BIASANYA para peserta yang menyertai sesuatu pertandingan nyanyian kerana ingin menguji bakat mereka dalam bidang seni suara. Selain alasan itu, menyertai pertandingan nyanyian juga boleh dijadikan sebagai landasan untuk mencipta nama sebagai penyanyi terkemuka pada masa depan.
Namun, bagaimana pula dengan pertandingan nyanyian yang disertai oleh para penyanyi yang sudah ada nama? Apakah alasan-alasan penyanyi-penyanyi yang terbabit?
Program televisyen (TV) realiti, One In A Million (OIAM) misalnya, turut disertai oleh penyanyi popular yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang nyanyian.
Tahun lalu, OIAM yang menyediakan hadiah wang tunai RM1 juta untuk habuan pemenangnya telah disertai oleh ramai penyanyi popular tanah air.
OIAM musim kedua yang akan bermula pada Disember ini sekali lagi menjadi tumpuan ramai penyanyi popular pada sesi uji bakat yang telah diadakan baru-baru ini.
Difahamkan, antara penyanyi terkenal yang telah menjalani uji bakat untuk musim kedua OIAM terdiri daripada Siti Sarah Raisudin, Intan Sarafina, Haida, Alya dan Dewi (Mentor).
Penyertaan penyanyi-penyanyi popular menerusi pertandingan nyanyian anjuran 8TV itu secara tidak langsung telah mengundang pelbagai persoalan di kalangan banyak pihak.
Kurang adil
Antaranya, para peminat tentunya akan mempersoalkan penyertaan para penyanyi popular dalam pertandingan itu yang dilihat kurang adil kepada para peserta junior yang lain.
Ini kerana, penyanyi popular yang menyertai OIAM mempunyai kelebihan terutamanya dari segi populariti bagi meraih sokongan para peminat masing-masing.
Apatah lagi, pemilihan pemenang untuk pertandingan nyanyian itu diadili 100 peratus menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para penonton di rumah.
Tetapi, bagaimana pula halnya dengan para peserta lain yang masih terkial-kial mahu menyanyi dan belum pun mempunyai peminat?
Penyertaan penyanyi yang sudah ada nama dan album sendiri dalam OIAM juga seakan-akan menggambarkan mereka belum menjadi penyanyi yang benar-benar berkredibiliti.
Justeru, program TV realiti tersebut dijadikan sebagai platform untuk mereka mengasah semula bakat dan seterusnya mendapatkan sekali lagi pengiktirafan sebagai penyanyi yang berbakat daripada para juri.
Malah, ketika uji bakat pertandingan itu diadakan, ramai peserta yang tidak berpengalaman telah tersingkir. Sebahagian daripada mereka bukannya tidak berbakat tetapi tewas kerana bersaing dengan penyanyi popular yang lebih berpengalaman di atas pentas persembahan. Penyanyi yang senior ini ternyata bernasib baik kerana mereka lebih bersedia daripada segi vokal dan berpengalaman pula mengadakan persembahan di merata-rata tempat.
Tanggapan
Apabila semakin ramai penyanyi popular mahu mencuba nasib menyertai OIAM pada setiap tahun, pelbagai tanggapan negatif akan timbul.
Antaranya, ada yang mempersoalkan apakah pembabitan golongan ini untuk mempertingkatkan lagi kualiti bakat menyanyi ataupun mahu mengejar RM1 juta semata-mata?
Sedangkan pada masa yang sama, penyanyi popular yang menyertai OIAM terpaksa berdepan dengan risiko reputasi daripada para peminat seandainya mereka tewas pada pertandingan itu.
Dalam hal ini, 8TV haruslah berlaku adil kepada para peserta lain dan tidak memberi laluan mudah kepada penyanyi yang sudah popular untuk menyertai pertandingan tersebut.
Ini kerana, kita tidak mahu OIAM menggunakan penyanyi-penyanyi yang sudah popular sebagai pesertanya semata-mata kerana mahu menarik perhatian para penonton.
Sebaliknya, jadikanlah program TV realiti itu untuk melahirkan barisan penyanyi baru yang benar-benar berkredibiliti.
Sumber : Utusan