TERGAMBAR keletihan pada raut wajah anak muda ini sebaik saja acara selesai. Maklumlah jadual kerjaya yang ketat ditambah melayan keletah peminat yang pelbagai ragam bukannya mudah. Namun itu tidak sedikitpun menjarakkan hubungan Mawi dengan peminatnya.
Seletih manapun diri, digagahi juga menghiburkan peminat yang selama ini tidak pernah jemu menyokong kerjaya seninya. Sabtu lalu, Mawi World Sdn Bhd bersama-sama Mawi FC menganjurkan acara tahunan mereka iaitu majlis hari raya bertemakan Riang Ria Aidilfitri bersama Mawi. Selama tiga tahun dianjurkan, kelihatan wajah yang sama menghiasi Dewan Besar Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang itu di samping muka-muka baru.
Itulah hebatnya ‘aura’ yang dimiliki jejaka dari Felda Taib Andak ini kerana popularitinya tidak pernah ampuh biarpun juara Akademi Fantasia datang bersilih ganti. Walaupun ketibaannya agak lewat namun kehadirannya tetap dinantikan. Malah, mereka sudah bersedia seawal jam 2 petang lagi untuk menyambut ketibaan hero kesayangan mereka beraksi di atas pentas.
Sebaik tiba, Mawi yang kelihatan kacak mengenakan baju Melayu potongan cekak musang berona biru dan berkaca mata terus menghiburkan peminat dengan dua lagu, Angan Dan Sedar yang dipetik dari album terbarunya Satu Dalam Seribu serta lagu raya yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Hj Arshad, Dari Jauh Ku Pohon Maaf. Bagaikan diserang histeria, peminat bersorak sakan dan mula mengerumuni pentas untuk melihat lebih dekat penyanyi pujaan mereka itu.
Seperti biasa, kerlipan cahaya dari lensa kamera tidak putus-putus menyimbah wajah Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ini kerana masing-masing tidak mahu melepaskan peluang bergambar kenangan dengan penyanyi sensasi ini.
Dalam berhibur, sempat juga Mawi memberitahu peminatnya yang badannya semakin kurus gara-gara ‘tersiksa’ berada di lokasi Bukan sekadar melantunkan suara, malah Mawi turut serta ‘mengenakan’ peminatnya apabila mereka diuji dengan permainan seperti menganyam ketupat menggunakan riben serta pertandingan memakai kain sampin serta menyanyikan Lagu Cinta Lagu Jiwa. Sesi ini berjaya mengundang gelak ketawa apabila mereka yang dipanggil ke atas pentas masing-masing dengan ragam tersendiri.
Untuk sesi menganyam ketupat, hanya ada seorang peserta saja yang mampu menukar riben itu menjadi ketupat iaitu makcik Fatimah dari Kluang, Johor biarpun tidak sempurna. Sempat juga makcik peramah itu memberi alasan dengan menyatakan dia sebenarnya mampu menganyam ketupat tetapi dengan daun kelapa, bukannya riben.
“Kenapa suruh makcik menganyam dengan riben. Mana ada orang buat ketupat dengan riben. Lain kali, kalau suruh makcik anyam ketupat, beritahu awal. Biar makcik bawa daun kelapa dari rumah. Susah sangat menganyam. Licin,”bebel makcik Fatimah sekali gus disambut hilai tawa tetamu yang hadir. Untuk majlis itu, Mawi turut mengundang pasangannya, Heliza yang juga Ikon saluran Astro Oasis untuk berduet menerusi lagu Doa Dalam Lagu sebelum memberi laluan kepada Heliza menyanyi secara solo. Masa rehat yang singkat itu digunakan Mawi untuk menukar pakaiannya yang sudah pun dibasahi peluh ke baju Melayu teluk belanga rona hijau pucuk pisang.
Bagi persembahan sesi kedua ini, Mawi memilih untuk mengalunkan lagu ciptaannya, Ayah serta Cinta Zulaikha selain meneruskan acara cabutan bertuah serta acara wajibnya sejak kebelakangan ini iaitu pertunjukan magis. Lebih tiga jam menghabiskan masa bersama peminat, Mawi mengakhiri acara itu dengan pemberian sumbangan berupa RM1,000 kepada Rumah Anak Yatim Baitul Ummah, Hulu Klang termasuk cenderahati kepada 60 anak yatim yang diundang serta bergambar kenangan. Ditemui selepas acara itu berakhir, Mawi nyata berpuas hati kerana majlis hari raya itu berlangsung dalam keadaan sempurna dan diharap peminatnya terhibur dengan apa yang disajikannya.
Diminta mengulas betulkah dirinya tersiksa sejak membintangi filem Aduh!Saliha seperti yang dikatakannya di pentas, Mawi berkata dia tidak bermaksud sedemikian cuma ia tidak lebih dari sekadar gurauan bersama peminat. “Maklumlah, shooting filem ini berlangsung dalam bulan puasa. Jadi tak boleh nak makan dan minum. Tapi saya akui, berlakon bukanlah perkara yang mudah apatah lagi berlakon di bawah pengarah yang 'tidak terjangkau imaginasinya' seperti M Nasir. Tapi tak mengapa sebab saya tahu dia adalah seorang pengarah yang mementingkan kualiti,” jelas Mawi yang kini sedang bersiap sedia untuk menyambung penggambaran semula selepas bercuti sempena Aidilfitri.
Ditanya apakah dia ingin berlakon lagi selepas ini, Mawi membalas soalan itu dengan pandangan yang kosong. Sukar untuk ditelah maksud pandangan itu. Entahkan serik atau ingin menumpukan sepenuhnya pada karier nyanyiannya, hanya Mawi saja yang tahu.
Tidak seperti tahun lalu, Mawi meraikan 1 Syawal bersama keluarganya dalam keadaan bebas kontroversi. Jika tahun lalu dia disentak dengan cerita mengikat tali pertunangan dengan siswi UiTM yang juga anak kenalan arwah bapanya namun tahun ini, lebaran Mawi diraikan dengan penuh ketenangan. “Pada hari raya pertama, saya meraikan di rumah manakala hari kedua saya membawa semua ahli keluarga bercuti di rumah yang saya menangi sebagai Juara AF3 di A Famosa, Melaka,” jelas Mawi yang bakal mengacarakan program bercorak pengembaraan Islam untuk saluran Astro Oasis.
Sumber : Berita Harian