![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgadv7jmWH-zGSRp_ZGBymIcWSdvcaLFDxnbkMLZSRl4_HEjXVx_Txhqm7f67NveGoTFXebqjvl6oT0WcAB5d2nt6DFfdjEkT8u1NsclQS0km6B_zc7tox3obVccbLyYOZM5M98t0pz/s400/iqram+dinzly.jpg)
“Justeru, saya berjanji kepada diri sendiri untuk serius mencari rezeki dalam bidang ini supaya saya dapat memberikan kesenangan dan membahagiakan keluarga menerusi titik peluh sendiri,” katanya.
Iqram baru kembali mengerjakan umrah pada hari kedua Syawal lalu. Dia mengakui mendapat banyak hidayah. Ini adalah pemergian kali kedua Iqram ke Tanah Suci selepas melakukannya pada 1997.“Pemergian saya kali ini amat bererti kerana menggunakan wang sendiri dan sebagai hadiah hari jadi saya yang ke-26 tahun pada 29 September lalu. “Selepas dua kali mengerjakan umrah, saya nekad untuk melakukan 'penghijrahan' dengan menjadi insan yang lebih baik dan selalu bersyukur dengan nikmat Allah. Kalau boleh saya mahu mengurangkan sikap 'nakal' dan menjadi anak yang baik. “Saya sedar Allah memberi petunjuk kepada saya untuk mengikuti jalan yang benar dan diredaiNya. Ketika Tanah Suci saya banyak berfikir dan cuba memahami erti hidup. Kebetulan pakej umrah yang saya sertai itu ramai orang tua yang setiap tahun pergi ke sana. “Walaupun sudah berusia apabila tibanya waktu solat, mereka pasti bersolat di masjid. Kelihatan mereka begitu cergas dan bertenaga. “Saya lihat pula diri saya, walaupun masih muda tetapi ada saja halangan untuk beribadat. Terasa terlalu banyak kekurangan diri. “Tetapi pada malam 25 Ramadan lalu, ketika saya hendak memulakan tawaf dan sehingga habis rukun umrah itu saya menangis di depan Kaabah kerana menginsafi diri,” katanya. Ketika itu, jelas Iqram, dia teringat dosa-dosanya. Hidayah datang lagi kepadanya apabila sedang khusyuk mengerjakan solat Tarawih, tiba-tiba dia berasa teringin untuk berkahwin. “Saya tidak tahu macam mana keinginan berkahwin itu boleh timbul sedangkan teman wanita pun tidak ada. Barangkali Allah memberikan petunjuk supaya saya segera menamatkan zaman bujang untuk mengelakkan kemaksiatan dan sebagainya. “Saya perlukan masa sekurang-kurangnya empat tahun lagi untuk bergelar suami kerana saya perlu tumpukan pada kerja dan mengumpul pendapatan. Saya berhasrat mengumpul wang untuk mengusahakan tanah bapa di kampung. “Dek kerana saya mencintai keindahan dan kehijauan alam sekitar, saya bercadang mengusahakan kolam ikan, menternak lembu dan kambing. Saya akan sediakan kewangan dan abang saya mengusahakannya. “Tidak selamanya saya akan berlakon. Saya perlu merancang sesuatu dari sekarang,” katanya. Iqram juga gembira kerana sekembalinya dari Makkah, dia mendapat tawaran berlakon drama yang bakal mengisi slot Samarinda, TV3. Menjadi impiannya untuk muncul dalam slot itu kerana ia antara slot paling digemari ramai. “Tawaran itu datang daripada Line Clear Production. Walaupun tajuknya belum tahu lagi tetapi saya difahamkan penggambaran drama itu akan dibuat di luar negara. “Pihak produksi minta saya mengosongkan jadual mulai 20 November ini kerana penggambaran drama itu akan mengambil masa sebulan,” katanya. Dalam kerancakannya menerima tawaran berlakon, Iqram dikatakan intim dengan pasangan pelakonnya dalam Cinta Medik, Fauziah Gous. “Kami hanya berkawan tetapi saya akui kami serasi. Ketika mula berlakon dalam Cinta Medik 1 dulu memang kami tidak sehaluan, asyik saling mengutuk. “Tetapi selepas mengenali keluarganya, kami semakin rapat tetapi hendak kata bercinta, belum lagi. Apa pun saya senang berkawan dengan Fauziah,” katanya yang kini sibuk mempromosikan filem lakonannya, 1957 Hati Malaya. Ketika ditemui, Iqram yang segak berbaju Melayu rona kuning yang masih dalam 'mood' raya akan hadir ke Balai Berita NSTP petang esok (Selasa) untuk menghadiri jamuan raya Harian Metro.
Sumber : Metro