SANA sini Kak Tim pergi, asyik dengar orang bercerita tentang Sehati Berdansa. Seronok benar mereka tonton program baru TV realiti siaran Astro Ria itu. Dan Kak Tim sudah mula merasakan rancangan itu akan membangkitkan fenomena baru kepada penonton tempatan.
Biasalah bila sesebuah program mula menjadi perhatian, maka peserta-pesertanya pun mulalah diperkatakan.
Paling hangat menjadi bahan perbualan ialah As, bekas anggota kumpulan Feminin yang pernah popular tahun 90-an.
Anehnya mereka tidak bercerita tentang kemampuan As berdansa. Tapi asyik memperkatakan tentang perubahan bentuk badannya.
Lebih lucu lagi, ramai yang selamba bertanya Kak Tim soalan yang tak mampu Kak Tim jawab: “Kenapa As jadi macam tu?”
Kak Tim sendiri sebenarnya pertama kali menyaksikan kemunculan As pada program itu, terdetik hati tertanya, “As ke itu?”
Sudah hampir 10 tahun sebenarnya As menyepi diri dari dunia hiburan. Dan kemunculannya dalam Sehati Berdansa, ternyata telah mengembalikan ingatan ramai kepada Feminin.
Malangnya, kita asyik membayangkan As yang dahulu tanpa mempedulikan bahawa As hari ini bukan lagi penyanyi dan penari kumpulan Feminin. Tapi As kini sudah jadi isteri dan ibu kepada dua orang anak.
Justeru Kak Tim lebih respek sikapnya yang terbuka menjayakan Sehati Berdansa, rancangan televisyen yang Kak Tim kategorikan sebagai program amal selebriti. Wang yang dimenangi akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan.
Malah rasa respek itu lebih bertambah, bila mengetahui As dan suami sanggup bersusah payah membawa anak-anak mereka yang masih kecil ketika mengikuti kelas-kelas tarian setiap minggu.
“Budak-budak tu (anak-anak As) asyik menangis. Bosan agaknya dalam kelas tu. Terpaksalah waktu belajar tu, As dan suami bergilir-gilir menjaga mereka. Waktu As belajar, suami dia jaga anak-anak dalam kereta. Bila suaminya belajar, As pula ke kereta. Kasihan As. Dia sepatutnya kena banyak tumpukan perhatian belajar menari bersama-sama pasangannya untuk dapatkan keserasian,” cerita seorang teman.
Bayangkan pengorbanan bekas anggota Feminin ini! Tentu As sendiri menyedari popularitinya tidak lagi sehebat peserta saingannya dalam program itu, yang masih lagi aktif dalam dunia hiburan. Tapi As tidak berasa rendah diri. Malah baginya kalah atau menang bukan persoalan. Itulah As! Dan kegigihannya bersusah payah untuk tampil berbakti, seharusnya dihargai.
KAK TIM: Penerbit filem Raja Azmi kini hamil hampir tiga bulan. “Anak bongsu dah 13 tahun. Tak sangka pula dapat rezeki baru ni,” bisiknya pada Kak Tim. Tahniahlah! Patutlah berseri-seri wajah Raja Azmi waktu di Malam Penghargaan Metrowealth 2007 Khamis lalu.
Link: Utusan Malaysia