Sunday, November 18, 2007

Persandingan Ina Naim, Suhaimi meriah

KOTA TINGGI 18 Nov. – Majlis persandingan Nordiana Md. Naim, 23, atau Ina Naim dan suaminya, bekas penyanyi kumpulan In-Team, Mohd. Suhaimi Saad, 27, disempurnakan penuh meriah di Dewan Felcra Sungai Ara di sini hari ini.

Majlis persandingan pasangan yang diijabkabulkan pada pertengahan Ogos lalu itu diuruskan oleh Nasyeed.Com dan Persatuan Penggiat Industri Nasyid Malaysia (PIN) dengan kerjasama penduduk Felcra Sungai Ara.

Pengurus majlis itu, Mahadi Mohd. berkata, walaupun dianjurkan secara sederhana, namun ia tetap meriah dengan kehadiran 5,000 tetamu dan jemputan termasuk peminat-peminat artis berkenaan dan rakan-rakan artis daripada kumpulan Hijaz serta Mestica.

Beliau berkata, pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah menguruskan majlis persandingan tersebut kerana mendapat bantuan sepenuhnya daripada penduduk kampung.

‘‘Kami telah mengaturkan persiapan majlis ini bersama penduduk kampung secara bergotong-royong,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis persandingan pasangan artis itu.

Perkarangan Dewan Felcra Sungai Ara mula dibanjiri tetamu seawal pukul 12 tengah hari dan menjadi sesak sejurus pasangan pengantin tiba di dewan berkenaan kira-kira pukul 2 petang.

Mahadi berkata, walaupun hujan lebat, atur cara majlis yang dirancang seperti persembahan silat, zapin, perarakan kompang, bacaan doa, ucapan kedua-dua belah pihak dan upacara memotong kek dijalankan mengikut jadual.

Majlis menyambut menantu bagi pihak Suhaimi pula akan diadakan pada 24 November ini di Felda Tementi, Triang, Pahang.

Sementara itu, dalam sidang akhbar kemudiannya, Ina mengaku yang beliau kini hamil tiga bulan.

Mengenai kerjaya sebagai artis, beliau memberitahu, ada menerima tawaran berlakon baru-baru ini tetapi masih dalam peringkat pertimbangan manakala Suhaimi pula akan melancarkan album barunya tahun hadapan.
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR