SEHEBAT mana 'magis' dilakukan Mawi, begitu jugalah besar 'auranya' pada peminat. Bahkan, sebut saja nama Asmawi Ani, siapa tidak mengenali penyanyi pujaan ramai ini.
Malah, anjurkan apa saja aktiviti membabitkannya pasti menjadi tumpuan dan mendapat sambutan. Buktinya, majlis Riang Ria Aidilfitri Bersama Mawi, kelmarin.Majlis selama empat jam di Dewan Besar Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang itu nyata 'lebih' mendekatkan Mawi 'di hati' peminat setianya.Seawal jam 2 petang peminat dari Kelab Peminat Mawi (Mawi FC) sudah berada di dewan itu.
Biarpun Mawi hanya muncul pada jam 3,30 petang namun peminat masih setia menunggu.Sebaik tiba, Mawi terus menghiburkan peminat dengan dua lagu, Angan Dan Sedar serta lagu raya, Dari Jauh Ku Pohon Maaf yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Hj Arshad.Mendengar saja lontaran suara Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dua kali berturut-turut itu, peminat bersorak dan memberi tumpuan penuh.
Tidak ketinggalan, ada peminat naik ke pentas membawa bunga, termasuk peminat bernama Fatimah dari Kluang, Johor. Wanita berusia 50-an itu nyata teruja bertemu Mawi.Fatimah memberitahu, pernah bersua Mawi yang berkunjung menikmati hidangan nasi campur di kedai makannya pada 17 Ogos tahun lalu. Sayangnya, Mawi tidak ingat dan memohon maaf.Kata Mawi, setiap hari dia bertemu dengan ramai orang. Jadi, sukar mengingati mereka. Apapun, Mawi berterima kasih pada 'makcik' Fatimah atas sokongan diberi.Selepas menyanyi, kemesraan terjalin antara Mawi bersama peminatnya diteruskan lagi dengan mengadili permainan menganyam ketupat daripada riben, pertandingan memakai sampin dan menyanyikan Lagu Jiwa Lagu Cinta.
Sekali lagi, makcik Fatimah yang dijemput ke pentas 'kecewa' kerana tidak dapat menunjukkan teknik menganyam ketupat yang betul. Katanya, dia mahir menganyam dengan daun kelapa.
“Kenapa minta makcik menganyam dengan riben. Mana ada orang buat ketupat dengan riben. Lain kali, kalau suruh makcik anyam ketupat, beritahu awal. Biar makcik bawa daun kelapa dari rumah.“Susah sangat menganyam. Licin. Belum pernah makcik anyam ketupat macam ini. Tapi, makcik cubalah,” katanya yang tetap dapat menyiap anyaman walaupun kurang menjadi.
Selain itu, peminat turut dihiburkan dengan nyanyian duet Mawi dan Heliza (AF5) menerusi Doa Dalam Lagu. Diikuti, Heliza mendendangkan lagu Suasana Hari Raya daripada Datuk Sharifah Aini. Mawi sekali lagi menghiburkan peminat dengan lagu ciptaannya, Ayah dan Cinta Zulaikha. Malah, turut diadakan cabutan nombor bertuah untuk peminat mendapat hadiah sumbangan Silky dan Carrefour.Majlis anjuran Mawi World Sdn Bhd (MWSB) itu dihadiri kira-kira 400 peminat.
Presiden Mawi FC, Rozita Shahadan, berkata ini tahun ketiga majlis ramah mesra seperti itu diadakan.“Memandangkan peminat Mawi terdiri daripada kanak-kanak dan golongan berusia, kami berpendapat majlis sebegini wajar. Takkan hendak bawa mereka saksikan konsert pula,” katanya.Rozita berkata, Mawi seorang artis yang baik, kelakar dan mudah mesra. Malah, dia menyifatkan sikap itulah membuatkan pemuda berusia 26 tahun ini begitu diminati ramai.
“Terus-terang saya katakan, Mawi memang ada aura tersendiri. Dia juga merendah diri orangnya dan tiada bersikap eksklusif. Maksudnya, sesiapa saja senang mendekatinya,” kata Rozita.Sementara itu, Mawi yang kini kelihatan kurus berkata, sambutan hari rayanya bersama keluarga tetap diraikan meriah walaupun dia sibuk di lokasi penggambaran filem Aduh Saliha.“Ketika Aidilfitri lalu, saya bercuti selama lapan hari. Tempoh itu, masa dihabiskan dengan keluarga dan kami sempat beraya di rumah saya di A Famosa, Melaka.
“Kini, saya sedang menunggu panggilan menjayakan penggambaran Aduh Saliha semula. Buat masa ini, 20 peratus sudah siap. Ternyata berlakon bukan perkara yang mudah.“Lebih-lebih lagi, berlakon di bawah pengarah yang 'tidak terjangkau imaginasinya' seperti M Nasir. Pada saya, M Nasir begitu teliti dan sangat mementingkan kualiti,” katanya.Ditanya sama ada dia sempat beraya di rumah 'kekasihnya', Mawi selamba mengakui dia tidak berpeluang. Katanya, cuti terhad menyebabkan dia hanya menghabiskan masa bersama keluarga saja.
Pada majlis Riang Ria Aidilfitri itu, Mawi turut menghulur sumbangan RM1,000 kepada Rumah Anak Yatim Baitul Ummah, Hulu Klang. Termasuk cenderahati kepada 60 anak yatim yang hadir.
Sumber : Metro