TIBA-TIBA saja nama Nana, penyampai radio stesen nombor satu negara, yang sudah popular menjadi semakin popular apabila dia dilaporkan tersilap menyebut nama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaludin Jarjis sebagai angkasawan Malaysia kedua ketika bersiaran di konti. Bagaimanapun, Pengurus Besar Kumpulan (Rangkaian), Airtime Management & Programming (AMP), Kudsia Kahar bangkit membela penyampai radio yang dilahirkan daripada program realiti Akademi Fantasia itu dengan berkata, Nana sudah pun membuat pembetulan dengan serta-merta sebaik saja menyedari kesilapannya itu.
Nana juga pada waktu itu bertugas dengan Jimmy Shanley dan bukannya dengan Reza seperti yang dilaporkan dalam ruangan Fragmen bertajuk ‘Kejahilan juruhebah radio yang memalukan’ bertarikh 17 Oktober lalu.
Kudsia juga menjelaskan Jimmy tidak gagal dalam tugasnya sebagai rakan setugas Nana apabila membetulkan kesilapan rakannya itu dengan menyebut nama menteri dan angkasawan dengan betul dan jelas. Kudsia berkata, pihaknya kesal kerana kesilapan pada kenyataan yang mengatakan Nana dan Reza tersalah sebut nama menteri dan angkasawan menyebabkan kredibiliti radio Era dan penyampainya dipersoalkan.
“Ingin kami nyatakan kekesalan di atas penulisan itu. Akibat daripada kekeliruan dalam artikel itu, kredibiliti dan integriti Era dan penyampainya dipersoalkan. Apatah lagi kredibiliti Reza, yang tidak semena-mena terjejas apabila namanya dikaitkan dengan ‘insiden’ itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikirimkan menerusi e-mel untuk memberi penjelasan sebenar terhadap artikel dalam kolum itu.
“Dinyatakan dalam ruangan itu bahawa Nana dan Reza bertugas semasa laporan mengenai pelancaran roket Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan negara itu dibuat. Reza tidak bertugas pada waktu insiden dalam artikel itu dilaporkan berlaku, sebaliknya Nana bertugas bersama rakan penyampai Jimmy Shanley. “Nana membaca laporan yang dipetik daripada akhbar itu dengan laju, lalu tersilap menyebut nama yang tertera dalam laporan itu. Namun begitu, Nana dengan serta-merta menyedari dan meminta maaf atas kesilapannya.
Kesilapan itu dengan serta-merta juga dibetulkan oleh Jimmy Shanley yang menyebut nama (menteri dan angkasawan) yang betul dengan jelas. “Jimmy tidak gagal dalam tugasnya sebagai rakan setugas Nana dengan membetulkan kesilapan Nana dan memberi maklumat yang tepat dengan segera. Malahan, Jimmy menyebut nama angkasawan negara kedua iaitu Dr Faiz dengan jelas dan tanpa teragak-agak.
Nana kemudiannya mengulangi dengan menyebut nama Kapten Dr Faiz Khaleed sepenuhnya. Nyata kedua-dua penyampai telah pantas mengatasi kesilapan itu,” jelas Kudsia lagi. Katanya lagi, Reza pula sebenarnya tidak bertugas semasa laporan mengenai pelancaran roket Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan negara itu dibuat.
“Reza tidak bertugas pada waktu insiden dalam artikel itu dilaporkan berlaku, sebaliknya Nana bertugas bersama rakan penyampai Jimmy Shanley,” katanya lagi. Begitupun, Kudsia tetap menghargai keprihatinan dan perhatian media terhadap radio Era dengan setiap pandangan atau teguran akan sentiasa dijadikan rujukan untuk menjadikan kandungan program terbaik buat khalayak pendengar radio nombor satu negara ini.
Sumber : Berita Harian