Sunday, November 4, 2007

Haziq asah bakat lakonan



BINTANG yang dilahirkan menerusi Akademi Fantasia (AF4), Hazwan Haziq Rosebi, 19, menganggap pentas teater 'sekolah' terbaiknya untuk mengasah bakatnya dalam lakonan.

Jejaka yang mesra disapa Haziq, pernah terbabit dalam teater Lorong Blues arahan Fauziah Nawi yang dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, September lalu.Memegang watak Kudin, selain Haziq teater itu turut dilakonkan Shamsul Hirdi Muhid (Didi AF4), Mimi Rahzia, Asry Azizan, Iqbal Mazlan, Shirene Azim, Nadia Nasir, Jihan Musa selain Fauziah sendiri.Selepas melihat bakat dan kesungguhannya dalam teater itu, sekali lagi dia akan bekerja dengan Fauziah Nawi.
Katanya, pembabitan dalam teater itu sebenarnya secara kebetulan dan tawaran pula datang daripada orang yang sudah dikenali sejak terbabit dalam industri hiburan."Ini adalah pembabitan kedua saya dalam teater. Bagaimanapun, teater Kembang Layar Ku arahan Fauziah itu masih dalam proses latihan dan pengagihan watak."Skrip sudah diberi kepada kami untuk memahami kandungan jalan cerita itu. Jika tiada aral, pementasannya akan bermula awal tahun depan," katanya.
Tambah Haziq, bekerja dengan Fauziah buat kali kedua memang tidak berdepan masalah malah dia sangat bersyukur kerana diberi peluang muncul dalam teater itu."Saya mengenali Fauziah ketika beliau menjadi tenaga pengajar AF. Jadi tiada masalah bekerja dengannya. "Malah tawaran yang diberikan Fauziah memang saya hargai. Bagi saya inilah peluang untuk saya mengembangkan bakat dalam bidang seni," kata Haziq yang popular dengan lagu Joget Cinta Sakti berduet dengan Rosma.

Menurut Haziq, minat berlakon memang ada memandangkan ia sebahagian daripada cabang seni. Dia tidak menolak jika ada tawaran berlakon drama atau filem, jika ia sesuai dan tidak bertembung dengan jadual nyanyian.
Mengulas proses rakaman album pertama, dia berkata sehingga kini semuanya berjalan lancar dengan lapan lagu sudah disiapkan dan hanya tinggal dua lagu saja lagi dalam proses akhir rakaman."Proses rakaman album berjalan lancar. Jika tiada aral, album itu dijangka siap awal tahun depan. Namun segalanya bergantung kepada keadaan, mungkin ia dapat disiapkan lebih awal. "Mengenai pemilihan lagu single, saya perlu menunggu album siap baru dapat menentukan lagu single selain sasaran mempertaruhkan lagu itu pada Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Muzik-Muzik," katanya. Album berkonsep pop etnik kreatif itu menampilkan karya komposer terkenal seperti Pak Ngah, S Atan, Arab dan Sham Kamikaze.
Sumber : Metro
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR