SERING kali kita mendengar mengenai persaingan di antara stesen televisyen melalui program yang ditayang. Masing-masing ingin menonjolkan kelainan dengan program genre kemanusiaan, seram, hiburan, dokumentari, bual bicara dan sebagainya.
Jelas, persaingan ini sihat, mendatangkan kepuasan menyeluruh bagi stesen televisyen dan juga kepada penonton. Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) tidak lari dari kenyataan untuk terus menjadi pilihan umum rakyat Malaysia. Pelbagai program diatur dan direncanakan dalam memastikan programnya menepati piawaian dan kehendak pihak stesen amnya dan penonton khususnya.
Terbaru program melalui slot seram siri Anak Pontianak yang baru bersiaran pada 25 Oktober 2007. Melalui kajian dan sumber yang dikeluarkan AGB Nielsen Media Research, siaran episod pertama Anak Pontianak ini menerima kadar penonton sebanyak 3.265 juta (17.6 TVR) atau 47.4 peratus dari peratusan penonton yang menonton pada waktu itu.
Penerimaan siri Anak Pontianak ini sungguh memberangsangkan melebihi jangkauan pihak produksi, Pesona Pictures dan TV3. Persoalannya, mengapa siri Anak Pontianak ini diterima ramai? Apa yang hebatnya? Rata-rata pelakonnya adalah pendatang baru, Zarina An-Julie sebagai pelakon utama. Ada yang mengatakan jumlah penonton yang tinggi pada episod pertamanya adalah kerana siri Anak Pontianak ini lahir dari idea filem Pontianak Harum Sundal Malam? Lebih-lebih lagi, di bawah pengarah tersohor, Shuhaimi Baba.
Pernah satu ketika, siri seram sebegini dikecam kerana plotnya memesongkan akidah dan mendatangkan ketidakselesaan bagi penonton. Namun, penonton kini semakin matang dalam memilih program yang menghiburkan selain membina minda.
Pengurus Besar Pengurusan Jenama TV3, Farisha Pawanteh berkata, sambutan adalah di luar jangkaan dan pihaknya tidak menjangkakan penerimaannya begitu hebat. Walaupun, ia ditayangkan di slot perdana, TV3 tidak pernah menjangkakan program ini akan mencatatkan rating yang tinggi.
"Alhamdulillah, segala perancangan kami membuahkan hasil dan kami gembira penonton turut terhibur dengan sajian melalui siri SERAM, Anak Pontianak ini. "Kami sentiasa berikhtiar sebaik mungkin untuk penonton dan segala perancangan yang kami lakukan adalah menjadi harapan untuk memenuhi kehendak penonton setia TV3 dan Siri Seram," katanya. Drama bersiri terbaru Anak Pontianak mempunyai sebanyak 13 episod dan diarahkan pengarah tersohor Shuhaimi Baba. Jangan lepaskan peluang untuk menonton drama bersiri ini pada setiap Khamis, jam 9.30 malam.
Sumber : Berita Harian