeki diperoleh. Malah, selain menyanyi saya turut meraih peluang berlakon. Saya baru habis menjayakan dua episod penggambaran drama Otai, arahan Mat London.“Bukan itu saja, saya juga akan berlakon dalam telefilem komedi Daun Kesum Daun Kari. Apa yang saya lakukan ini kerana minat dan tidak salah jika cabang seni ini dikembangkan.

“Saya sekadar mencuba peluang yang diberi. Apapun, tumpuan pada nyanyian tetap utama. Buat masa ini, saya sudah merakamkan dua lagu 'single' berjudul Tetap Menanti dan Pergilah,” katanya.Gadis tinggi lampai berusia 23 tahun ini berkata, dua lagu itu hasil ciptaan kakaknya, Sofiah. Kata Akma, dia berminat menjadikan lagu itu 'single' terbaru kerana melodinya sedap.

“Lagu ini akan diterbitkan di bawah label syarikat saya, Akma Konichiwa Music Sdn Bhd. Syarikat ini ditubuhkan selepas saya keluar daripada Maestro Talent & Management (Maestro).
“Kini, semua aktiviti saya diuruskan syarikat ini yang dikendalikan keluarga. Alhamdulillah, jadual seni saya juga teratur. Sekurang-kurangnya, kerjasama dengan keluarga lebih mudah,” katanya.

Ditanya mengenai sambutan raya, Akma berkata ia tetap dirai sederhana walaupun beraya di rumah baru. Katanya, macam biasa tumpuan lebih diberikan pada keperluan rumah, dapur dan keluarga.“Bagi diri sendiri, tiap-tiap tahun saya bersyukur pakaian raya biasanya dihadiahkan peminat. Justeru, saya mengucapkan terima kasih pada mereka (peminat) yang bermurah hati.“Kuih raya pula, saya memang tidak ketinggalan membuatnya bersama Sofiah. Setiap tahun, itu memang kerja kami dan biasanya biskut Cornflakes jadi pilihan,” kata anak keempat dalam keluarga itu.

Sementara itu, Sofiah yang bertugas di stesen radio Klasik Nasional berkata, persiapan rayanya cukup sederhana. Kalau adiknya, Akma mendapat baju raya hadiah peminat, dia pula terpaksa beli sendiri.“Saya tiada peminat ramai macam Akma. Kemunculan saya sebagai juruhebah radio kerana minat. Jadi, saya tidak kisah berkhidmat di stesen radio di bawah Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Terus-terang, saya tidak kejar glamor. Saya menyertai kerjaya ini kerana minat dalam industri ini (seni). Saya mahu memartabatkan seni dan budaya negara kita yang pelbagai ini,” katanya.Menyentuh soal penciptaan lagu, Sofiah yang mahir bermain gitar berkata, ia perkara tidak dijangka. Katanya, bila inspirasi datang maka dapatlah dia menghasilkan lagu.Katanya, buat masa ini biarlah lagu dicipta itu dinyanyikan sendiri adiknya. Bukan tidak mahu beri pada artis lain, tapi mahukah mereka memandangkan dirinya masih baru.

Gadis berusia 26 tahun dan sudah bertunang ini mengakui kalau diikutkan dia sebenarnya mahu menyumbang lagu pada Datuk Siti Nurhaliza. Katanya, percuma pun tidak apa.“Asalkan Siti sudi, saya sangat bersyukur. Saya begitu menyukai vokal Siti yang lunak. Berikan apa saja lagu padanya, ia dinyanyikan dengan baik dan sedap. Tapi, siapalah saya.“Saya bukan pencipta lagu popular, masakan Siti akan terima. Namun, itulah impian saya. Bagaimanapun, buat masa ini biarlah saya bantu adik sendiri kerana Akma pun punya bakat menyanyi,” katanya.

Profil Akma (AF3)

NAMA: Asiahtunakmar Abdullah
PANGGILAN: Akma
UMUR: 23 tahun
STATUS: Bujang
KERJAYA: Penyanyi dan pelakon
KELUARGA: Keempat daripada enam beradik
PENDIDIKAN: Diploma Seni Muzik di UiTM, Shah Alam
PENCAPAIAN: Juara Ogos pertandingan Gadis Metro 2004, Who Will Win The Malaysian Topstar (WWWTMT) dan Akademi Fantasia 3 (AF3).

Profil Sofia

NAMA: Sofiah binti Abdullah
PANGGILAN: Sofia
UMUR: 26 Tahun
KERJAYA: Juruhebah radio Klasik Nasional
STATUS: Bertunang
HOBI: Memetik Gitar & Membaca
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran), UiTM Shah Alam
PENCAPAIAN: Naib juara pertandingan Gadis Metro September 2004
PENGALAMAN: Juruhebah sambilan di Putra FM, UPM (Oktober 2004-Februari 2005), berkhidmat di RTM sebagai juruhebah Nasional fm pada Jun 2005.

Sumber : Metro
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR