SYAWAL lalu, banyak drama menarik yang disiarkan. Selain untuk hiburan, cerita yang dipaparkan boleh juga diteladani, antaranya drama Takbir Suci 2 dan Liang Lahad.
Oleh kerana keberkesanan lakonan Raja Azura dalam Takbir Suci 2, membuatkan penonton membencinya. Bagaimanapun, SS terima komen daripada seorang penggemar drama Melayu yang tidak puas hati mengenai dialog yang diucapkan Raja Azura dalam drama itu iaitu apabila Raja Azura berkata 'esok hari raya' tetapi pada malam yang dikatakan malam raya itu dipaparkan umat Islam masih bersolat Tarawih. Sepatutnya menurut hamba Allah itu, kalau malam raya sepatutnya orang bertakbir raya dan bukannya bersolat Tarawih. Begitu juga, katanya, dengan drama Liang Lahad yang menggambarkan M Rajoli insan yang dianugerahkan kelebihan berkomunikasi dengan roh. Bukanlah dia hendak mempertikaikan mengenai perkara itu kerana kuasa Allah tiada siapa dapat menyangkal. Cuma yang tidak 'kenanya' situasi yang digambarkan dalam drama itu ketika Ramadan, tetapi roh masih dapat bertemu M Rajoli kerana dia minta dikurangkan kesakitan akibat diseksa. Sedangkan, katanya kepada SS, apa yang dia tahu Ramadan bulan mulia dan diharamkan sebarang seksaan ke atas penghuni kubur. Jadi di manakah logiknya drama itu dan dia bimbang ia boleh menjejaskan kepercayaan umat Islam. Kalau benarlah seperti kata hamba Allah itu, SS harap pada masa akan datang penulis skrip, pengarah, pelakon dan sesiapa saja yang terbabit dalam mana-mana pembikinan drama lebih berhati-hati menerbitkan sebarang karya. Pun begitu, kedua-dua drama itu banyak memberi pengajaran dan lakonan mereka memang berkesan.
Sumber : Metro