KEBANYAKAN rakan sekerja Zakiah Anas, 41 (Zek) sudah lama meninggalkan bidang pengacaraan. Ada yang menumpukan perhatian sepenuhnya pada keluarga. Tidak kurang ada senang bertugas di balik tabir.
Berbeza dengan Zek yang hampir 20 tahun menjadi pengacara di TV3. Dia masih terus bertahan walaupun saban tahun ramai wajah baru dan bergaya ditampilkan stesen swasta pertama negara itu.Ketika ditemui baru-baru ini jelas Zek, dia bersyukur dan berasa bertuah apabila mampu bertahan dalam bidang dipelopori. Apatah lagi rancangan dikendalikan, 999 mempunyai rating 3 juta penonton.Bukan itu saja, dia turut disunting beberapa pengeluar produk tempatan untuk menjadi model dan jurucakap mereka.
Antara jenama yang menggunakan wajah Zek termasuklah susu sejat F&N, pengeluar tas tangan dan kasut, Santini; kempen keselamatan jalan raya oleh Plus dan terbaru barangan elektrik, Pensonic."Saya bersyukur dengan perkembangan ini dan menganggapnya rezeki anak-anak. Apa yang saya peroleh sekarang berkat kerja keras selama ini di samping sokongan suami yang tidak pernah berbelah bahagi."Selain itu saya percaya kurangnya kontroversi dikaitkan dengan diri saya sepanjang hampir 20 tahun bergelar pengacara membuatkan pihak pengeluar barangan terbabit percaya dengan kemampuan saya untuk menarik perhatian pelanggan mereka," katanya.
Selain itu jelas Zek, rating tinggi diperoleh rancangan 999 dikendalikan turut menjadi faktor penyumbang bagi membantu dia dipilih menjadi jurucakap jenama dan model barangan tempatan terbabit. Waktu sama jelas Zek sebagai pengacara dan dianggap selebriti sedikit sebanyak sudah tentu dia harus menjaga penampilan diri dan imej."Saya tidak punya rutin tertentu untuk penjagaan kulit dan wajah selain menjaganya secara asas. Namun saya memang mementingkan penjagaan imej terutama tingkah laku. "Sebagai pengacara mewakili TV3 bagi saya ia penting. Apatah lagi saya berstatus isteri dan ibu kepada tiga orang anak, masyarakat sering memandang dan menilai apa juga yang saya lakukan," katanya lagi.
Bercerita mengenai keluarga dan anak-anak, kini rumah tangga Zek kini bertambah berseri selepas kehadiran anak angkat perempuannya Ashfeeya Myzarra, 8 bulan. Kedua-dua anak Zek sebelum ini lelaki iaitu Aiman Muzamnil, 13 dan Amir Muzhaffar, 11 tahun.
Sumber : Metro