Sunday, November 4, 2007

Tak perlu fikir apa di sebalik tersirat


APA yang boleh anda harapkan daripada sentuhan seorang pengarah baru dan muda seperti Pierre Andre? Menonton filem pertama arahannya, 9 September, boleh diibaratkan sebagai sebuah filem yang masih kurang perasa. Filem yang membariskan Pierre sendiri sebagai pelakon di samping Fasha Sandha masih wujud kekurangan di sana sini, namun yang wajar diberikan pujian ialah keberanian anak muda ini mengarah di dalam usia yang muda 21 tahun. Bukan semua anak muda boleh melakukan apa yang dilakukan Pierre.

Pujian juga harus diberikan kepada penerbit filem ini iaitu David Teo yang memberikan peluang kepada Pierre untuk mencuba bakatnya dalam bidang pengarahan. Biarpun, filem ini masih belum dapat menyerlahkan bakat sebenar Pierre sebagai pengarah Pierre namun tidak mustahil pada masa akan datang Pierre dapat menghasilkan karya yang lebih baik jika terus diberikan peluang seperti ini.
Dengan adanya pengarah muda seperti Pierre juga, industri perfileman akan tambah berwarna-warni. Kita tidak lagi terikat pada jalan cerita yang sama apabila hanya pengarah yang serupa mengarah. Filem 9 September adalah sebuah karya ringan yang tidak memerlukan penonton memenatkan otak untuk memikirkan apa yang tersurat di sebalik yang tersirat. Pierre cuba menyuntikkan elemen Korea di dalam filemnya, sayangnya idea Pierre tidak begitu kesampaian.

Sebaliknya ia membuatkan 9 September nampak seperti dibuat-buat dan menyebabkan filem ini tidak semula jadi. Sukar mencari di mana kekuatan filem ini sama ada dari sudut jalan ceritanya mahupun mutu lakonan Pierre dan Fasha. Pierre yang memegang watak Kogi dilihat masih stereotaip. Di dalam filem 9 September, Kogi sering kali menjadi bahan buli Nia, wanita yang berperwatakan kasar dan ganas kerana ditinggalkan kekasihnya Andrian.
Sejak itu, Nia menyimpan dendam terhadap lelaki. Watak Nia juga kurang berkesan dibawakan Fasha, malah watak itu terlalu banyak menjerit menjadikan ia membingitkan. Bagaimanapun kali ini Fasha tidak stereotaip dengan watak perempuan baik dan sopan seperti dalam drama atau filem lakonannya sebelum ini. Sementara itu sesetengah babak di dalam filem ini tidak perlu kerana ia tidak memberi apa-apa impak.
Di antaranya
babak Cat Farish memakan pizza yang cuba membangkitkan unsur jenaka tetapi ternyata ia gagal. Babak Pierre dan Fasha yang berbaring di tepi pantai setelah hampir setahun tidak bertemu mungkin boleh dikembangkan lagi untuk menjadikan babak berkenaan lebih sedih. Perasaan sedih yang cuba diwujudkan tidak kesampaian.
Mungkin sedih menyentuh perasaan ketika Nia berlari ke rumah Kogi, sebaik memasuki rumah Kogi dia terlihat di atas dinding tertulis sebuah puisi cinta. Lebih menampakkan filem ini seperti sebuah drama Korea apabila Nia berlari dengan gaun pengantin ke rumah Kogi. Tetapi, apa tujuannya Pierre mengetengahkan babak itu pula kurang pasti kerana Nia sudah mengetahui yang Kogi tidak ada di situ.
Sinopsis

FILEM 9 September adalah sebuah komedi romantik yang mengisahkan Nia dan Kogi yang berjumpa secara kebetulan apabila Nia tersalah masuk ke rumah Kogi. Sejak itu, banyak kebetulan yang menemukan mereka berdua. Walaupun sering dibuli, Kogi sentiasa menunjukkan sikapnya sebagai seorang lelaki yang baik dan jujur. Kogi juga dilihat seperti malaikat yang menjaga Nia dalam apa juga keadaan sekalipun.
Lama kelamaan mereka hampir jatuh cinta sehinggalah pada satu hari Andrian (Fahrin Ahmad) kekasih lama Nia kembali ke pangkuannya. Nia sebenarnya masih mencintai Andrian tetapi sayangnya tidak lagi setebal dulu kerana dia turut memikirkan Kogi pada masa yang sama. Sehinggalah pada satu hari Nia terbang ke Tokyo mengikut kekasihnya selama setahun. Setelah pulang ke Malaysia, Nia terus mencari Kogi namun gagal.
Apabila menemuinya, sesuatu yang sangat mengejutkan berlaku dan sangat sukar diterima Nia. Kogi terus membawa dirinya ke satu pulau terpencil di mana dia dan Nia pernah terperangkap. Nia terus mencari jawapan walaupun berita yang diterimanya itu sangat sukar ditelan. Ketika bertemu dengan Kogi di pulau satu peristiwa yang mengejutkan berlaku. Peristiwa itu mengubah sepenuhnya kehidupan Nia.
Apakah kesudahannya dan bersatukah Nia dengan Kogi. Semuanya terjawab dalam 9 September.
Sumber : Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR