Cinta merupakan suatu yang indah. Ia mampu membuat seseorang itu bahagia malah boleh juga membuat seseorang menderita. Begitulah paparan yang dibentangkan dalam drama bersiri menerusi slot Akasia TV3 iaitu Spa Q setiap Isnin hingga Khamis pukul 6.30 petang.
Drama ini mengisahkan pelbagai rintangan yang dihadapi oleh enam wanita untuk mencari cinta sejati.
Biarpun mengakui isu yang diketengahkan agak klise namun menurut pengarahnya Zulkiflee R. Shad, drama itu mempunyai kekuatan sendiri.
“Memang pada mana-mana drama pun isu wanita atau cinta sering diketengahkan. Tapi menerusi Spa Q, persembahannya berbeza. Penonton tidak akan dapat menjangkakan apa yang akan berlaku seterusnya. Gabungan para pelakonnya juga mantap,” katanya ketika ditemui pada majlis beramah mesra bersama para pelakon Spa Q di Subang Jaya, baru-baru ini.
Drama bersiri 60 episod itu dihasilkan oleh Global Station Sdn. Bhd., dan membariskan para pelakon antaranya Datin Norish Karman membawa watak Qistina, Farah Dhiya (Fatin), Intan Azura (Aleya), Betty Benafe (Nora), Elly Mazlein (Farah), Nisha Dirr (Tania), Ridzuan Hashim dan Azizan Nin.
Drama yang skripnya dihasilkan oleh Rina Khan ini menyaksikan:
* QISTINA berdepan dengan kemelut masalah suami yang ada skandal dengan wanita lain dan anak-anak yang terlalu manja dan suka memberontak.
* FATIN, gadis yang berasal dari keluarga yang susah, cuba mencari kemewahan hidup dengan mengambil jalan mudah bercinta dengan suami orang.
* ALEYA mementingkan kerjaya melebihi cintanya. Sanggup kehilangan cinta daripada mempunyai zuriat kerana takut akan hilang kecantikannya.
* FARAH rambang mata. Selalu terkeliru sama ada mahu setia pada kekasihnya atau memilih cinta yang lain.
* NORA mahu mempunyai keluarga yang bahagia. Tetapi tunangnya pula tidak mahu mempunyai anak apabila mereka mendirikan rumah tangga nanti. Perkara itu membuat Nora berkecil hati.
* TANIA pelajar kolej yang sanggup melakukan pelbagai perkara untuk memenangi cintanya.