Wednesday, November 28, 2007

Jaclyn Victor masih pertimbang berlakon filem Estet


JACLYN Victor akan mewakili negara ke pertandingan Asian Idol di Jakarta, Indonesia bulan depan.

JACLYN Victor (Jac) membuktikan dia mempunyai mutu vokal dan persembahan yang hebat selepas muncul juara pertandingan nyanyian Malaysian Idol (MI) musim pertama dua tahun lalu.

Kini bakat lakonan Jac pula diintai oleh pengarah Mamat Khalid apabila gadis berusia 29 tahun ini ditawarkan berlakon filem berjudul Estet.

Bagaimanapun menurut Jac, dia belum memutuskan untuk menerima tawaran berlakon bersama David Arumugam (Alleycats) dalam filem terbitan Naga VXS Sdn. Bhd. itu.

“Segalanya terpulanglah kepada pihak The 8 Unit yang menguruskan saya untuk membuat keputusan itu. Ini kerana, saya terikat kontrak dengan mereka.

“Setakat ini belum ada persetujuan lagi. Apatah lagi, jadual saya sepanjang November ini amat padat,” kata Jac ketika ditemui pada sidang akhbar Asian Idol di Bangsar, Kuala Lumpur, kelmarin.

Sidang akhbar itu mengumumkan Jac akan mewakili negara pada pertandingan Asian Idol di Jakarta, Indonesia, pada 15 Disember ini bagi bersaing dengan peserta dari Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan India.

Jac tidak menafikan bahawa Mamat Khalid memang ada bertemu dan menawarkannya watak sebagai isteri kepada penyanyi terkenal, David Arumugam menerusi filem komedi tersebut.

Bagaimanapun, tambah Jac, dia perlu mengkaji terlebih dahulu skrip dan kontrak yang ditawarkan oleh syarikat produksi itu sebelum mengambil keputusan berlakon dalam Estet.

“Difahamkan watak yang akan saya lakonkan dalam filem itu hanya mempunyai empat adegan sahaja. Tetapi saya harus meneliti terlebih dahulu watak saya dalam filem ini.

“Ia bagi memastikan supaya filem ini tidak mempersenda-sendakan saya sebagai seorang wanita India. Saya pun kurang setuju dengan Estet sebagai judul filem ini.

“Asalnya filem itu mahu menjalani penggambaran pada bulan ini tetapi kebetulan jadual saya ketat sekali. Sekarang ini pun setiap malam saya tidur pukul 3 pagi,” ujarnya yang lebih mengutamakan bidang nyanyian sebagai karier utamanya.

Sebelum ini, anak kelahiran Kepong, Kuala Lumpur ini pernah berlakon dalam satu adegan menerusi filem Susuk yang masih belum ditayangkan kepada umum.

Sementara itu, Jac tidak dapat menyembunyikan rasa berdebar-debarnya apabila mewakili negara pada pertandingan Asian Idol yang pertama kalinya diadakan.

“Saya rasa teruja kerana terpilih mewakili Malaysia pada pertandingan itu. Saya memang sukakan pertandingan. Walaupun pernah kalah pada pertandingan Ikon Asean baru-baru ini tetapi itu tidak melemahkan semangat saya.

“Pada Asian Idol nanti saya akan menyanyikan sebuah lagu Inggeris dan sebuah lagu Melayu. Tetapi pihak penerbitnya, 8TV belum memutuskan lagu mana yang akan saya nyanyikan nanti,” katanya.

Pada Asian Idol itu nanti, Abhijeet Sawant akan mewakili India, Phu’o’ng Vy (Vietnam), Mau Marcelo (Filipina) dan Ken Lim (Singapura).

Indonesia pula akan mempertaruhkan sama ada Delon Thamrin, Mike Mohede, Muhammad Ihsan Tarore ataupun Rini Wulandar pada pertandingan yang ditentukan pemenangnya oleh khidmat pesanan ringkas (SMS) itu.

Keputusan Asian Idol akan diumumkan pada 16 Disember ini menerusi siaran langsung yang akan disiarkan 8TV pada pukul 10 malam.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Ketua Pegawai Operasi 8TV, Ahmad Izham Omar.

RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR