BENARLAH kata orang, zaman kanak-kanak sudah pastinya merupakan zaman yang cukup berharga. Mungkin ada antara kita yang menikmati zaman kanak-kanak yang begitu indah dan manis sekali.
Sebaliknya, ada pula yang terpaksa mengharungi zaman kanak-kanak dengan penuh detik hitam yang memaksa mereka tabah menghadapi dugaan hidup.
Bagi penyanyi nombor satu negara, Datin Seri Siti Nurhaliza Tarudin, zaman kanak-kanaknya merupakan zaman yang paling indah dan berharga dalam hidupnya apatah lagi menjadi anak kepada seorang pegawai polis. Kenangan manis yang dilaluinya tidak mampu untuk dijual beli.
“Apabila saya mengenang kembali apa yang telah saya lalui, tidak ada apa yang dapat saya katakan melainkan hanya tersenyum, teringatkan memori silam yang penuh warna warni.
“Malam ini telah mengimbau memori silam saya yang berwarna warni itu, apabila melihat kanak-kanak dan warga polis berkumpul meraikan majlis rumah terbuka Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM). Saya teringatkan masa saya berumur lima tahun.
“Ketika itu, saya sama seperti kanak-kanak yang ada pada malam ini, berkumpul dan beratur untuk mendapatkan duit raya dari tetamu kehormat yang hadir.
“Memang meriah dan terasa kami semua bagaikan satu keluarga yang besar,” kata Siti ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya anjuran Maktab PDRM di Kuala Kubu Bharu, Selangor lewat malam Ahad lalu.
Dalam majlis itu juga, warga PDRM turut meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan pertama Siti Nurhaliza bersama suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K.
“Saya amat terharu dan berbesar hati dengan apa yang telah mereka aturkan untuk kami malam ini. Kehadiran saya dan suami malam ini adalah juga untuk membalas jasa baik warga PDRM ter utama Asisten Komisioner Kamal Pasha Jamal yang banyak membantu dari segi kelancaran perjalanan acara dan keselamatan sewaktu majlis perkahwinan saya Ogos tahun lalu,” kata Siti lagi sambil diperhatikan oleh suaminya.
Bukan Siti dan suaminya sahaja yang hadir pada majlis berkenaan tetapi ibu Siti iaitu Siti Salmah Bachik serta dua anak tiri Siti; Mohd. Adib dan Mohd. Ashraff juga hadir sama.
Gelaran bukan penghalang
Sebaik sahaja selamat menjadi isteri kepada Datuk K pada Ogos tahun lalu, gelaran Datin terus menjadi milik Siti.
Sudah menjadi rezekinya, dua bulan selepas berkahwin, dia dianugerahkan pula dengan pingat yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
Selain Siti, Sultan Pahang turut menganugerahkan pingat membawa gelaran Datuk Seri kepada suaminya, Datuk K baru-baru ini.
Bagi diri Siti sendiri, tidak pernah terlintas di fikirannya akan mendapat gelaran setinggi itu sebaik sahaja melangkah kaki ke dunia seni.
“Namun bagi saya, gelaran bukan penghalang untuk saya terus aktif dalam dunia seni. Saya masih seperti dulu dan sapalah saya sebagaimana anda biasa menyapa saya sebelum ini. Kecuali jika majlis tertentu yang memerlukan disebut gelaran, itu tidak mampu saya elak.
“Selagi suami saya mengizinkan saya untuk terus bekerja, selagi itu saya akan terus menghiburkan peminat saya,” katanya yang turut menyumbangkan vokal lunaknya itu buat hadirin menerusi lagu raya berhantunya, Sesuci Lebaran.
Lagu tema Spa Q
Bagi peminat setia slot Akasia yang kini sedang hangat dengan drama bersiri Spa Q (siaran TV3 setiap Isnin hingga Khamis pukul 6.30 petang), pasti tertarik dengan lagu tema drama tersebut, Ku Mahu yang merupakan ciptaan Audi Mok manakala liriknya pula oleh Rina Khan.
“Ini merupakan kali pertama saya menyumbangkan suara untuk lagu tema drama bersiri. Semuanya bermula apabila penerbit drama berkenaan yang juga kakak ipar saya, Zaiton Muhammad Jiwa mahukan saya menyanyi untuk lagu tema dramanya.
“Semuanya berlaku dengan pantas. Saya menerima melodi dan lirik lagu Ku Mahu dalam masa yang singkat dan setelah mendengar dan menghayati liriknya, kami rakamkan lagu berkenaan dalam tempoh setengah jam sahaja.
“Saya amat sukakan Ku Mahu dan ia berbeza dengan lagu rancak yang pernah saya bawakan sebelum ini. Malah, ini juga kali pertama saya rakamkan lagu Audi Mok dan sudah pasti saya mahu bekerjasama dengannya lagi,” katanya yang masih lagi mempertimbangkan untuk memasukkan lagu berkenaan dalam album terbarunya kelak.
Sumber : Utusan