Sunday, November 4, 2007
Erra Fazira antara isteri dan kerjaya
BIARPUN telah bergelar isteri, Erra Fazira atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik, 33, tetap meneruskan kerjaya seninya sebagai penyanyi dan pelakon. Bagaimanapun, aktiviti seninya dihadkan pada waktu-waktu tertentu bagi membolehkannya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri.
Erra dan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 32, yang ditemui pada Majlis Aidilfitri Suria fm Bersama Media di Kuala Lumpur, baru-baru ini semakin berseri dan kelihatan manis berbaju kurung berwarna putih dan merah jambu.
Kata Erra, dahulu aktiviti seninya tidak dihadkan, tetapi kini lebih banyak tertumpu pada hujung minggu iaitu pada hari Sabtu dan Ahad.
Menurut Erra, dia kini mula meringankan tangan untuk ke dapur dan menuntut ilmu untuk memasak.
Ditanya adakah dia akan melibatkan diri dalam setiap acara yang dianjurkan oleh Suria fm, kata Erra: “Kalau tidak bercanggah dengan jadual, Erra akan datang untuk beri sokongan.
“Mengenai show dan penggambaran filem pula, jika tempatnya dekat, Erra akan terima tetapi jika jauh dari KL Erra kena fikirkan. Bagaimanapun semuanya bergantung pada watak yang diberikan kepada Erra.”
Menurut Erra, walaupun sudah berumah tangga, seboleh mungkin mereka tidak mahu mencampur adukkan soal peribadi dan kerjaya.
“Maksudnya kalau kami hadir ke sesuatu majlis yang tak perlukan kami duduk bersama, maka Erra berasa tak perlulah kami diletakkan di satu meja. Tetapi jika majlis itu memang mahukan kami bersama, Erra tidak ragu-ragu menerimanya,” kata bekas ratu cantik Malaysia 1992 itu.
Ditanya adakah perkahwinannya itu akan menutup segala gosip dan spekulasi yang melanda dirinya sepanjang tahun ini, kata Erra: “Bagi saya gosip memang tak akan berhenti walaupun dengan perkahwinan. Kalau kita terlalu mengharap gosip itu berhenti memang susah. Selagi kita tahu apa yang kita buat, maka biarkan saja gosip itu berlalu dengan sendiri.”
Rancangan masa depan
Penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Abadi itu berkata, dia masih lagi belum mempunyai apa-apa perancangan untuk masa depan.
Bagaimanapun kata Erra, dia akan terus menumpukan perhatian pada bidang perniagaan terutama produk kecantikanya Ferralook.
“Saya ni jenis yang tidak boleh duduk diam sahaja di rumah, jadi saya perlu fikirkan sesuatu untuk kehidupan saya.
“Bagi saya, jenis perniagaan yang saya nak ceburi selain kosmetik ialah fesyen, kalau tidak pun mungkin makanan,” katanya.
Ditanya tidakkah dia dan Engku Emran merancang untuk menimang cahaya mata, kata Erra: “Sudah tentu untuk melengkapkan hidup, kami mahukan anak. Tapi, itu semua terserahlah pada Tuhan. Yang kami boleh lakukan ialah berdoa agar cepat dapat anak.”
Berbulan madu
Sementara itu, Engku Emran menyatakan kehidupannya kini lebih terurus dari sebelumnya. Menurutnya, dia dan isterinya masih belum merancang lokasi untuk berbulan madu.
Bagaimanapun katanya, dia ada memikirkan kemungkinan untuk berbulan madu ke Eropah ataupun ke Lautan Hindi setelah selesai majlis pelancaran Suria fm di Dataran Merdeka pada 24 November ini.
Bagaimanapun, kata Engku Emran, segalanya bergantung pada kesesuaian masa dan jadual kerjanya dan isterinya.
Sumber : Utusan