Tuesday, November 6, 2007

David, Jaclyn bertemu jodoh dalam Estet

PENYANYI utama kumpulan Alleycats, David Arumugam bakal menjadi suami kepada Jaclyn Victor apabila mereka digandingkan dalam filem terbaru arahan Mamat Khalid berjudul Estet. Sebagai suami isteri, mereka menjadi tempat mengadu kepada pemuda estet di ladang getah yang mempunyai masalah.

Jaclyn akan tampil dengan sari, manakala David pula muncul dengan berpakaian doti, iaitu pakaian tradisional masyarakat India. "Walaupun filem berlatar belakang masyarakat India di estet, tetapi kita menggunakan cakap Melayu sepenuhnya. Tetapi ada juga diselitkan dialog bahasa Tamil," kata Mamat Khalid.

Mamat berkata, dia tidak menganggap filem Estet sebagai menghina masyarakat India sebaliknya ia adalah satu usaha mengangkat kaum itu dalam media filem arus perdana. "Idea untuk menghasilkan filem ini timbul ketika membuat penggambaran filem Man Laksa. Sebahagian lokasi penggambarannya dibuat di estet. Dari situ, saya berasakan adalah sangat menarik kalau dibuat sebuah filem mengenai kehidupan masyarakat di estet," jelasnya. Filem Estet akan memulakan penggambaran bulan depan dengan lokasi utamanya di sekitar estet getah sepanjang Chemor hingga ke Pandang Rengas di Perak.

Mamat yang baru selesai menyiapkan filem Kala Malam Bulan Mengambang, berkata sebelum menyiapkan skrip Estet, dia sudah bertemu dan berbincang dengan David Arumugam dan Jaclyn untuk membintangi filem itu. Katanya, mereka sangat tertarik dengan idea mengenai filem Estet dan ia sama sekali tidak akan menjejaskan imej Jaclyn atau David sebagai penyanyi yang diminati ramai.

"Sebenarnya mereka teruja dengan filem itu. Jaclyn sangat suka untuk berlakon dalam filem ini, lebih-lebih lagi dalam filem itu dia dikehendaki memakai sari. David pula gembira sangat sebab kena pakai doti. "Saya dapatkan David dan Jaclyn kerana kedua-dua adalah penyanyi berketurunan India yang boleh diterima baik oleh peminat Melayu. Bagi saya itulah kelebihan mereka. Tetapi secara keseluruhannya separuh pelakon filem ini memang orang Melayu, separuh lagi orang India," jelas Mamat yang yakin gandingan kedua-dua penyanyi terkenal itu bakal memberi kesan besar kepada filem Estet.


Filem Estet mengisahkan perlawanan bola sepak antara dua estet. Dalam persiapan perlawanan itu, berlaku konflik dan sabotaj. Ia bermula dengan Farid (lakonan Farid Kamil) menaruh hati dengan gadis India di estet itu bernama Yasmin. Pada masa sama, Yasmin juga dicintai oleh Sasee iaitu kawan Farid. Bagaimanapun, mereka tetap berkawan baik apabila kedua-duanya menyelamatkan bapa Yasmin daripada angkara jahat.

"Filem Estet menggunakan pendekatan atau gaya filem Tamil dari India Selatan. Kalau kita pernah tonton filem Tamil dari bahagian sana, begitulah caranya filem ini dibuat. "Ini kerana saya menggunakan persekitaran tempatan yang menarik, berlatar belakang estet yang jarang dipaparkan dalam filem kita selain elemen beberapa lagu yang tidak kurang juga hebatnya," katanya.

Bagaimanapun, Mamat berkata, kisah kehidupan di estet yang membabitkan kaum India dan Melayu sebenarnya amat menarik untuk difilemkan tetapi jarang atau tidak pernah dibuat oleh penerbit. "Selalunya filem mengenai masyarakat India dibuat oleh pengarah dan penerbitan independent atau penerbit kecil-kecilan. Jadi, kali ini saya membuatnya dalam bentuk arus perdana, secara komersial yang boleh dikongsi oleh semua orang. "Sebab itulah menampilkan barisan pelakon yang boleh diterima penonton Melayu dan India. Dengan olahan secara komedi, saya yakin filem Estet boleh 'meletup'," kata Mamat lagi.

Sumber : Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR