KONTRAK Adam dengan KRU masih berjalan dan tetap diteruskan kerana Adam adalah aset penting syarikat milik trio adik beradik Norman, Yusry dan Edry. Jadi spekulasi mengenai kontraknya bersama KRU tidak diteruskan adalah tidak benar, kata Pengarah Urusan KRU Music Group, Norman Abdul Halim.
Norman ketika ditemui di majlis rumah terbuka KRU baru-baru ini berkata, dia sendiri terkejut apabila membaca laporan sebuah akhbar (bukan terbitan Berita Harian) mengenai kontrak Adam yang akan dibatalkan. Malah, Norman mendakwa dia sendiri tidak tahu menahu mengenai perkara berkenaan.
“Itu hanyalah satu salah faham. Saya sendiri terkejut dengan artikel itu dan terkilan dengan kakitangan KRU kerana timbulnya salah faham ini. “Spekulasi ini timbul gara-gara Adam yang tidak muncul ketika persembahan. Saya pernah berpesan kepadanya jangan berjanji kalau tidak mampu untuk penuhi undangan orang. Kalau tidak boleh buat, cakap saja tidak boleh. Malah saya juga sudah berkali-kali berpesan kepada artis, jika ada sebarang masalah bawalah berbincang.
“Ini semua salah faham dan mungkin spekulasi media saja. Cuma saya hendak perbetulkan bahawa kontrak Adam masih diteruskan. Projek terbaru Adam adalah yang paling berjaya bermula daripada lagu duetnya bersama Farah, Tak Tahu Antara Dua dan juga Joget Lambak dan terbaru Hai.
“Kita ada prosedur, kalau artis itu berjaya maka kontraknya secara automatik akan bersambung. Kalau mereka tidak puas hati dengan apa yang kita lakukan mereka boleh beredar jika itu jalan yang terbaik buat mereka. Saya tidak mahu mengongkong artis kami dan saya sentiasa amalkan prinsip terbuka,” kata Norman. Setiap artis yang bernaung di bawah KMG mempunyai kontrak selama lima tahun. Kontrak berkenaan ditanda tangani setiap tahun termasuk artis dari Indonesia seperti The Lima, Pianka dan Syuga.
KMG juga memberi kebebasan kepada artisnya untuk memberikan cadangan malah menggalakkan artisnya berdiri sendiri sekiranya mereka merasakan itu jalan terbaik seperti kumpulan Pretty Ugly dan Rabbani yang memilih haluan sendiri. KMG juga akan memberikan panduan dan pertolongan kepada artis yang sudah menarik diri daripada syarikatnya, malah sedia memberikan kerjasama kepada mereka.
Norman menafikan dia bersikap pilih kasih dalam melayan artisnya, sebaliknya mereka diberi layanan yang sama rata. Kata Norman, setiap artis di dalam syarikatnya mempunyai sumbangan tersendiri. Bagaimanapun, Norman tidak menafikan pernah kecewa dengan sikap Adam kerana dia menghilangkan diri ketika KRU sedang rancak membuat pelbagai promosi untuknya.
Namun kekecewaan itu tidak berpanjangan dan berjaya diselesaikan dengan cara baik. Tetapi Norman mengakui kesilapan Adam yang tidak pandai mengawal keadaan menjadi punca yang akhirnya menjerat dirinya sendiri.
Sumber : Berita Harian