Kak Tim macam tak percaya mendengar cerita yang disampaikan sumber baru-baru ini. Maklum cerita tu tentang seorang selebriti yang Kak Tim memang kenal cukup peramah.
Tak sangka pula di sebalik keramahannya itu tersembunyi sifat seorang ibu yang ganas.
Kata sumber, “Memang dia tu ramah. Cuma dengan kawan-kawan ajalah. Tapi dengan anak dia sendiri, sikapnya boleh berubah macam singa. Jangan si anak tu buat silap sikit, memang kena bantailah budak tu.”
Khabarnya konon, selebriti ni kalau pukul anak remajanya memang tak ingat dunia. Waktu tu, kudrat kewanitaannya boleh bertukar macam lelaki.
“Kadang-kadang kasihan tengok budak tu sampai lembik kena bantai dengan batang penyapu, kena pijak perut. Dah tu kalau nak pukul, bukan kira tempat. Ada orang ke tak ada orang ke, dia belasah. Sebab tu ada beberapa rakan pernah menyaksikannya. Pernah seorang kawan, naik geram tengok dia mendera, terus buat laporan polis,” cerita sumber.
Kak Tim tak pasti sejauh mana kebenaran cerita sumber tu. Tapi kalaulah betul begitu sikap selebriti tu, Kak Tim rasa gerun benar.
Memanglah tidak mudah menjaga anak remaja. Tapi tidak perlulah memukul mereka hingga ke hujung nyawa.
Kak Tim tambah bimbang bila mendengar pihak polis dah campur tangan, tentu akan terjejas pula nama selebriti ni.
Jangan nanti kerana nila setitik rosak pula susu sebelanga. Macam cerita rumah tangga artis, kerana seorang dua yang bercerai, sudahnya ramai yang beranggapan memang itulah corak perkahwinan golongan selebriti. Sebab itu telinga Kak Tim dah naik tuli mendengar ramalan-ramalan sumbang perceraian artis.
Pantang ada artis kahwin, mulalah ramai yang meramalkan tempoh perceraian artis tu. Bukan doa jodoh berkekalan yang mengiringi artis itu tapi ramalan yang menyedihkan pula menjadi gurauan khalayak.
Walhal kalau nak dikirakan, orang biasa lebih ramai yang bercerai daripada golongan artis. Betapa malangnya, bila artis dianggap sebagai hak masyarakat sehingga cerita-cerita peribadinya pun terpaksa dikongsikan.
Sumber : Utusan